Bab 12

5.7K 319 73
                                    

MESYUARAT dan urusan lain yang sepatutnya habis pada hari esok sudah dapat diselesaikan oleh Baihaqi dan Ammar pada hari ini. Dengan ini, Baihaqi mengambil keputusan untuk pulang lebih awal kerana dia ada rancangan yang ingin dilakukannya sebelum mereka bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Namun, Baihaqi masih belum memberitahu Ammar dan Aleesya tentang rancangannya.

Setelah Ammar memakirkan kereta Baihaqi di ruang yang disediakan, mereka melangkah keluar dan berjalan menuju ke bilik hotel masing-masing. Mereka memilih untuk berjalan kaki, menikmati udara segar, daripada menaiki buggy hotel.

Baihaqi berjalan dengan santai dengan kot baju yang masih tersarung pada tubuhnya. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya, manakala angin yang bertiup lembut membuatkan rambutnya sedikit bergerak. Suasana tenang di tepi laut menambah keindahan perjalanan mereka.

"Kau ada plan ke hari ni? Atau nak check out awal macam biasa? Aku boleh uruskan," ujar Ammar sambil berjalan beriringan dengan Baihaqi, mata memandang ke arah pemandangan laut yang berkilauan.

Kebiasaannya, jika mesyuarat dan urusan lain habis lebih awal dari waktu yang ditetapkan, Baihaqi lebih memilih untuk pulang ke Kuala Lumpur lebih awal. Ammar sudah biasa menyelesaikan urusan itu mengikut permintaan Baihaqi.

"Tak kut. Balik esoklah. Aku ada something nak buat," balas Baihaqi sambil terus melangkah.

Dahi Ammar sedikit berkerut, sifat ingin tahu jelas terpancar di wajahnya.

"Kau nak buat apa? Aku tak tahu apa-apa pun?"

"Sibuklah kau nak tahu semua benda. Hal aku dengan isteri aku pun nak tahu ke?"

Ammar mengulum senyum, jelas terhibur dengan sikap Baihaqi yang jarang-jarang menunjukkan perasaannya.

"Kau nak buat apa? Aku cuma nak tahu kalau ada apa-apa yang boleh aku bantu," suara Ammar meleret sambil mengukir senyuman nakal untuk mengusik.

Baihaqi menjuling matanya ke atas, jelas tidak tahan dengan usikan Ammar.

"Aku nak bawa budak tu keluar. Hari ni dah masuk hari ketiga kita dekat PD, selama tiga hari ni juga dia langsung tak keluar jalan-jalan. Aku dah suruh keluar sendiri naik Grab, tapi tak berani. Aku risau dia depresi je."

Tangan Baihaqi naik menolak rambutnya yang semakin serabut selepas ditolak oleh angin laut.

Ammar tersenyum lebar mendengar jawapan Baihaqi. Sudah dia agak, Baihaqi ini tidaklah jahat mana, cuma rakannya ini tidak tahu bagaimana mahu menunjukkan bahawa dia seorang yang mengambil berat. Sejak dari dulu lagi Baihaqi sudah biasa lakukan semuanya sendiri sehingga perasaannya sendiri diabaikan.

"Kalau macam tu kau pergilah jalan berdua, aku plan nak tidur puas-puas hari ni."

"Kau ikutlah sekali layan budak tu. Kang ada macam-macam dia minta, malas pula aku nak layan nanti. Bila lagi kita nak pergi PD jalan-jalan macam ni."

"Eleh aku boleh pergi PD sendirilah kalau aku nak. Malas aku nak ikut dan menyaksikan pasangan suami isteri berdating."

Baihaqi mencebik, jelas tidak terjejas dengan usikan Ammar.

Ammar tergelak perlahan, melihat Baihaqi melangkah ke biliknya dengan langkah yang lebih ringan. Dia tersenyum sendiri, bersyukur kerana rakannya itu masih ada hati untuk mengambil berat tentang orang yang penting dalam hidupnya.

Pada malam pertama mereka menginap di hotel ini, Ammar terkejut apabila Baihaqi meminta supaya dia membeli Nasi Pattaya tanpa sos di atas permukaan telur. Ammar pada mulanya menyangka Baihaqi masih lapar, tetapi Baihaqi menjelaskan bahawa sebenarnya isterinya yang sedang lapar dan belum makan sejak waktu siang lagi. Melihat keprihatinan Baihaqi terhadap isterinya, saat itu Ammar dapat menyedari bahawa Baihaqi tidaklah seperti yang dia sangka.

Jarak Umur Antara KitaWhere stories live. Discover now