Bab 5

386 17 0
                                    

SAMPAI saja Marissa dirumah, belum sempat dia duduk, dah dengar suara Makngah Zaharah memekik memanggil namanya.

Marissa baringkan tubuh Fayyadh yang sudah terlentok di bahunya ke atas sofa di ruang tamu sebelum dirinya turut melabuhkan punggung di sisi Fayyadh.

"Rissa, bulan ni aku nak kau bagi aku duit lebih sikit. Aku dengan Nurin nak pergi bercuti ke Sabah." Dengan selamba Makngah Zaharah meminta. Sedikit pun tak ada rasa segan.

"Berapa makngah nak?"

"Dalam 3,000 ringgit. Sekali dengan duit poket aku dengan anak aku nak shopping dekat sana."

Membuntang mata Marissa mendengar jumlah wang yang diminta Makngah Zaharah. 'Apa Makngah ingat dia kerja manager bank ke? Dia cuma kuli je tau!' Desis hati Marissa.

"Banyaknya makngah sampai 3,000 ringgit. Kalau 800 ringgit tu boleh la Rissa bagi."

"800 ringgit? Kau nak suruh aku dengan anak aku mendayung sampan sampai ke Sabah ke apa? Kau ni memang tak sedar dek untung tahu tak. Aku yang bela kau lepas mak kau mati sampai kau dah besar tapi kau tak pernah nak senangkan aku. Dari dulu kau asyik bawa balik bala dekat rumah aku ni. Aku minta 3,000 aje, bukan 300,000." Herdik Makngah Zaharah dengan nada tinggi.

Dari dulu dia memang tak pernah sukakan anak saudaranya ini. Menyusahkan hidup dia saja.

Kalau tak kenangkan arwah mak dia dan juga duit bulanan yang Marissa bagi, dah lama dia usir Marissa dari rumah.

"Mana Rissa nak cari duit sebanyak tu, makngah..."

"Kau kan kerja. Mana pergi semua duit kau kerja?"

Makngah Zaharah lupa agaknya kemana semua duit Marissa. Kalau tak Makngah yang habiskan, Nurin la yang jadi tukang pau duit dia. Bila tak bagi mula la nak mengungkit pasal dia menumpang dekat rumah mereka.

"Rissa tak ada duit sebanyak tu, makngah. Rissa baru je tukar kerja lain. Mana ada duit lagi."

Marissa hela nafas dalam diam. Takkan dia nak cerita satu persatu dekat Makngah?

Selain bagi duit dekat Makngah dan Nurin, duit dia semua habis untuk bayar segala belanja rumah, segala bil, susu pampers dan duit taska Fayyadh lagi. Tambang LRT untuk dia ulang alik pergi kerja lagi.

"Kan Hakim dah bagi duit 15,000 ringgit dekat kau. Ingat aku tak tahu?" Bidas Makngah Zaharah dengan senyuman sinis terukir di bibir. Apa Marissa ingat dia tak tahu soal tu? Kalau soal duit dia memang telinga lintah.

Minggu lalu dia terdengar Marissa berbual dengan Hakim di telefon. Hakim dah bank-in berbelas ribu duit ke dalam akaun anak saudaranya. Jadi dia sebagai ibu saudara, haruslah dia cekau sedikit sebanyak duit yang ada.

"Duit yang Hakim bagi tu untuk persiapan majlis kami nanti."

"Kahwin dengan perempuan murah macam kau ni pun nak buat majlis? Nak raikan apa? Dapat saki baki orang?" Ujar Makngah Zaharah penuh sindiran pedas.

Dia sendiri tak habis fikir, perempuan murah macam anak saudara dia ni pun ada lelaki yang berkenan nak jadikan bini.

"Makngah!!!" Naik seoktaf suara Marissa. Sampai hati Makngah Zaharah berkata begitu.

Dah empat tahun berlalu, tapi tak pernah sehari pun Makngah Zaharah berhenti hina dan herdik dia dan Fayyadh.

"Salah ke aku cakap? Aku tak kira, bulan ni aku nak kau bagi jugak 3,000 ringgit dekat aku. Kau cakap dekat bakal laki kau yang korang berdua buat yang wajib saja dah cukup. Nikah dekat pejabat agama. Tak payah berangan nak buat majlis bagai." Putus Makngah Zaharah.

Marissa bangun dan angkat Fayyadh ke dalam dakapannya sebelum mengatur langkah ke arah bilik tidurnya tanpa mempedulikan komentar Makngah Zaharah yang berbunyi seperti arahan itu.

[Rissa, Hakim nak jumpa malam ni. Ada benda nak bincang. Boleh?]

Marissa baca kiriman mesej yang diterima dari tunangnya, Hakim. Hari dah senja, badan dia pun dah terasa letih. Rasa malas pula nak keluar.

Tapi bila difikirkan, mungkin Hakim ada hal penting yang perlu dibincangkan. Memikirkan itu, pantas Marissa bangun dari katil. Tuala yang tersidai dicapai.

Mahu menyegarkan badan setelah penat bekerja seharian. Lepas maghrib barulah dia cadang mahu keluar berjumpa dengan Hakim.

Marissa : His Precious Wife (Ongoing)Where stories live. Discover now