Langit senja mulai kelihatan ketika Datuk Emran dan Datin Fauziah melangkah keluar dari hospital. Cahaya matahari yang perlahan-lahan meredup memberikan suasana yang sedikit menenangkan hati mereka, walaupun hanya seketika. Langkah mereka berat, namun Datuk Emran terus maju dengan tegas, sementara Datin Fauziah masih tenggelam dalam perasaannya yang bercelaru.
"Gee, kita lakukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Apa yang kita buat selama ini untuk kebahagiaan diaorang juga," kata Datuk Emran perlahan, seolah-olah ingin meyakinkan bukan hanya isterinya, tetapi juga dirinya sendiri.
"Tapi, bang," balas Datin Fauziah sambil memperlahankan langkahnya, membuatkan Datuk Emran juga terpaksa berhenti. "Gee rasa kita tak bagi Angah pilihan. Kita asyik fikirkan pasal Isha dan tak pedulikan perasaan Angah."
Datuk Emran menghela nafas panjang. "Gee, kita tak boleh berpatah balik sekarang. Pertunangan ini dah terlalu lama untuk dibatalkan. Kita tak nak memalukan keluarga Is,"
Datin Fauziah terdiam sejenak, merenung jauh ke arah jalan raya yang mulai dipenuhi kenderaan yang berpusu-pusu balik ke rumah masing-masing. Pandangannya kabur, bukan kerana cahaya matahari yang silau, tetapi air mata yang mengalir perlahan di pipinya. Dia tahu suaminya seorang yang keras hati, dan keputusannya jarang sekali berubah.
Namun, jauh di sudut hatinya, Datin Fauziah tidak dapat menahan rasa bersalah yang semakin menebal. Dia menyayangi anaknya, Emir dan Sofia dengan sepenuh hati. Dia juga sayangkan Isha, anak gadis sahabat baik suaminya yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Tetapi, sebagai seorang ibu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan ini.
"Bang, kalau Angah pilih untuk tak teruskan pertunangan ini, apa yang abang akan buat?" tanya Datin Fauziah tiba-tiba, nadanya serius, cuba menilai reaksi suaminya.
Wajah Datuk Emran berkerut sedikit. Dia tidak menyangka soalan itu akan dilontarkan oleh isterinya. "Gee, Angah tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Kita perlu percaya dengan keputusannya."
"Tapi, kita tak pernah tanya dia apa yang dia nak, bang. Kita yang buat keputusan dan berharap dia akan ikut" suara Datin Fauziah semakin tersekat-sekat. "Sofi dengan anak-anak pun perlukan Angah sekarang. Mungkin lebih daripada Isha perlukan dia."
Datuk Emran memandang isterinya dengan penuh kebimbangan. "Gee, kita tak boleh pandang ke belakang lagi. Keputusan dah dibuat."
Datin Fauziah berasa hatinya terlalu berat untuk terus memendam rasa. Dia tahu, berbicara dengan suaminya tidak akan mengubah keadaan, tetapi dia perlu melepaskan apa yang terbuku di hati. Setibanya di rumah, langkah kakinya pantas menuju ke bilik anak bongsunya, Elly. Hanya Elly yang selalu memahami perasaannya.
"Adik..." Datin Fauziah mengetuk pintu. Suara Elly membenarkan Datin Fauziah kedengaran.
"Sorry ma, adik pakai baju tadi. Ada apa ma?" soal Elly melabuhkan punggungnya di atas katil. Wajah Elly kelihatan resah, sebaik sahaja matanya bertaut dengan Datin Fauziah.
"Kenapa ni ma?" Elly pegang tangan Datin Fauziah.
Tanpa membuang masa, Datin Fauziah menumpahkan segala-gala keresahan dalam hatinya. Air mata yang ditahan tadi, mengalir ke pipinya. Dengan hujung baju, dia mengelap pipinya yang basah.
Elly memandang ibunya dengan penuh simpati. "Sebenarnya kan ma, adik pun rasa yang sama. Keputusan papa untuk teruskan pertunangan angah dengan kak Isha ni... Adik tak setuju. Adik tahu angah sayangkan Sofi, it's crystal clear."
Datin Fauziah menghela nafas berat. "Apa kita nak buat ni, dik? Papa kamu bukan jenis yang mmudah nak ubah fikirannya, terutama bila melibatkan uncle Is,"
Elly mengangguk, memahami dilema yang dirasai oleh ibunya. "Adik tahu, ma. Farish dan Irina juga terkesan kalau pertunangan ini diteruskan. Dioarang kecil lagi untuk faham apa yang berlaku, tapi akhirnya diorang juga yang kecewa,"
![](https://img.wattpad.com/cover/338740922-288-k587857.jpg)
YOU ARE READING
Tak kan Pernah Ada
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...