Malam itu, rumah yang sebelumnya sunyi tiba-tiba dipecahkan dengan bunyi langkah kaki yang tergesa-gesa dan suara yang tegang. Datuk Emran melangkah keluar dari bilik pejabatnya dengan wajah yang garang, penuh dengan kemarahan yang tidak dapat disembunyikan.
"Emir!" suara Datuk Emran bergema di seluruh rumah, menandakan ketegangan yang akan datang.
Emir yang baru hendak makan di meja makan segera terkejut mendengar panggilan itu. Dia menoleh ke arah ayahnya, dia dapat merasakan amarah yang sedang membara dalam diri ayahnya, dan dia tahu ini bukanlah pertanda baik.
"Ya, pa?" Emir menjawab dengan nada perlahan, cuba menenangkan keadaan.
Datuk Emran melangkah mendekati Emir dengan langkah berat, wajahnya penuh dengan ketegangan. "Apa yang kamu dan Isha bincangkan semalam masa di wad?" soalnya dengan nada yang dingin tetapi penuh dengan kemarahan yang terkawal.
Emir menelan liur, cuba mencari kata-kata yang sesuai. "Emm...Kami... Kami bincangkan pasal pertunangan kami," jawabnya dengan hati-hati, tidak mahu menambah minyak kepada api kemarahan yang sedang membara dalam diri ayahnya.
Mendengar jawapan itu, wajah Datuk Emran semakin merah. "Apa yang kamu bincangkan sampai Uncle Is call papa untuk bagitahu yang Isha nak putuskan pertunangan? Apa yang kamu dah buat, Emir?" suaranya semakin meninggi, menunjukkan kemarahannya yang tidak dapat dibendung lagi.
Emir merasakan dadanya semakin sesak. Dia membasahkan bibirnya, cuba mencari kekuatan untuk menjelaskan keadaan sebenar. "Pa... yang sebenanrnya angah dengan Isha tak pernah pun ada perasaan. Kami dah cuba tapi tak boleh, kami memang..."
Namun, sebelum sempat Emir meneruskan kata-katanya, Datuk Emran segera menegah. "Diam! Papa tak nak dengar sebarang alasan! Kamu fikir kamu boleh buat keputusan sesuka hati? Papa nak kamu hadam ni, hanya Isha yang layak menjadi menantu di rumah ini. Ini keputusan Papa, dan kamu tak ada hak untuk mengubahnya!" suaranya memecah keheningan, penuh dengan kekerasan yang tidak dapat dikawal lagi.
Emir terdiam, rasa kecewa dan tertekan melingkari dirinya. Dia cuba menahan perasaan marah dan sedih yang bergolak di dalam hatinya.
Datin Fauziah yang sejak tadi hanya berdiri di tepi, menyaksikan perbalahan itu dengan hati yang pilu. Akhirnya, dia memberanikan diri untuk bersuara, cuba meredakan ketegangan yang semakin memuncak. "Bang, jangan buat begini. Angah cuma jujur dengan perasaannya. Kita dengar dulu apa yang dia nak cakap,"
Namun, Datuk Emran tidak memberi ruang untuk bantahan. Dia menoleh ke arah isterinya dengan wajah yang marah, matanya berkilau dengan kemarahan yang membara. "Gee, jangan masuk campur! Ini antara abang dengan angah.Cukup-cukuplah awak nak membela anak awak ni! Keputusan abang adalah muktamad!" bentaknya dengan tegas, membuatkan Datin Fauziah terdiam dengan hati yang remuk.
Datin Fauziah menundukkan kepala, tidak berani membalas lagi. Air matanya mula bergenang, tetapi dia cuba menahan diri daripada menangis di hadapan suaminya. Dia tahu betapa tegasnya Datuk Emran dalam hal ini, dan dia juga tahu apa sahaja yang dia katakan tidak akan mengubah pendirian suaminya.
Emir yang menyaksikan ibunya dimarahi, merasa hatinya semakin berat. Dia tahu ibunya hanya ingin membantu. "Pa... Angah nak yang terbaik untuk semua. Angah tak nak lukakan hati sesiapa, tapi Angah juga tak boleh tipu diri sendiri."
Namun, kata-kata Emir hanya seperti mencurah air ke daun keladi. Datuk Emran tetap dengan pendiriannya. "Kamu ingat baik-baik, Emir. Apa pun yang berlaku, kamu tetap akan berkahwin dengan Isha. Papa tak nakdengar lagi soal ini! Kamu jangan buat papa malu di hadapan Uncle Is dan keluarganya. Faham?!" Jari telunjuk Datuk Emran lurus menghala ke muka Emir.
Emir hanya mampu mengangguk perlahan, walaupun hatinya penuh dengan rasa kecewa dan kesedihan. Dia tahu ini bukan pertempuran yang boleh dia menang. Ayahnya sudah membuat keputusan, dan buat masa ini dia terpaksa akur walaupun hatinya menjerit untuk memberontak.

ANDA SEDANG MEMBACA
Tak kan Pernah Ada (Completed)
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...