Bab 52

16 1 0
                                    

Emir sudah pun bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar melalui aplikasi Zoom. Walaupun dia terpaksa bekerja dari rumah ibu bapanya, tanggungjawab besar yang dipikulnya sebagai Ketua Pengarah Operasi Rasa Riang Resort milik keluarganya tidak pernah terhenti. Dia menatap skrin komputernya, memastikan semua staf pengurusan telah bersedia dalam mesyuarat maya itu.

Wajah-wajah pekerja pengurusan muncul di skrin, dengan riak wajah masing-masing mencerminkan kebimbangan yang sama. Emir menarik nafas dalam, bersedia untuk menyampaikan berita penting yang menjadi fikirannya dari malam tadi.

"Terima kasih kerana semua dapat hadir dengan segera, walaupun secara maya," Emir memulakan mesyuarat dengan nada yang tenang namun tegas. "Saya tahu awak semua sudah bekerja keras untuk persiapan perasmian dan pembukaan Hotel Library Kota Kinabalu (HLKK). Namun, saya perlu memaklumkan kepada awak semua, perasmian HLKK mungkin akan ditunda,"

Para pekerja saling berpandangan, jelas terkejut dengan pengumuman tersebut. Aliya, pengurus operasi, yang terkenal dengan keberanian dalam bertanya soalan sukar, segera mengajukan soalan yang terlintas di fikirannya.

"Encik Emir, boleh kami tahu sebab penundaan ini? Adakah ini berkaitan dengan masalah dalaman atau ada sebab lain yang perlu kami ketahui?" Aliya bertanya dengan nada prihatin, tetapi tetap profesional.

Emir terdiam seketika, mencari kata-kata yang tepat. "Saya mohon maaf, tetapi saya tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai sebab penundaan ini buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan ialah, ia melibatkan perkara yang di luar kawalan saya. Namun, saya minta semua staf kekal fokus dan terus menjalankan tugas seperti biasa di Rasa Riang Resort."

Zainal, ketua bahagian penyelenggaraan, mengangguk dengan ragu-ragu sebelum bertanya, "Adakah ini bermakna kita perlu mengubah jadual kerja kita atau ada perubahan lain yang perlu dilakukan, Encik Emir?"

Emir memandang mereka dengan serius, menjelaskan keputusannya. "Tidak perlu ada perubahan drastik buat masa ini. Saya mahu semua jabatan meninjau semula tugas masing-masing dan memastikan operasi di Rasa Riang Resort berjalan lancar. Kita akan terus fokus pada perkhidmatan pelanggan dan memastikan setiap aspek operasi berada pada tahap terbaik."

Para pekerja mengangguk dalam persetujuan, walaupun wajah mereka jelas penuh dengan tanda tanya. "Awak semua tak perlu risau, kerja awak semua masih selamat. Saya tak akan sembunyikan apa-apa perkara penting yang melibatkan staf saya tapi saya sangat berhjarap awak semua faham, keputusan yang saya buat ini untuk kebaikan HLKK secara menyeluruh,"

Sebelum mengakhiri mesyuarat, Emir menambah, "Saya mahu kita semua bekerja dengan semangat yang tinggi. Jangan jadikan penundaan ini sebagai halangan, tetapi anggaplah ia sebagai peluang untuk kita memperbaiki lagi apa yang kita ada. Saya yakin kita akan melalui semua ini dengan baik,"

Setelah mesyuarat selesai, Emir menghela nafas panjang, menutup laptopnya dan merebahkan diri di atas katil di bilik lamanya. Dia memandang crutches yang diletakkan di sisi katilnya setelah dia bercadang untuk berhenti menggunakan kerusi rodanya. Kedua-dua peralatan itu menjadi peringatan betapa rapuhnya hidup ini.

Sedang dia berbaring sambil memejamkan mata, dia mendengar ketukan perlahan di pintu. Dia membuka matanya dan mendengar suara lembut yang sudah dikenali.

"Papa, boleh kami masuk?" suara Rin, anak perempuannya, bertanya dengan lembut.

"Masuklah," jawab Emir dengan senyuman kecil, walaupun dia masih merasa letih.

Pintu perlahan-lahan terbuka, dan dua anak kembarnya, Farish dan Irina, masuk dengan senyuman ceria. Mereka melangkah ke arah papa mereka dengan hati-hati, memahami Emir masih belum pulih sepenuhnya.

Tak kan Pernah AdaWhere stories live. Discover now