Bab 1

300 13 0
                                    

BERAKHIR sudah. Ikatan sebuah perkahwinan terlerai akhirnya tanpa relaku. Aku pasrah. Air mata sudah kering dan rasanya tak ada apa yang perlu aku tangiskan lagi. Menangis air mata darah sekalipun, takkan mampu mengubah takdir yang sudah tertulis.

Mahu tak mahu, aku terpaksa belajar untuk pasrah walau sangat menyakitkan. Aku perlu mulakan hidup baru dengan status baru. Setelah lima tahun memegang status isteri, sekarang terpaksa aku bawa status janda. Tak mengapalah, sekarang aku perlu kuat untuk berhadapan dengan pelbagai keadaan. Hidup tanpa cabaran, bukanlah hidup namanya.

Khairul jumpa aku ketika aku sudah bersedia untuk tinggalkan kawasan mahkamah. Semua urusan perceraian dipermudah kerana kami tiada sebarang tuntutan. Bahagian anak juga tiada kerana kami tidak memiliki anak sepanjang perkahwinan kami.

Soal harta sepencarian juga tidak kami bahas. Tiada apa yang hendak aku rebutkan kerana semuanya hak milik Khairul. Aku pun tak berminat bab harta sepencarian. Bab duit aku tak hairan, aku masih ada pekerjaan. Tak hadap duit Khairul.

"Maafkan abang. Abang sudah mungkir janji untuk menjaga Tihah dengan baik. Abang tak mampu tunaikan janji-janji abang."

Aku nampak dengan jelas mata Khairul merah. Jarang sekali dia begini tapi apa boleh buat. Takdir sudah berkata lain. Mahu tidak mahu, kami perlu terima kenyataan sepahit apa pun.

"Abang mungkir janji." Menitis juga air mata lelaki Khairul.

Dah kenapa nak menangis bagai? Bukankah dia sendiri yang memilih keputusan begini. Drama saja lebih. Konon nak meraih simpati aku agar tidak menyalahkan dia. Sudahlah Khairul. Pergi jahanam muka sedih kau tu. Sikit pun aku tak percaya lagi.

"Tak apalah, abang. Sudah tertulis jodoh kita hanya sampai di sini. Tihah pasrah. Tak ada apa yang Tihah kesalkan. Lima tahun ini sangat membahagiakan Tihah. Terima kasih, abang."

Aku masih bertenang. Dari dulu juga aku begini, dari awal aku mengetahui tentang hubungan Khairul dengan kekasihnya, aku cuba berfikiran positif dan selalu bertenang. Bukan aku jenisnya yang hendak menyerang tak tentu fasal hanya kerana Khairul menjalin kasih baru. Kalau sudah tidak sayang, hendak diapakan lagi. Ya, sudahlah. Mengalah adalah lebih baik. Reda merupakan pilihan terbaik daripada aku meroyan seperti orang gila. Hidup juga tidak tenang, malahan jadi umpatan orang.

Dari mula lagi aku sudah membuat persediaan. Mungkin dari kecil aku sudah terbiasa dengan perpisahan orang tua, jadi aku lebih memahami keadaannya bagaimana. Siapa kata tak sakit? Sangat sakit. Cuma sakit yang ini tiada ubatnya, hanya perlukan masa unuk menghilangkan segala kesakitan. Mujur juga aku sudah terbiasa disakiti, jadi sedikit tidak aku dapat berhadapan dengan keadaan ini.

Air mata lelaki Khairul jatuh lagi. Cepat-cepat dia sapu dan pandang ke arah lain. Tak tahu kenapa dia begitu. Sepatutnya aku yang harus menangis kerana aku yang diceraikan. Ini terbalik pula. Khairul terlebih emosi. Macam aku cakap tadi, drama lebih dia ni.

"Tahniah juga untuk perkahwinan abang. Tihah doakan abang akan bahagia di samping orang yang abang sayang. Selepas ni jangan buat perangai lagi tau. Setialah hingga ke akhir hayat. Setia itu sangat mahal."

Ikhlaskah nasihatku ini? Tidak. Biarlah Khairul curang, barulah perempuan tu rasa apa yang aku rasa selama ini. Baru padan dengan muka bakal isteri dia.

"Sayang abang pada Tihah takkan berubah sampai bila-bila. Abang tetap sayang Tihah dan di dalam hati abang hanya ada Tihah seorang."

Dengar boleh, percaya jangan. Lelaki memang begitu. Sampai mati pun aku takkan percaya kata-kata Khairul. Buat aku rasa nak muntah saja. Masih sayang konon. Pergi jahanam sayang dia tu.

"Tak perlu abang pujuk Tihah lagi. Tihah sedar diri. Tihah tidak lagi bertempat di hati abang. Abang sudah buang Tihah dan Tihah akan pergi jauh dari hidup abang. Cuba kalau bakal isteri abang dengar apa yang abang ucapkan ini, mahu tak makan hati dia. Cukuplah abang sakiti hati Tihah, jangan sakiti hati perempuan lain."

Aku senyum tawar. Walau hati dirobek-robek, aku bertahan agar tidak menangis. Menangis, tanda aku kalah. Berapa kali lagi aku harus menerima kekalahan, jadi untuk kali ini aku cuba bertahan.

"Percayalah cakap abang. Abang tetap sayang Tihah sampai bila-bila."

Sayanglah sangat. Dan aku sumpah, mereka takkan bahagia selagi mana aku tidak bahagia.

"Kalau abang sayang, abang tak buat Tihah begini. Tihah dah cakap Tihah sanggup bermadu, tapi abang tetap pilih ceraikan Tihah. Sayang ke kalau macam tu?"

"Kan abang dah cakap. Abang terpaksa."

"Sudahlah, abang. Abang tu lelaki. Kuasa di tangan abang. Bila abang cakap macam ni barulah Tihah tahu yang abang ni dayus orangnya. Lemah!"

"Bukan begitu. Tihah tak faham."

"Tihah faham, abang. Bakal isteri abang tak sanggup bermadu. Dia yang paksa abang buat pilihan. Disebabkan abang lebih sayangkan dia, abang ikutkan saja cakap dia. Abang tak payah nak tipu Tihah. Semuanya Tihah dah tahu. Betapa dayusnya abang. Demi cinta baru, abang buat keputusan begini. Tapi tak apa, demi kebahagiaan abang, Tihah terima dengan hati yang sangat sakit."

Begitulah cerita yang sebenarnya. Si buah hati tidak mahu bermadu lalu memaksa Khairul ceraikan aku.

"Abang minta maaf..."

Betapa lemahnya Khairul.

"Tihah maafkan. Selepas ini kita sudah tiada sebarang hubungan lagi. Tihah pergi dulu." Malas nak tengok drama air mata Khairul yang palsu.

"Tihah tinggallah di rumah kita selama mana Tihah nak tinggal. Rumah tu rumah Tihah."

Kenapa aku rasa nak muntah mendengar kata-kata Khairul? Pandai betul dia main drama. Aku tak bodoh, Khairul. Cara itulah yang dia gunakan untuk menghalau aku.

"Tihah tahu. Habis idah nanti Tihah akan keluar dari rumah abang. Abang jangan bimbang fasal tu." Hanya kerana terikat dengan masa idah saja, ikutkan hati, hari ini juga aku keluar dari situ.

Khairul kesat air matanya.

"Halalkan makan minum Tihah."

"Ya, abang halalkan."

"Assalamualaikum." Aku beri salam.

"Waalaikumussalam."

Melangkah pergi dan aku akan pergi dari kehidupan Khairul. Semoga nanti aku juga diberi rezeki untuk hidup bahagia seperti mana Khairul berbahagia dengan kekasihnya.

Tinggallah semua. Tinggallah kenangan. Aku akan baik-baik saja nanti. 

Pergilah SayangWhere stories live. Discover now