Bab 11

70 7 0
                                    

SEPI dan hening. Terasa sangat kosong. Rumah teres satu tingkat, hasil dari jerih payah Khairul, terasa sangat suram. Sejak tuan rumah memilih untuk keluar, semakin suram suasana.

Apa boleh buat, sudah kehendak tuan rumah begitu. Dia memilih untuk bahagia bersama orang lain. Apalah dayaku untuk menghalang bila orang sudah tidak sayang? Khairul berhak untuk hidup bahagia bersama orang lain bila dia tidak bahagia bersamaku.

Aku tidak akan menyalahkan dia dalam hal ini kerana Khairul ada hak untuk menentukan apa yang terbaik untuk hidupnya. Kalau dengan menyingkirkan aku dia bakal berjaya dengan apa yang dia impikan, aku pasrah. Aku ikhlaskan semuanya.

Masa berjalan terlalu cepat. Sedar tak sedar sudah sebulan kami rasmi bercerai. Tinggal lagi dua bulan idahku bakal tamat. Bab ini terasa lambat. Sangat lambat.

Telefon berbunyi. Khairul? Ada apa telefon aku? Mahu aku keluar dari rumah dengan kadar segera? Atau mahu menjemput aku ke majlis nikah dia? Atau bakal isteri paksa jemput aku? Jawab sajalah dari terus berteka-teki.

"Assalamualaikum, abang." Aku beri salam seperti biasa.

"Waalaikumussalam. Tihah sihat?"

"Alhamdulilah. Abang?"

"Alhamdulilah. Tihah dah makan?"

"Tihah dah jarang makan malam. Tinggal sorang-sorang ni lagi tak selera nak makan. Abang dah makan ke?"

"Belum juga."

"Mak masak apa hari ni?"

"Sambal ikan masin, kari telur."

"Sedapnya."

"Biasa aje. Mak pun dah tak tahu nak masak apa. Ayuni dah pindah tinggal rumah mak. Tak mampu nak bayar sewa. Makin serabut rumah. Mana nak tanggung dia anak-beranak lagi."

Eh! Siapa suruh ikut telunjuk adik? Adik pula memang jenis mengikis. Memang dia kikislah habisan. Abang pula lembut hati. Memang padan sangatlah.

"Kenapa abang tak benarkan dia tinggal di rumah abang ni?"

"Tu rumah Tihah. Lagipun abang tak nak bagi muka kat dia. Nanti makin melampau."

Yang ini aku setuju dengan Khairul. Ayuni memang tidak boleh diberi muka. Makin melampau. Orang kata beri betis nak paha. Sudahlah kurang ajar. Bukan mak Khairul tak ajar, tapi memang jenis kurang ajar dari azali. Sudah tidak boleh buat apa.

Padan dengan muka kau, Ayuni. Nampaknya abang kau pun tak bagi muka pada kau. Makin sengsaralah hidup kau. Mahu melihat kehancuran rumah tangga aku, tapi hidup kau juga bakal kucar-kacir.

"Sebenarnya abang ada hal nak cakap dengan Tihah. Abang nak nikah esok."

Senyap. Terasa sangat hening. Akhirnya Khairul bakal dimiliki oleh orang lain. Rasa seperti ada yang menikam tangkai hati. Terasa sangat pedih. Aku cuba belajar untuk reda, namun kali ini agak sukar.

"Abang nak nikah esok." Khairul ulang semula ayatnya. Mungkin dia fikir aku tidak mendengarnya.

"Tahniah." Sebak tiba-tiba menguasai jiwa.

"Terima kasih. Abang mungkin cuti seminggu."

Kenapa dia nak beritahu aku? Dia cuti berminggu-minggu pun bukan masalah aku.

"Kenapa nak beritahu Tihah? Kita sudah tak ada kena-mengena. Abang tak perlu beritahu Tihah dan Tihah pun tak perlu beritahu abang apa-apa fasal Tihah." Apakah Khairul masih belum boleh terima hakikat yang kami bukan lagi suami isteri?

"Mana tahu nanti Tihah tercari-cari abang."

"Eh! Takkanlah Tihah nak tercari-cari suami orang pula. Bodohlah Tihah." Aku buat-buat ketawa. Apa Khairul ingat selama ini aku tercari-cari dia? Khairul ingat aku masih mengharapkan dia. Panas hati aku jadinya. Padanlah Delisha pun tuduh aku masih mengharapkan Khairul. Rupanya Khairul sudah salah sangka.

Sabar, sabar. Ada jalan penyelesaian. Tak boleh marah melulu.

"Tak apalah kalau macam tu."

"Tahniah sekali lagi. Ingat tau pesan Tihah. Cukup-cukuplah buat perangai. Belajarlah untuk setia. Setia tu sangat mahal tau."

"Ya. Abang akan ingat."

"Okeylah abang. Tihah tahu abang perlukan rehat. Assalamualaikum."

Aku tak boleh berbual lagi. Makin sakit hati. Aku masih tercari-cari dia? Ingat aku masih sayang dia. Ah! Sakitnya hati.

"Waalaikumussalam."

Laju aku matikan panggilan. Aku takkan tercari-cari dia lagi. Sumpah, takkan sama sekali. 

Pergilah SayangWhere stories live. Discover now