PAGI baru pun bermula. Cahaya matahari cantik dan indah. Semoga hari aku juga cantik dan indah. Aku baik-baik saja hari ini. Emosi juga tak terganggu. Alhamdulilah, masih bernafas dengan baik. Yang lepas, biarkan berlalu. Jangan dikenang lagi. Kalau dikenang menambah sakit hati. Baik lupakan terus.
Sebaik sahaja aku keluar kereta, bakal isteri Khairul sudah menunggu. Nak serang aku ke? Tak puas hati sebab Khairul belikan aku sate? Kalau itu alasannya, kenapa tak serang Khairul saja? Kononnya tak ada sebarang masalah. Habis, kalau tak bermasalah kenapa nak serang aku? Bodoh punya perempuan. Perempuan bodoh ini juga yang Khairul berkenan.
Geram aku jadinya. Pagi-pagi buat hal.
"Nak cakap sikit."
Amboi, sombongnya. Bagi salam pun tidak. Tak tahulah macam mana Khairul boleh terpikat dengan perempuan jenis begini.
Budi bahasa 'out'. Memanglah cantik. Pandai bergaya, pandai bersolek. Kulit pun putih melepak, tapi kalau sopan santun tak ada, tak guna juga. Dia yang jadi penyondol, dia pula yang berani menyerang aku.
"Silakan." Aku balas dengan tenang. Nak cakap banyak pun boleh. Aku tak ada masalah. Aku sudah cukup bersedia. Kau tampar aku, aku akan balas balik. Takkan berdiam diri sebab aku memang tidak takut. Jangan fikir aku tak boleh tunjuk jahat aku. Selama ni aku simpan saja posisi jahat aku sebab tak nak orang nampak. Tapi kalau nak tengok sangat, aku boleh tunjuk. Tak ada masalah.
"Boleh tak jangan mengharap Khairul lagi? Khairul dah tak sayang awak. Tak guna awak menagih macam pengemis."
Ini kalau aku lempang, seminggu sakit pipi. Suka hati tuduh aku masih mengharap. Sabar Tihah. Kau kena tunjuk kau ada otak. Kalau aku melenting, takut orang bodoh jadi dua. Cukuplah seorang saja yang bodoh.
"Saya mengharap Khairul?" Aku ketawa sinis.
"Ya, awak masih mengharap Khairul, bukan?" Suara Delisha sudah lain macam. Bermakna dia sudah panas.
"Awak dengar sini baik-baik. Sejak bercerai, saya tak pernah kacau dia. Saya pun tak minta dia belikan saya sate. Takkan fasal sate awak nak tuduh saya kacau Khairul? Kalau awak tak suka Khairul ambil berat tentang bekas isteri dia, awak ada mulut, kan? Awak tak boleh cakap yang awak tak suka dengan apa yang Khairul buat? Yang pergi serang saya dah kenapa? Bodoh betul awak ni."
Ambik kau. Aku tengah panas hati kau cari fasal. Memang dapatlah bodoh dengan aku. Selama ini aku diamkan saja sebab aku tak nak cari gaduh. Tapi kalau orang lain yang mulakan, silakan. Aku terima dengan tangan yang terbuka. Jangan salahkan aku kalau tangan aku terbabas sampai pipi nanti. Ada masanya aku boleh sabar. Dan ada masanya, sabar aku boleh hilang.
Muka Delisha berona. Agaknya terkejut aku cakap dia bodoh. Memang bodoh pun. Konon depan Khairul tunjuk baik. Memahami keadaan Khairul. Tapi sorang-sorang makan hati. Kepala hotak dialah.
"Kalau sebelum ni awak boleh kawal Khairul, kenapa sekarang tak boleh? Kenapa harus menyalahkan saya? Seperti mana awak pandai menawan hati Khairul. Seharusnya awak juga pandai menguasai dia. Bukannya buat tuduhan tak berasas terhadap saya." Aku serang Delisha bertubi-tubi. Tak mahu beri peluang dia bercakap.
"Saya tahu awak masih sayangkan Khairul. Awak masih mengharapkan Khairul rujuk dengan awak semula. Tak payahlah awak nak tipu. Mustahil awak boleh lupakan Khairul begitu saja."
Perasaan sudah mendidih. Hilang sabar, memang bergaduh di sini. Mujur aku boleh bertahan lagi.
"Salah tu. Barang, kalau saya dah buang, saya buang terus. Saya takkan kutip semula. Jadi, awak jagalah sampah yang saya dah buang tu. Kalau boleh dapatkan barang baru dan lebih baik dari barang yang saya buang tu, ada sebab ke saya nak kutip balik?" Aku senyum sinis.
YOU ARE READING
Pergilah Sayang
General FictionBerakhir sudah ikatan suci yang dijalin selama ini dengan penuh cinta dan sayang. Pedih hati Fatihah tidak dapat digambarkan saat Khairul terpaksa menceraikannya. Mereka harus berpisah. Jodoh antara mereka sudah habis. "Maafkan abang. Abang sudah mu...