Bab 6

110 5 1
                                    

SAMPAI rumah sudah pukul enam petang. Selalunya aku akan kalut di dapur untuk siapkan makan malam. Sekarang, aku boleh terus berehat. Tak perlu nak masak dan mengemas rumah. Tak ada yang merungut kalau rumah bersepah. Makan pun kalau aku rajin aku masak. Kalau malas, makan sajalah apa yang ada.

Telefon berbunyi masa aku mahu baring di atas sofa. Mak? Kenapa telefon? Jarang mak telefon aku. Aku pun sama, sebabnya setiap kali aku telefon mak, mak mesti cakap telefon lain kali, mak sibuk. Tak ada masa nak layan aku. Jadi, aku malas nak telefon. Tawar hati sebenarnya.

Mak dengan ayah bercerai masa aku umur dua belas tahun. Ayah kahwin dengan kekasihnya dan selepas tiga tahun menjanda, mak pula berkahwin lain. Aku mereka tinggalkan dengan opah, ibu kepada mak. Membesarlah aku dengan opah. Mak dengan ayah memang sudah lupakan aku. Cumanya selepas aku bekerja barulah mereka cari aku. Itu pun sebab nak duit. Dan pastinya mak telefon aku kali ni sebab nak duit. Maklumlah, sekolah dah nak buka tak lama lagi.

"Assalamualaikum, mak." Masih berusaha menghormati mak. Tidak mahu digelar anak derhaka.

"Waalaikumussalam. Tolong bank in duit. Mak nak pakai duit dalam lima ratus."

Sudah aku agak. Telefon aku semata mahu duit. Kalau tidak, haram mak nak telefon aku. Jauh sekali nak tanya khabar aku. Seolah-olah aku bukan anak mak.

"Maaf, mak. Tihah tak ada duit. Tihah baru bercerai."

Kali ini aku takkan bagi mak duit. Sesekali aku kena ajar mak sama. Asal nak duit, cari aku. Sampai bila mak nak harapkan aku. Mak bukannya tak ada suami. Nasib mak dapat suami pemalas.

"Bercerai?"

"Ya, Tihah dengan Khairul baru bercerai. Banyak nak pakai duit untuk mulakan hidup baru. Jadi, tahun ni memang tak dapat bagi duit."

Alasan. Sebenarnya duit simpanan aku pun banyak. Cuma aku memang tak nak bagi. Cukuplah aku berkorban selama ini.

"Itu masalah kamu. Tak ada kena-mengena dengan mak. Tapi mak nak juga duit, tak kiralah kamu bercerai atau apa. Duit tetap kena bagi."

Nampaknya mak tak kesah langsung aku sudah bercerai. Jauh sekali nak tanya kenapa aku bercerai. Mahu bagi aku semangat pun haram. Mak hanya perlukan duit aku sahaja, lain hal mak takkan ambil tahu.

Beginilah nasib anak terbuang.

"Itulah yang Tihah cakap, mulai sekarang Tihah kena mulakan hidup baru. Perlukan duit untuk mulakan kehidupan baru. Jadi, Tihah tak boleh nak tolong mak kali ni. Dan rasanya pada masa akan datang pun Tihah tak boleh nak tolong mak lagi. Tihah minta maaf sangat-sangat sebab tak dapat tolong mak."

Aku kena keraskan hati. Selagi aku tidak tegas, selagi itulah aku akan dipergunakan selalu sedangkan aku tidak diumpamakan langsung.

"Kamu tolonglah pinjam dengan sesiapa. Mak memang perlukan duit sekarang ni. Terdesak sangat." Mak merayu. Namun rayuan mak kali ini takkan mampu melembutkan hati aku.

"Maaf, mak. Tihah tak biasa meminjam. Mak ajelah pinjam dengan sesiapa."

"Tak payah nak ajar mak. Mak tahulah nak buat macam mana. Masalah sekarang ni, semua tak nak bagi mak pinjam duit."

"Dah mak meminjam tapi tak bayar, susahlah orang nak bagi pinjam lagi. Kita kalau meminjam, usahakan untuk bayar balik. Baru senang kita nak pinjam balik."

"Kurang ajar punya anak. Pandai pula mengajar aku. Kalau pandai sangat, kenapa kena cerai?"

Aduhai, mak ungkit pula soal penceraian aku. Macam mak tak pernah kena cerai.

"Tihah tak ada niat pun nak mengajar mak. Tihah sekadar ingatkan saja. Bab hutang ni jangan main-main. Bawa sampai mati."

"Sudahlah! Cakap saja pandai. Laki pun tak pandai jaga."

Mak matikan panggilan. Marah betul mak. Julung kalinya gagal mendapatkan wang daripadaku.

Aku hela nafas dalam-dalam. Asal nak duit baru cari aku. Langsung tak tanya apa masalah aku. Soal aku bercerai juga dipandang ringan.

Anak mak dengan suami baru ada lima orang. Anak ayah pula tiga orang. Anak-anak ayah sudah besar semuanya. Hanya anak-anak mak yang masih bersekolah. Baik ayah, mahupun mak, masing-masing ada masalah kewangan.

Tak ditolong, dituduhnya aku anak derhaka. Selepas ini aku sudah tidak peduli. Nak panggil aku anak derhaka ke, anak tak mengenang budi ke, terserah. Aku terima saja. Sekarang masa untuk aku pentingkan diri sendiri. Masa untuk menjaga hati aku dan perasaan aku. Orang lain nak terlingkup, aku peduli apa.

Pergilah SayangTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang