Bab 13

74 6 0
                                    

ISNIN. Hari baru pun bermula. Aku bawa bekas makanan berisi mihun goreng ke pejabat. Nanti makan tengah hari cerita lain. Pesan melalui atas talian juga boleh. Mana yang senang asal aku dapat menghindari pekerja lain yang pastinya sedang rancak bercakap tentang majlis kahwin Khairul. Tak sanggup aku nak dengar.

Fuzah dengan Suriani sudah menunggu di tempat dudukku. Sejak aku tidak makan di kafe, mereka berdua selalu temankan aku makan. Orang kata biar tak ramai kawan, tapi berkualiti. Cukuplah aku ada mereka. Tak perlu ramai.

"Masak apa pagi ni?" tanya Fuzah.

"Mihun goreng."

Fuzah terus peluk aku.

"Aku dah lama nak makan mihun goreng kau. Mihun paling sedap pernah aku makan."

"Benda percuma memang sedap." Aku balas dengan jelingan.

"Serius sedap. Bukan sebab percuma."

Mestilah sedap sebab aku masak ikut resipi mihun goreng Pak Kulop. Gerai yang menyediakan sarapan pagi yang cukup terkenal di kampung aku. Setiap kali pulang ke kampung, Khairul pasti akan bersarapan di situ. Sehingga dia paksa aku minta resipi daripada tuan gerai. Mujur tuan gerai tidak kedekut.

Sebulan mesti dua kali Khairul meminta aku gorengkan mihun Pak Kulop. Aku sumpah, mati hidup semula pun aku tak akan ajar resipinya. Kalau nak makan juga, pergi ke gerai Pak Kulop. Tapi mustahil Khairul nak pergi kampung aku bila sudah tak ada kena-mengena dengan aku lagi.

Kami menjamu selera di pantri. Masing-masing buat air.

"Sedapnya." Fuzah mula memuji sebaik sahaja mihun masuk ke dalam mulut dia. Pujiannya kedengaran ikhlas. Menipu kalau tidak rasa gembira bila dipuji begitu. Hilang segala rasa penat memasak.

"Makan sampai habis. Banyak aku masak." Aku terlupa, tukang makan sudah tak ada. Tukang makan yang biasa sudah menjadi milik orang lain.

Ah! Carik semula perasaan aku. Dari mula aku memasak tadi perasaan sudah sebak. Satu-satu kenangan bersama Khairul terlayar di ruang ingatan.

"Serius sedap." Suriani tak kalah memuji.

Benar-benar puas hati apabila melihat kawan-kawan aku berselera makan.

"Hurm, berkelah rupanya. Maklumlah, hujung bulan, kan. Masing-masing kering. Sebab itulah masing-masing bawa bekal." Eja berdiri di muka pintu pantri.

Ini kalau Fuzah tampar memang sia-sia. Bercakap tak tapis langsung. Sesuka mulut bercakap. Selalunya yang kering tu bukan kami tapi dia. Tak sedar diri.

Kami diam. Langsung tak menjawab. Lebih menikmati sarapan pagi daripada melayan manusia talam banyak muka.

Eja tarik kerusi. Duduk di hadapanku. Jangan harap aku nak ajak makan sekali. Nasiblah.

"Kenapa kau tak pergi majlis perkahwinan Khairul dengan Delisha semalam?"

Eja seperti mahu cari fasal nampaknya. Boleh pula dia tanya soalan bodoh tu. Memang tak sensitif langsung. Tapi sebenarnya Eja hanya mahu menyakiti hatiku. Mahu menambah sengsara yang ada atau dia belum puas melihat aku menderita. Memang ada manusia jenis begitu. Yang tak senang melihat orang gembira sebaliknya tepuk tangan apabila tengok orang menderita.

"Kau bodoh ke apa, Eja? Takkanlah Tihah nak datang majlis bekas suami dia. Kau pun nak sakitkan hati Tihah, agak-agaklah. Cuba bodoh tu simpan sikit. Ini tidak, tunjuk sampai habis." Fuzah menjawab dengan nada kasar.

"Itulah. Bodoh tak reti nak simpan langsung. Tahulah kau baik dengan orang sana. Tapi perlu ke kau sakitkan hati Tihah? Tak boleh nak cakap baik-baik? Tak faham sungguh aku dengan perangai kau ni. Apa masalah kau dengan Tihah sampai selalu sangat sakitkan hati dia?" Suriani turut menyembur.

Pergilah SayangWhere stories live. Discover now