SETIAP hari Khairul buat panggilan. Memang aku tak jawab. Malas. WhatsApp bukan saja aku tak baca, buka pun tidak. Seminggu ini memang aku tak layan. Sedap beristeri baru, alih-alih cari aku juga. Memang tak fasal aku nak layan.
Sampai pejabat, aku terus ke pantri. Suriani dah WhatsApp mak dia buat pulut kuning sambal kerang pagi ni. Sempena ulang tahun perkahwinan mak ayah dia yang keempat puluh.
"Mari makan."
"Kau ajak kita orang aje ke? Lain tak ajak?" Aku tanya sambil tarik kerusi. Sudah ada Fuzah dan Asila.
"Malaslah. Yang lain tu tak guna dibagi makan. Belakang kutuk juga. Lagipun, dalam pejabat ni muka kita saja yang makan di pantri. Yang lain semua bajet orang kaya." Suriani meluah rasa.
Memang betul pun. Rakan sekerja lain memang bajet orang banyak duit. Makan nak gah belaka. Tapi kami tak ambil peduli pun hal mereka. Kami berempat makan dengan cara kami. Yang penting perut kami kenyang, kerja pun lancar.
"Tadi aku terserempak dengan pengantin baru tu. Boleh pula si suami tanya kau mana? Tak tahulah apa perasaan isteri dia." Fuzah buka cerita.
Sudah masuk kerja rupanya. Tak lama bercutinya. Oh, lupa, tak berbulan madu.
"Seminggu ni memang aku tak layan."
"Padanlah meroyan. Serius aku tak faham. Bercerai, masih ingat bekas isteri. Tak boleh ke diam-diam dengan isteri baru tu?"
"Itulah fasal, Fuzah. Aku lagilah tak faham. Lupakanlah fasal pengantin baru. Jom makan."
Kami bersarapan dengan berselera. Berbual dan bergurau senda. Hal Khairul aku cuba buang jauh-jauh. Kalau begitu cara dia, perkara ini takkan selesai dengan mudah.
Tengah hari itu, Noah budak pejabat kami hantar bungkusan makanan kepadaku.
"Bekas suami akak minta hantar pada akak."
"Awak pergi hantar balik pada dia. Beritahu dia jangan gatal nak hantar apa-apa pada akak. Akak tak suka." Hilang ingatan agaknya. Selama ini tak pernah hantar makanan. Minta belikan makanan pun susah sangat. Alih-alih sekarang sudah pandai berhantar makanan. Sejak nikah baru ni, makin pelik perangai Khairul.
"Terima ajelah, kak. Itu tandanya dia masih sayang akak."
"Takde, takde. Awak hantar balik pada dia. Akak tak nak nanti jadi fitnah. Mulut yang mengata memang ramai. Tak fasal nanti akak kena serang dengan isteri kesayangan dia. Awak tolong akak sama, ya. Tak pun awak bagi saja pada isteri dia. Lebih afdal."
"Baiklah kalau macam tu."
Noah beredar. Tak mahu aku jadi masalah nanti. Tak fasal aku pula yang kena. Orang lain bukan tahu situasi sebenar. Main kutuk sesuka hati saja.
"Bertuahlah dapat bekas suami masih sayang." Fuzah menyindir.
"Sayanglah sangat." Aku balas. Sambil itu jeling Eja. Percayalah cakap aku, kejap lagi sampailah pada Delisha. Silap hari bulan, tuduh aku yang suruh dibelikan makanan.
"Eh! Kau orang tak tahu ke gosip yang sedang beredar? Perempuan tu siap perangkap Khairul tau. Tak tahulah macam mana ceritanya tapi dia ugut Khairul. Kalau Khairul tak kahwin dengan dia, dia akan edarkan gambar bogel mereka." Asila bercakap dari tempat duduknya.
"Astaghfirullah al Azim. Seriuslah. Kita orang tak tahu pun. Ada gambar bogel. Hati-hati Asila. Jatuh fitnah nanti." Fuzah menjawab.
"Delisha tu memang syok habis kat Khairul. Dia memang kecewa gila bila Khairul pilih Tihah jadi isteri. Tapi dia tak putus asa. Dia terus berusaha tapi agaknya dah terlalu cinta sangat dengan Khairul, dia perangkap Khairul dengan cara tu," sambung Asila.

ANDA SEDANG MEMBACA
Pergilah Sayang
General FictionBerakhir sudah ikatan suci yang dijalin selama ini dengan penuh cinta dan sayang. Pedih hati Fatihah tidak dapat digambarkan saat Khairul terpaksa menceraikannya. Mereka harus berpisah. Jodoh antara mereka sudah habis. "Maafkan abang. Abang sudah mu...