PUKUL lima setengah petang aku tinggalkan pejabat. Waktu ini keadaan lif tidak begitu sesak. Selesa sedikit memandangkan jam pulang semua pekerja adalah pukul lima petang.
Di lobi juga tidak ramai orang.
"Kejap Tihah." Suara Kak Diah panggil dari belakang.
Langkah terhenti dan aku toleh. Aku pandang wajah bekas kakak ipar yang berusia empat puluh lima tahun. Anak sulung dari lima beradik. Orangnya agak gempal dan putih kulitnya. Keturunan mereka semua berkulit putih termasuk Khairul. Rambut diwarnakan dengan warna sedikit perang dan melepasi bahu. Antara pekerja yang paling sombong dan digeruni disebabkan dia ada 'kabel' paling kuat. Siapa saja yang bermasalah dengan dia, memang mendapatlah. Paling teruk, kena buang kerja. Ramai yang sudah terkena.
"Dah selesai kes kau dengan Khairul, bukan?" Cara bertanya juga kasar dan angkuh. Maklumlah, dia ada kuasa di syarikat. Cakap haruslah bernada sombong.
Aku angguk. Sudah tahu, masih mahu bertanya lagi. Sengaja mahu sakitkan hati aku. Kakak macam ini, adik pula macam itu. Kalau tak kental, memang dah lama aku masuk wad gila. Boleh sakit jiwa dibuatnya.
"Aku nak cakap sikit. Kau dengar sini baik-baik. Walau kau bukan ahli keluarga kami lagi, tolong jangan galak sangat. Jangan tunjuk gatal. Malu kami nanti."
Aku nak menjawab tapi aku pilih angguk kerana aku tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Aku mengalah bukan kalah tetapi tak guna aku melawan pun. Kak Diah tetap dengan kesombongan dia.
"Bila-bila masa aku boleh arahkan kau dibuang kerja."
Aku dah cakap, Kak Diah akan guna kuasa dia.
"Satu lagi, aku tak nak kau kacau Khairul. Bila adik aku pilih Delisha untuk jadi teman hidup dia, kau harus sedar diri yang kau tu sudah tak bermakna buat Khairul. Dia dah bencikan kau dan sama sekali tak perlukan kau. Tak guna kau nak terhegeh-hegeh lagi. Faham?"
Aku angguk juga. Esok lusa akan tahu juga siapa yang sebenarnya terhegeh-hegeh. Kalau aku jelaskan duduk perkara sebenar, aci lawan apa pun, Kak Diah takkan mahu mendengar. Adik dia selalu benar dan aku selalu salah. Jadi, tak perlulah aku cakap apa-apa. Biarlah Kak Diah nak cakap apa pun. Dengarkan saja.
"Bagus kalau kau faham. Mudah sikit kerja. Ingat, kalau nak gatal, jangan di tempat kerja. Jadilah janda gatal kat luar. Maklumlah, kalau dah janda tu tak sah kalau tak gatal." Kak Diah betulkan rambut dia yang menutup dahi.
Sangat pedih kata-kata Kak Diah tapi aku terima dengan terbuka. Sabar, Tihah. Sabar itu sangat indah.
"Sebenarnya dari mula lagi aku dah cakap dengan Khairul jangan kahwin dengan kau. Kau bukan taste Khairul tapi dia degil. Nak juga dengan kau. Sudahnya bercerai."
Begitu ceritanya. Selepas bercerai baru aku tahu kisah sebenarnya. Memang keluarga Khairul tak suka aku dari mula. Padanlah layanan begitu hambar dan tiada kemesraan langsung. Seolah-olah aku ini tidak pernah wujud. Tak mengapalah. Aku sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan mereka.
"Kau jenis tak pandai bergaul dengan keluarga kita orang. Kera sumbang. Kalau ada apa-apa acara keluarga, jarang nampak muka kau. Sombong tak bertempat. Elok sangatlah kau orang bercerai. Khairul simpan pun tak guna. Bukannya bawa faedah pun. Buat sakit mata saja."
Memanglah aku tak nak datang. Sebab aku akan jadi hamba abdi mereka. Dari masak sehinggalah mengemas, semua aku kena buat. Mereka tahu keluarkan arahan saja. Lebih baik aku tak payah datang.
"Berbeza dengan Delisha. Dia pandai bergaul. Pandai ambil hati kaum keluarga. Memang jauh betul perangai dia dengan perangai kau. Dia tak sombong langsung. Itu sebabnya Khairul lebih pilih dia berbanding kau."
Pujilah melangit. Belum jadi ipar lagi, tunggulah nanti bila dah jadi keluarga. Lebih-lebih lagi keluarga seperti Khairul yang suka mengambil kesempatan. Masa belum dapat, memanglah bagus semuanya. Pijak semut pun tak mati.
"Dan satu lagi, kau mandul."
Aku hela nafas. Ini sakit dari segala yang sakit. Susah untuk aku terima hakikat yang aku mandul.
"Kenapa? Kau sentap? Mengaku sajalah kau tu mandul."
"Ya kak, Tihah mandul." Demi memuaskan hati Kak Diah, aku mengaku juga walau sangat sakit.
"Akhirnya kau mengaku juga, kan."
"Tihah percaya, ada hikmah di sebalik kemandulan Tihah. Mungkin anak Tihah tidak mahu lahir dari keluarga yang berpecah belah atau anak Tihah tidak mahu berbapakan seorang lelaki yang berlaku curang." Akhirnya aku menjawab juga. Sudah tidak mampu untuk angguk sahaja. Sesekali aku terpaksa menjawab.
"Dalam kes Khairul, harus dia berlaku curang kerana dia mendapat seorang isteri yang tak seperti dia harapkan. Khairul berhak memilih dan berhak juga membuang sampah yang tak berguna." Kak Diah ketawa sinis. Pandangan mata juga mengejek.
"Terima kasih di atas kata-kata semangat akak. Semoga Khairul akan bahagia nanti."
"Bukan lagi akan, memang dia sangat bahagia sekarang. Sebab itu aku tak nak kau kacau kebahagiaan dia."
"Dari mula lagi Tihah tak pernah kacau Abang Khairul pun. Akak pernah dengar Tihah kacau Abang Khairul? Tak ada, kan. Dari mula dia buat hal sampai bercerai, Tihah langsung tak ambil tahu. Jadi, takkan dah bercerai Tihah gedik nak kacau pula? Tihah tak kesah pun kena cerai. Dah takdir Tihah begini. Tihah terima. Akak jangan bimbanglah."
Aku buat-buat ketawa. Itu saja cara nak sakitkan hati Kak Diah. Balas dengan cara yang dia tak jangkakan tapi makan dalam. Aku kena tunjuk yang aku baik-baik saja. Itu sudah cukup buat hati Kak Diah tak senang.
"Baguslah kalau macam tu. Jangan pula cakap tak serupa bikin. Depan aku berlagak bukan main. Tak kesah konon kena cerai." Masih berusaha sakitkan hati aku. Masih tidak berpuas hati.
Aku senyum selepas itu. Senyuman juga salah satu senjata. Tak perlu berkata apa-apa.
"Okeylah, aku nak cakap itu saja. Ingat, jangan kacau Khairul dan jangan jadi janda gatal di tempat kerja. Kau nak menggatal di luar, itu kau punya fasal."
Tanda Kak Diah kalah.
"Bukan gatal kak, Tihah masih muda dan perlukan teman juga. Tapi akak jangan bimbang, Tihah takkan kacau suami orang." Sekali lagi aku menyindir.
"Lelaki bujang mana yang nak janda gedik macam kau ni."
Gedik sangatkah aku? Bila masa aku tunjuk gedik? Sengaja menambah bara dalam hatiku.
"Bujang tu tak semesti anak teruna. Duda pun bujang juga. Janji jangan hak orang. Buruk keturunan kalau jadi penyondol. Curang pun sama juga. Orang kata, kalau seorang curang, adalah yang mengikut nanti. Tak mengapalah Tihah pihak yang dicurangi daripada Tihah berlaku curang." Aku senyum lagi.
"Aku dah cakap, dalam kes Khairul harus dia curang, faham?"
"Apa-apa ajelah, kak. Asalkan jangan Tihah yang curang."
Kak Diah jeling aku tajam. Kak Diah kalah. Ah! Bukan senang nak buat Kak Diah bengang. Dia melangkah pergi begitu saja.
Tak mengapa aku dihina. Hari ini hari aku, aku akan tunggu hari Khairul. Masa tu jangan larang aku tepuk tangan. Aku akan buat. Tengoklah nanti. Aku pasti saja sabar menunggu saat itu tiba.
YOU ARE READING
Pergilah Sayang
General FictionBerakhir sudah ikatan suci yang dijalin selama ini dengan penuh cinta dan sayang. Pedih hati Fatihah tidak dapat digambarkan saat Khairul terpaksa menceraikannya. Mereka harus berpisah. Jodoh antara mereka sudah habis. "Maafkan abang. Abang sudah mu...