Bab 9

100 6 1
                                    

MASA terus berlalu. Hari demi hari aku lalui dengan tabah. Sikit demi sikit hati semakin membaik. Makin menggembirakan. Soal Khairul memang langsung aku tak fikir. Maklumlah, dia bukan lagi siapa-siapa dalam hidup aku. Hanya bekas suami.

Pagi ni aku masak nasi dagang. Seperti biasa kami makan di pantri.

"Kau dah tengok WhatsApp grup?" tanya Fuzah dengan mulut penuh.

Aku geleng. Bukan tak ada masa nak baca, aku malas nak ambil tahu. Sekadar jadi CCTV.

"Dah beratus aku belum baca. Malas nak baca."

"Eja ada hantar kad jemputan kahwin Khairul," beritahu Fuzah.

"Oh ya ke? Bila kahwinnya?"

"Minggu depan."

"Baguslah kalau dah nak kahwin. Kurang sikit bakal isteri dia meroyan."

"Kau tak payahlah tengok, aku tak nak kau sedih." Fuzah seperti mahu memujuk aku.

"Tak adalah. Tak sedih pun."

Mungkin mereka fikir tak banyak pasti sedikit aku akan terasa mendengar berita ini. Setakat ini aku tak rasa apa-apa. Kosong.

Fuzah dan Suriani diam. Mereka menikmati nasi dagang dengan berselera. Suka melihat cara mereka makan. Nampak ikhlas. Tak risau pun gemuk ke, berat badan naik ke. Bukan macam kawan seorang tu. Makan sebutir nasi pun meroyan satu pejabat konon takut gemuk. Walhal tak pernah kurus pun.

"Makan sampai habis. Jangan tak habis."

"Woit, makan nasi dagang tak mengajak." Asila datang menjenguk kami.

"Marilah makan. Tihah masak memang sedap."

Asila ambil pinggan. Ambil nasi dan dia mula makan.

"Seriuslah sedap," puji Asila.

"Tihah masak memang sedap. Memang bodohlah Khairul," balas Suriani.

"Bakal isteri dia lagi pandai masak. Aku main campak aje. Kau orang saja cakap sedap."

"Kita tunggu dan lihat. Bukanlah mendoakan tapi selalunya penyondol ni bakal sakit jiwa. Ramai dah bukti yang aku tengok." Selamba saja Asila bercakap.

Cerita cinta Khairul bersama kekasihnya sebenarnya sudah menjadi bahan cerita satu syarikat. Kalau aku jadi kekasih Khairul, dah lama berhenti kerja. Tak sanggup kena panggil penyondol. Tapi dah dasar muka tak tahu malu, memang tak boleh nak kata apa. Mungkin dia fikir, lama-lama nanti orang akan lupa dan senyaplah mereka. Sebab itu mampu bertahan. Dapat pula hidup bersama pujaan hati, apa orang lain kata sudah tidak peduli.

"Berkelah rupanya. Sempena apa ni? Sempena Khairul kahwin ke?" Datang-datang terus Eja menyindir. Kalau tak sakitkan hati memang tak sah.

"Ini ayam kutip jagung, kau pula mahu kutip gigi." Fuzah serupa tahan geram.

"Betullah tu. Sempena si pasangan kekasih terhangat tu kahwin. Mereka berdua tu memang padan pun." Asila pula menjawab dengan mulut penuh.

"Memang. Memang dua orang manusia tu padan sangat. Tak sabar nak tengok macam mana rumah tangga mereka nanti." Fuzah menokok.

"Kau dah salah masuk kawasan, Eja. Ini bukan kawasan kau. Baik kau tutup aje mulut kalau kau tak nak sakit hati. Kau tak payahlah nak sakitkan hati aku. Aku tak ada masalah apa-apa pun. Kau tu nanti yang koyak." Aku tepuk bahu Eja perlahan.

Masam terus muka Eja. Belum apa-apa kalah teruk. Niat nak sakitkan hati aku, tak fasal hati sendiri yang sakit.

"Kau ingat aku nak meraung sebab mereka kahwin? Kau ingat aku kemurungan? Kalau kau nak tengok aku macam tu kau silap banyak. Aku dah cakap pada kau, kalau antara kami tak bahagia, tak perlu teruskan hubungan lagi. Hanya buat menderita saja. Lebih baik bercerai. Ada kau tengok aku meroyan?"

"Yang kuat meroyan tu kau, Eja. Sikit-sikit meroyan, sikit-sikit menyindir orang. Kau seorang saja perangai macam itu." Fuzah menyokong.

Aku tepuk lagi bahu Eja, kali ini dia tepis agak kasar. Marah nampak. Tak siapa yang suruh cari fasal.

"Dua orang manusia tu yang kahwin, dia pula gelabah monyet," sambung Suriani yang dari tadi hanya makan. Sekali dia buka mulut, terus keluar monyet.

Pecah ketawa masing-masing.

Eja tak tunggu lagi. Dia tinggalkan ruang pantri. Pasti koyak habis tu.

"Bodoh. Ada hati nak sakitkan hati kau. Sudahnya senjata makan tuan." Fuzah menyindir.

"Memang pun. Ingat boleh sakitkan hati aku. Aku tak kesah pun mereka nak nikah. Lagi cepat lagi bagus."

Aku nak tengok macam mana bakal isteri baru Khairul nak hadap perangai Khairul. Memang Khairul banyak duit, muka pun boleh tahan tapi kau tak tahu lagi perangai dia macam mana. Kau tahulah nanti bila hidup serumah.

Kalau kau jenis bangun tidur terus terjun katil, kau jangan mimpi boleh dapat buat begitu lagi. Sebelum kau keluar bilik, kau kena kemas katil terlebih dahulu. Kemas sekemasnya. Cadar pula boleh guna tiga hari saja. Lepas tu kau kena tukar. Khairul tak selesa guna cadar yang sama banyak hari. Badan dia gatal-gatal.

Lepas kau solat subuh, kau kena buat sarapan. Khairul bukan jenis suami yang sarapan makan biskut empat segi cicah teh O. Kau silap banyak kalau kau fikir Khairul macam itu. Telur separuh masak pun dia tak layan. Makan luar lagilah jangan mimpi. Tak akan punya. Alasannya, makanan di luar tak sedap dan tak bersih.

Khairul jenis makan makanan berat waktu pagi sebab mak dia dah ajar macam itu. Kau kena masak nasi goreng, mi goreng, atau mihun goreng. Pokoknya kau kena buat kerja lebih. Itu bab sarapan. Belum masuk bab makan malam. Kalau boleh balik rumah masa makan tengah hari, harus dia paksa kau balik rumah untuk masak.

Dia juga bukan jenis yang makan lauk dipanaskan. Kalau kau cuti, lauk tengah hari tak boleh dibawa untuk lauk makan malam. Dia bising. Jadi, pandai-pandailah kau uruskan. Tu belum bab bilik air harus bersih. Setiap hari kau kena cuci bilik air. Aku dah puas merasa. Sekarang aku serahkan tugas tu pada kau. Semoga kau pandai jaga Khairul. Maklumlah, aku memang tak pandai jaga suami.

"Kau jangan bimbang. Kami tetap akan bersama kau. Kau jangan sedih-sedih. Selepas ni kalau kau jumpa lelaki yang kau rasa lebih baik daripada Khairul, kau tangkap aje. Asal jangan orang punya." Asila tepuk bahu aku.

"Aku biasa saja. Sudah berdamai dengan takdir Tuhan."

"Baguslah macam tu. Tak ramai yang boleh hadap masalah ni dengan mudah. Kau memang kuat, Tihah. Menangis tidak, meroyan tidak. Bekas suami pun kau tak layan," kata Asila lagi.

Selesai mengemas, kami semua berjalan menuju tempat masing-masing. Mahu mulakan kerja. Eja duduk di tempat duduknya. Kasihan. Tak ada siapa yang nak kawan dengan dia. Pekerja lain pun tak layan. Tapi pelik juga, macam mana dia boleh hadap suasana begini? Kalau aku dah lama minta tukar bahagian lain. Tak sanggup.

"Berita terkini. CEO letak jawatan." Asila buat gempar.

"Lah, siapa pula yang bakal jadi CEO baru?" tanya Fuzah.

"Siapa pun yang bakal jadi CEO, kita tetap juga macam ini. Tak payahlah nak sibuk-sibuk." Eja menyampuk. Memang selamba habis dia ni. Bukannya dia kira orang suka atau tidak. Main menyampuk saja.

"Bukan sibuk. Kena ambil tahu juga sebab ada kena-mengena dengan syarikat. Siapa yang bakal memimpin syarikat kita. Kalau syarikat lingkup, satu hal pula nak cari kerja. Faham?" Fuzah sembur Eja.

"Eja, kalau tak ada hal penting, aku rasa tak payahlah kau buka mulut. Yang keluar dari mulut kau tu macam perkataan bodoh aje." Aku mencelah.

Terus terdiam Eja.

"Orang tengah risau, dia boleh pula jawab mcam itu." Asila membebel.

Aduhai, Eja. Tak tahulah apa aku nak cakap dengan kau ni. Makin tua, makin tak pandai. 

Pergilah SayangTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang