PAGI-PAGI lagi pintu rumah diketuk. Siapa pula yang datang mahu menyerang aku? Takut aku buat fasal di majlis kahwin Khairul? Ingat aku gila ke nak buat kerja tak senonoh macam itu?
Segera aku buka pintu. Terkejut melihat Fuzah dengan Suriani berdiri di hadapan muka pintu.
"Uiks, pagi buta dah datang. Apa hal?"
"Kita orang nak makan-makan hari ni. Awal gila kita orang pergi pasar beli bahan."
Aku tahu, sebenarnya mereka berdua mahu temankan aku. Tidak mahu aku bersendirian melayan perasaan. Mereka tak mahu aku memikirkan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung hari ini. Dan mereka bimbang kalau aku lakukan sesuatu yang tidak baik. Aku masih waras dan aku masih ingat dosa. Sesakit apa pun, mustahil untuk aku bertindak yang bukan-bukan.
"Kau orang nak aku masak apa hari ni?"
"Nasi daging, air asam kerisik." Laju Fuzah menjawab.
"Pagi ni kami nak mi goreng basah sebagai sarapan." Suriani pula buat permintaan.
Aku tak kesah untuk penuhi permintaan mereka. Sekurangnya aku jadi sibuk dan tidak terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan.
"Boleh aje. Lagipun bahan kau orang dah beli. Setakat masak, tak ada masalah."
"Ini yang buat kita orang sayang kau." Fuzah peluk aku. Betapa bertuahnya aku memiliki kawan-kawan yang sangat memahami. Terasa tidak terkurang apa-apa.
Telefon berbunyi. Tertera nama Ayuni. Langsung saja aku jawab.
"Kau tahu kan abang aku nak kahwin hari ni."
"Tahu, malam tadi dia ada telefon saya bagi tau yang dia nak nikah."
"Abang aku masih telefon kau?"
"Masih. Selalu dia telefon. WhatsApp setiap hari. Hantar makan boleh dikatakan ada saja. Ada masalah ke?" Aku tak tipu pun. Dah memang betul.
"Kejap, kau cakap apa?"
Tak dengar rupanya. Bukan tak dengar tapi tak percaya.
"Abang awak masih menjaga kebajikan saya. Mungkin dalam tempoh idah saja kut. Nanti dah tamat idah rasanya dia takkan buat macam tu lagi. Kalau awak tak percaya, tanyalah bakal kakak ipar awak. Dia pun tahu."
"Aku memang tak boleh nak fahamlah perangai abang aku tu. Takkanlah dia masih nak jaga kau. Bodoh betul."
"Dia tahu hukum. Tak nak berdosa." Kononnya tak nak berdosa. Tapi tak ingat dosa yang telah dia lakukan.
"Bodoh betul. Sekarang ni aku tak nak kau kacau abang aku lagi. Abang aku bakal jadi suami orang. Jangan nak terhegeh-hegeh serupa gila talak."
"Salah tu. Tak pernah saya kacau abang awak, tapi abang awak yang selalu kacau saya. Entahlah, mungkin inilah yang dikata, benci tapi rindu."
"Eh! Tak payah nak perasan sangat. Abang aku ceraikan kau sebab dia bencikan kau. Jangan tak sedar diri sangat."
Dia pula yang angin. Berani telefon aku tapi tak berani yang terima kenyataan. Ingat nak sakitkan hati aku kononnya.
"Tak kesahlah apa awak nak cakap. Janji bukan saya yang kacau dia. Oh ya, nak tanya. Jadi tak awak tinggal di rumah ni? Dah berjaya pujuk mak ke?" Malas nak panjangkan bab kacau-mengacau ni. Abang bodoh, adik lagi bodoh.
"Mak tak nak masuk campur. Abang tetap kenakan sewa. Susah betul."
"Jadi, betullah seperti yang saya cakap sebelum ni. Awak hidup merempat. Hidup atas belas kasihan adik-beradik awak. Awak risaukan hidup saya, tapi hidup awak yang perlu dirisaukan. Itulah, kita hidup ni jangan buat jahat dengan orang. Kan dah susah hidup jadinya."
Sengaja memancing emosi Ayuni. Siapa suruh kacau aku? Mendapatlah. Seronok juga buat dia meroyan.
"Dasar manusia tak sedar diri. Sudahlah menumpang rumah abang aku. Masih nak berlagak. Eh! Yang merempat tu kau, bodoh."
"Itu ajelah modal awak nak kutuk saya. Lain tak ada. Sedarlah diri sikit yang awak tu hidup susah. Lagi nak cakap serupa orang meroyan. Kena cermin diri sendiri, kenapa hidup jadi macam tu. Jangan nak busuk hati sangat." Aku ketawa-ketawa. Sesekali harus jadi macam budak-budak bergaduh. Baru puas.
"Padan dengan muka kau. Kena cerai." Gaya budak-budak habis.
"Mana tahu, selepas ni saya bertemu dengan jodoh yang jauh lebih baik. Lebih setia dan lebih kaya. Aminnn..."
Suriani dengan Fuzah pun aminkan dengan kuat.
"Siapa yang ada di rumah abang aku?"
"Kawan-kawan saya. Kami nak berpesta sikit."
"Yang berpesta di rumah abang aku dah kenapa?"
"Takkan nak berpesta kat majlis kahwin abang awak." Aku ketawa lagi.
"Eh! Kau dengar sini perempuan..."
"Sudah-sudahlah kacau saya. Jangan bimbang tentang saya. Saya baik-baik aje. Kalau awak ingat saya nak meraung sebab abang awak kahwin, memang silaplah. Saya memang tak sabar nak tengok mangsa abang awak yang seterusnya." Aku potong cakap Ayuni.
"Mangsa apa bendanya? Kau tu yang bernasib malang. Tak pandai jaga suami."
"Ya, memang saya tak pandai jaga suami. Saya mengaku. Tapi yang sebenarnya saya pun dah penat jaga abang awak tu. Letih. Serupa jaga budak-budak. Harap bakal kakak ipar awak yang baru akan jaga dia dengan baik."
"Memang pun. Dia jaga abang aku dengan baik."
"Lupa, dah terlanjur awak telefon, saya nak beritahulah fasal abang awak selalu sangat merungut fasal awak. Dia tak berapa senang sebab awak selalu menghabiskan beras mak awak. Kasihan juga saya mendengarnya. Jangan pula awak cakap saya fitnah awak, abang awak yang bercerita pada saya. Jadi, tolonglah hidup tu jangan nak menyusahkan orang sangat."
"Itu pun abang aku cerita pada kau?"
"Ya, kenapa? Tak percaya?"
"Memang tak guna betul."
"Okeylah. Saya nak masak-masak ni. Selamat dapat kakak ipar baru. Semoga kakak ipar kali ini akan menyenangkan awak dan keluarga awak,"
"Huh!" Ayuni matikan panggilan. Seronoknya dapat kenakan Ayuni. Itu mesti meroyan siang malam.
"Sayang betul bekas adik ipar kau tu. Sentiasa ambil berat," usik Fuzah.
"Sayang gila."
Aku ketawa. Sayanglah sangat.
YOU ARE READING
Pergilah Sayang
General FictionBerakhir sudah ikatan suci yang dijalin selama ini dengan penuh cinta dan sayang. Pedih hati Fatihah tidak dapat digambarkan saat Khairul terpaksa menceraikannya. Mereka harus berpisah. Jodoh antara mereka sudah habis. "Maafkan abang. Abang sudah mu...