Bab 7

63 5 0
                                    

MESEJ WhatsApp masuk tepat pukul sembilan malam. Aku baru berkira-kira hendak tidur. Kalau tidur, aku bakal lupakan semuanya. Sebab itulah aku ambil keputusan untuk tidur awal.

Abang ada belikan sate dengan nasi impit. Abang depan rumah.

Segera aku sarung tudung dan berjalan ke pintu. Bila buka pintu sudah nampak Khairul tercegat di pintu pagar.

Segera aku melangkah untuk mendapatkannya dengan harapan segera Khairul beredar. Tidak mahu menjadi buah mulut jiran-jiran nanti. Masih ramai yang tertanya-tanya status perkahwinan aku dengan Khairul memandangkan sudah lama kami tidak tinggal sebumbung. Biarlah mereka berteka teki.

"Tak payah susah-susah. Tihah tak minta pun." Aku menghampiri pintu pagar. Baik pula nak belikan sate. Nak ambil hati semula ke? Jangan mimpilah aku nak terima semula. Kalau aku dah buang, memang takkan aku kutip.

"Abang tahu Tihah suka Sate Kajang. Tadi abang pergi makan kat sana. Abang bungkus untuk Tihah sekali."

Aku pandang kereta Khairul. Nampak bakal isteri dia ada bersama. Baru balik makan Sate Kajang rupanya. Ini kes nak tayang bakal isteri kononnya. Nak tengok hati aku luka berdarah. Tak terfikir langsung permainan Khairul. Tapi kau silap banyaklah, Khairul. Aku takkan tunjuk sebarang kesedihan. Kau takkan nampak semua tu.

"Terima kasihlah masih ingat Tihah." Sebak sebenarnya tapi aku buat-buat ceria.

"Takkanlah abang boleh lupa. Abang balik dulu. Jaga diri. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Tanpa menunggu lagi, aku terus bawa bungkusan sate ke dalam rumah. Pujuk perasaan dengan baik-baik. Semua ini dugaan buat aku. Jadi, jangan buruk sangka.

Kalau betul Khairul nak tayang bakal isteri dia, biarkan dia tayang. Tak ada masalah buat aku. Tapi aku nak tahu juga apa perasaan bakal isteri Khairul bila Khairul masih lagi mengambil berat tentang aku? Agaknya dia tak kesah sebab itu tak marah. Khairul pun dah ceraikan aku. Nak susah hati apa lagi. Khairul sudah pun berjaya dia miliki walau belum secara rasmi.

Ah! Tak mahu fikir apa-apa. Rezeki jangan ditolak. Aku bawa sate ke meja makan. Perut juga terasa lapar. Aroma sate sudah membuka selera.

Ketika aku sedang menikmati sate, telefon berbunyi. Aku lihat nama Khairul. Segera aku jawab.

"Dah makan sate?" soalnya, seolah-olah memaksa. Takut aku buang ke? Tak, aku takkan buang. Bab makanan aku jarang buang. Rezeki tak pernah aku tolak. Musuh pun aku tak cari. Tapi kalau orang nak juga bermusuh, silakan.

"Tengah makan."

"Sate perut tu abang beli sepuluh cucuk, cukup tak?"

"Cukup." Mana boleh dia lupa sate kegemaran aku. Tapi pelik, kenapa sekarang baru mahu tunjuk baik? Selama perkahwinan kami, jarang dia mahu belikan makanan kegemaran aku. Aku yang terpaksa beli sendiri. Lupa, dia mestilah tunjuk baik di hadapan bakal isteri dia. Barulah nampak anak jantan.

Tak guna punya lelaki!

"Makan tau. Jangan buang."

"Kenapa pula Tihah nak buang? Yang selalu buang makanan tu abang. Tihah jarang buang makanan. Abang dah sampai rumah mak ke?"

"Belum. Abang dekat rumah bakal mentua abang. Tengah tunggu dia bersiap. Minta dihantar ke klinik. Demam."

"Oh." Baiknya bakal menantu. Tak ada anak-anak lain ke sampai nak minta bakal menantu yang hantar? Eh! Bila lagi nak ambil hati bakal mak mentua?

Inilah masanya. Kalau mahu jadi menantu kesayangan, kenalah tunjuk baik.

Hurm, aku dulu sakit teruk pun pandu kereta sendiri untuk pergi klinik. Haram dia nak hantar. Sekarang soleh betul.

"Tihah makanlah dulu. Lepas tu tidur awal tau."

Bukan main lagi nasihatkan aku. Tahulah aku nak tidur bila. Bukan masalah dia pun kalau aku tak tidur. Tak perlulah nak ambil tahu tentang tidur aku lagi.

"Baik. Ini abang telefon Tihah, bakal isteri tak marah ke?"

"Taklah. Ada ni. Dia tak kesah pun."

Bukan main memahami lagi bakal isteri. Sampai tak kesah bakal suami telefon bekas isteri. Kalau aku, tak tahulah nak cakap apa. Mahu putus terus kalau bakal suami terang-terang masih ambil berat terhadap bekas isteri. Aku lupa, penyondol mana ada perasaan. Yang kena sondol pun bukan main nak tunjuk budiman. Padanlah tu.

"Tak payahlah abang telefon Tihah. Tak fasal nanti abang bermasalah pula dengan bakal isteri abang. Tihah tak nak dituduh jadi pihak ketiga pula."

"Dia faham. Lagipun tanggungjawab abang jaga Tihah masa Tihah dalam idah. Tihah tak boleh marah abang sebab itu tanggungjawab abang. Abang tak nak berdosa nanti."

Habis yang kau dah duakan aku tu tak berdosa? Kau ceraikan aku sebab bakal isteri kau tak nak bermadu tak berdosa? Cakap banyak lagi fasal dosa. Sakit pula hati aku.

"Eh! Berdosa pun sebab Tihah bukan isteri abang lagi. Tak payah bertanggungjawab pun tak apa."

Aku pun tak hairan tanggungjawab kau tu Khairul. Selama kahwin dengan kau, apa aje tanggungjawab kau buat? Ah! Malaslah nak ungkit. Buat sakit hati.

"Mana boleh macam itu. Tanggungjawab, tetap tanggungjawab."

"Kalau macam itu kata abang. Terima kasih ajelah." Aku tak nak loya bila sebut fasal tanggungjawab. Suka hati kaulah.

"Tihah nak sambung makan. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Aku sambung makan. Tak mahu ingat apa-apa. Biar dialah. Makin letih bila aku ingat.

Pergilah SayangWhere stories live. Discover now