Bab 2

171 9 0
                                    

SELESAI urusan di mahkamah, aku terus pulang ke rumah. Bermula idahku yang perlu aku jaga. Walau masih belum biasa dengan aturan semasa di dalam idah, aku cuba untuk lakukan yang terbaik. Walau sesukar mana, aku yakin aku boleh hadapinya.

Tak pernah aku impikan, bakal berhadapan dengan situasi begini. Lima tahun yang sangat indah namun berubah dengan sekelip mata hanya kehadiran orang ketiga. Khairul mengambil keputusan untuk menceraikan aku sedangkan aku sudah beritahu dia aku bersedia untuk bermadu. Tidak terlintas pun untuk bercerai. Namun apalah dayaku kerana kekasih Khairul tidak mahu bermadu. Khairul dipaksa membuat pilihan antara aku dan kekasihnya dan pastinya Khairul memilih untuk bersama kekasihnya.

Huh! Mulut bukan main kata sayang. Konon tetap sayang aku sampai bila-bila, tapi pilih kekasih dia juga. Jangan harap aku akan percaya lagi.

Setibanya di rumah, fikiran kembali kosong dan hambar. Entah kenapa aku langsung tidak boleh menangis. Mungkin rasanya terlalu sakit, jadi air mata juga kering. Untuk apa menangisi sesuatu yang sudah tertulis, belajarlah untuk reda, Fatihah. Hidup ini sangat singkat dan tak perlu ada rasa menyesal. Belajarlah sesuatu dari segala yang sakit itu. Pasti aku akan bertemu penawarnya. Mungkin lambat, tapi tak mengapa. Aku akan lebih kuat nanti.

Buat sementara waktu, aku tidak tahu mahu hubungi siapa untuk memaklumkan perkara ini. Mak, pasti saja sibuk dengan keluarganya. Ayah juga begitu. Selama ini tak pernah ambil tahu tentang aku. Tunggu nak buka sekolah nanti bila masing-masing perlukan duit. Masa itulah mereka akan ingat semula nombor telefon aku.

Tak apalah. Sekarang ini aku perlu jalani hidup aku sendirian. Aku harus kuat. Lebih kuat dari sebelumnya.

Baru hendak baring di sofa, pintu diketuk. Segera aku berjalan ke muka pintu. Mana tahu Khairul mahu ambil barang-barangnya. Khairul sudah tidak tinggal di rumah ini sejak dia failkan perceraian. Lebih kurang tiga bulan yang lalu.

Bukan Khairul tetapi adik bongsu Khairul, Ayuni. Sudah tercegat di muka pintu dengan muka serupa minta penampar. Tak pernahnya manis bila jumpa aku. Dan sekarang aku pun tak perlu maniskan muka aku. Ayuni sudah jadi bekas adik ipar. Bila namanya bekas, sudah tidak ada sebarang hubungan lagi. Kalau dia tak tahu nak hormat aku, tak ada sebab untuk aku hormat dia. Hidup kena adil dan tak ada berat sebelah.

Ayuni masuk tanpa aku pelawa dan terus duduk di atas sofa. Silang kaki macam bos besar. Berlagak sungguh. Kurang ajar pun sama. Buruk betul perangai adik Khairul yang seorang ini.

"Sudah selesai, bukan?" soalnya dengan nada sombong.

Ayuni suri rumah tangga sepenuh masa dan memiliki tiga orang anak, sebaya dengan aku, dua puluh lapan tahun. Sebab itulah dia tak hormat langsung aku sebagai kakak iparnya. Selain sibuk menguruskan rumah tangga dia, sibuk juga menguruskan kehidupan aku. Sejak aku jadi kakak ipar dia, tak pernah dia layan aku dengan baik. Ada sebab kenapa dia begitu. Dia memang tak sukakan aku sebab aku tak pernah nak layan dia. Aku tak ikut langsung kehendak dia dan aku banyak membantah.

"Sudah." Sepatah aku jawab.

Mesti nak tepuk tangan bila berjaya membuatkan rumah tangga aku hancur dan musnah. Kau jangan nak tepuk tangan sangat sebab kau pun ada rumah tangga. Sekelip mata rumah tangga kau boleh hancur juga. Suami dia pun bukan boleh diharap sangat. Kerja tak pernah tetap. Menyusahkan keluarga tapi masih tak sedar diri.

"Apa lagi. Kemaslah barang-barang kau. Berambus cepat."

Senang-senang nak halau aku. Ingat aku akan ikut cakap dia? Memang taklah. Dia juga penghasut utama dalam keretakan rumah tanggaku selain kakak Khairul yang juga bekerja satu syarikat dengan aku dan Khairul.

"Dalam tempoh idah, seorang wanita itu mesti tinggal di rumah yang dia tempati sebelum berlakunya perceraian. Bekas suami juga wajib menanggung semua keperluan wanita tersebut sehingga selesai idahnya. Tahu hukum ke tidak?" Aku balas dengan nada tegas. Anak kelima daripada lima bersaudara ini memang bermulut kurang ajar. Kena lawan balik dan sudah lama aku simpan dendam terhadap Ayuni.

Pergilah SayangTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang