PUKUL lapan malam, Shima, sepupu aku datang. Kami sebaya. Dia masih anak dara. Kalau di kampung kami, usia begini dikira sudah anak dara tua. Bukan lagi menjadi bahan bualan mak cik-mak cik tetapi kakak-kakak yang benar-benar kaki sibuk. Cerita tentang aku bercerai pun sudah pasti menjadi bahan satu kampung.
Shima pernah bertunang, lagi tiga bulan majlis kahwin dia bakal berlangsung, tunang dia putuskan pertunangan. Ada orang lain juga. Semenjak hari itu, semua pinangan yang datang dia tolak. Dia nekad tak mahu berkahwin.
Kami sama-sama membesar. Opah yang jaga kami berdua sebab itulah kami rapat seperti adik-beradik. Cuma bezanya mak ayah Shima tidak bercerai. Memang serahkan Shima kepada opah. Sebab itulah Shima kurang rapat dengan keluarganya. Bagi Shima, hanya aku dan opah keluarganya.
"Ini aku bawakan nasi goreng. Ada selera nak makan tak?"
Buat lawak pula Shima ni. Selera makan aku hilang dah lama dulu. Ketika Khairul mula bermain cinta. Sekarang sudah pulih.
"Ada aje. Bab makan mana pernah aku tolak."
"Nak aku temankan kau ke?"
"Tak payahlah. Aku okey aje. Takkan kau nak tinggal dengan aku selama tiga bulan? Aku ingat lepas idah aku nak pindah."
"Risau pula aku kau tinggal sorang-sorang. Aku takut kau terikut dengan perasaan."
"Jangan bimbang. Aku dah boleh terima takdir yang tertulis buat aku. Aku tak apa-apa. Memang susah nak buang semua kenangan, tapi aku yakin, aku boleh. Bila dia dah buang aku, aku takkan simpan apa-apa lagi."
Shima peluk aku dengan erat. Terasa kasih sayang antara kami walau kami hanya sepupu.
"Sampai bila-bila aku akan ada untuk kau."
Itu yang buat aku terharu. Shima buat aku tidak kekurangan kasih sayang.
"Aku pun ada untuk kau. Tapi bab duit kau jangan cari aku." Mahu berseloroh dengan Shima. Sebab kami jarang bersedih. Kami selalu ketawa. Sampai kadang-kadang opah marah kami. Tapi itulah kami.
"Lega tengok kau tak apa-apa."
Aku tahu Shima bimbangkan aku. Alasan itulah aku jarang tunjuk apa-apa pada dia. Aku takut dia susah hati.
"Insya-Allah, aku tak apa-apa. Cuma habis idah aku nak tinggal dengan kau boleh?"
"Kenapa nak tunggu habis idah? Sekarang pun boleh."
"Hukum idah aku tak boleh ke mana-mana."
"Macam itu rupanya."
"Aku dah kembali bujang. Dah hidup sendiri."
"Selepas ni aku nak kau ikut aku jalan-jalan makan angin."
"Tengoklah nanti."
"Tak payah nak tengok-tengok. Tapi habis idah nanti kau kena balik jumpa opah."
"Opah dah tahu ke fasal aku?"
"Sudah. Aku dah beritahu. Opah tak nak kacau kau sebab opah takut emosi kau masih tak stabil."
"Padanlah opah tak ada telefon aku. Aku pun lupa nak telefon opah." Tapi sebenarnya opah sangat rapat dengan Shima berbanding aku. Shima pandai ambil hati opah sedang aku kuat melawan cakap opah. Tapi sikit pun aku tak dengki walau opah banyak lebihkan Shima. Opah sudah jaga aku pun aku rasa sangat bersyukur.
Shima tinggalkan rumah aku ketika jam menghampiri pukul sebelas. Dari sini nak sampai ke rumah sewa Shima dalam empat puluh minit juga kerana rumah sewa Shima terletak di Shah Alam. Rumah Khairul pula terletak di Kinrara.
Rumah kembali sepi, namun aku sudah terbiasa bertemankan sepi.
YOU ARE READING
Pergilah Sayang
General FictionBerakhir sudah ikatan suci yang dijalin selama ini dengan penuh cinta dan sayang. Pedih hati Fatihah tidak dapat digambarkan saat Khairul terpaksa menceraikannya. Mereka harus berpisah. Jodoh antara mereka sudah habis. "Maafkan abang. Abang sudah mu...