Bab 4

79 5 1
                                    

HIDUP harus teruskan. Janda saja pun, apalah yang hendak ditakutkan? Sudut pandang manusia itu sangat berbeza. Ada yang pandang janda dengan pandangan menghina, menakutkan, bahaya dan macam-macam lagi. Terpulang. Mereka tak duduk di tempat janda, boleh kata apa saja.

Tapi bagi aku, janda bermakna aku sudah bebas dari sebuah kehidupan yang tidak menggembirakan. Bila sudah tidak gembira, lepaskan, lupakan dan mulakan sesuatu yang baru. Mana tahu bakal bertemu dengan jodoh yang lain pula. Bakal bertemu dengan lelaki yang mampu membahagiakan aku semula. Sesungguhnya, esok tiada siapa pun yang tahu. Dan hidup ini sukar dijangkakan.

Keluar dari kereta aku terus masuk ke bangunan utama menuju lobi di mana terdapat enam lif. Ramai pekerja yang sudah menunggu lif. Sibuk dengan hal masing-masing. Mujur juga tak ada yang mengenali aku. Kalau tidak, letih juga hendak menjawab.

Pintu lif terbuka dan aku masuk. Tekan butang enam dan tunggu lif naik. Keluar saja dari lif, aku menuju ruang pejabat dengan Fatihah binti Abu Nordin yang baru. Fatihah yang baru kehilangan cinta seorang lelaki yang pernah menjadi pendamping hidupnya. Fatihah yang pernah terluka hatinya dan kini makin sembuh. Yang penting, Fatihah tetap bersemangat.

Di tingkat enam ini terletaknya bahagian kewangan syarikat. Di bahagian ini ada dua belas orang pekerja yang ditugaskan menjaga hal ehwal kewangan syarikat. Tapi aku hanya rapat dengan dua orang rakan sekerja. Suriani dan Fuzah. Kami sebaya. Kebetulan, lima tahun lalu kami sama-sama temu duga dan ditempatkan di bahagian yang sama sehingga sekarang. Ini disebabkan kami sama-sama memiliki ijazah dalam bidang akaun. Jadi, kami bertiga ditempatkan di bahagian kewangan syarikat.

Khairul pula ditempatkan di bahagian yang melibatkan pelanggan di tingkat sembilan. Satu pejabat dengan bakal isterinya. Kakak Khairul pula di bahagian sumber manusia. Desas-desus yang menyatakan Khairul masuk syarikat disebabkan kakaknya bukanlah khabar angin semata.

Khairul mengaku, kakak dia yang tolong serapkan Khairul di syarikat. Dengan erti kata yang lain, Khairul masuk kerja menggunakan kabel kuat. Dan disebabkan itulah Khairul tidak begitu disukai sesetengah pihak. Pendek kata, Khairul banyak musuh.

Tak lama selepas itu aku bertemu jodoh dengan Khairul. Cerita cinta semuanya manis namun tak semua bakal berakhir dengan kemanisan juga. Semoga semua ini bakal menjadi pengajaran buat aku.

Suriani dan Fuzah datang menghampiri mejaku. Fuzah dulu peluk aku, kemudian Suriani.

"Kau orang ni. Aku okeylah." Lemas juga sebab kedua-duanya agak berisi badan sedang aku tinggal tulang.

"Kita orang risau takut kau bunuh diri," balas Fuzah. Gurau kasar nampak.

"Aku taklah sebodoh tu sampai nak bunuh diri. Bercerai aje pun. Bukannya bawa mati. Patah tumbuh hilang berganti."

Tapi rasa sakit dicurangi itu sudah tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Sangat-sangat sakit dan tak mampu untuk memaafkan.

"Ya, kami tahu. Kami tak naklah kau sedih. Kami nak kau ceria semula. Lupakan semua bab yang menyedihkan. Kau kena buka buku baru. Tutup buku lama dan jangan ingat apa-apa." Seperti selalu, Fuzah sentiasa memberikan kata-kata semangat.

"Betul tu. Kita orang nak kau kembali gembira macam dulu-dulu. Macam sebelum kau kenal jantan tak guna tu. Entah-entah dia yang mandul." Suriani juga tak kalah dalam bab mengutuk Khairul.

Dari aku tak menangis, mahu menangis dibuatnya. Dua orang rakan pejabat yang sangat ambil berat tentang aku.

"Insya-Allah, aku baik-baik saja. Aku terima takdir yang tertulis buat aku dengan hati yang reda. Mungkin ambil masa untuk aku pulih sepenuhnya tapi aku akan berusaha." Tak ada yang mustahil di dalam dunia ini dengan izin Allah.

Pergilah SayangWhere stories live. Discover now