Bab 10

62 7 1
                                    

PAGI baru bermula. Masa aku hendak ke lobi, aku nampak Delisha sedang ketawa-ketawa bersama kawan-kawannya. Nampak bahagia benar. Maklumlah, bakal menjadi suri hidup Khairul. Haruslah bahagia. Tak nampak langsung muka bersalah meruntuhkan rumah tangga orang. Takkan nak rasa bersalah bila saling jatuh cinta.

Delisha menghampiriku ketika aku menantikan pintu lif terbuka.

"Khairul ada bagi awak kad jemputan ke?" Delisha bertanya dengan perlahan. Mungkin tak mahu pekerja lain mendengarnya. Sesi menyambung menyakiti hatiku pun bermula. Tapi aku akan berusaha untuk menyakiti hati dia juga. Baru adil. Mana boleh aku saja yang jadi mangsa. Kena balas sama.

"Tak ada." Aku jawab jujur.

"Tak ada? Takkan dia tak bagi?"

Kenapa? Harap sangat Khairul jemput aku ke majlis raja sehari mereka? Jemput pun takkanlah aku nak datang.

"Mungkin dia tak sampai hati nak jemput saya. Saya okey aje kalau dijemput. Tak ada sebarang masalah pun. Lagipun kami kan kawan." Kawanlah sangat. Kalau Malaysia tak ada undang-undang, dah lama aku bunuh Khairul tu.

"Apa maksud awak tak sampai hati?" Soalan seperti tak sedap hati. Ya, aku rasa aku dah mula berjaya buat Delisha sakit hati. Senang saja rupanya.

"Yalah, takkanlah dia nak jemput bekas isteri dia. Mungkin dia fikir sudah-sudahlah melukakan hati saya. Atau lebih kepada menjaga hati saya."

"Masalahnya, penting sangat ke yang dia nak jaga hati awak? Awak cuma bekas isteri dia saja tau. Jangan nak melebih sangat."

Eh! Marah pula. Bagus. Ini yang aku mahu lihat.

"Tak tahulah penting ke tidak tapi rasanya Khairul memang masih menjaga hati dan perasaan saya. Mungkin ada lagi rasa sayang pada saya. Siapa tahu, kan."

Aku senyum sinis. Muka Delisha berubah drastik. Hilang muka gembira dia.

"Bukan mudah nak buang saya dari dalam hati dia. Tapi awak jangan cemburu pula. Itu hanya proses untuk melupakan. Kena ambil masa. Masa tu mungkin panjang mungkin pendek. Bergantung kepada rasa sayang yang masih tertinggal."

Pintu lif terbuka.

"Apa pun tahniah. Selamat menempuh hidup baru sebagai isteri." Aku masuk ke dalam lif. Masa aku tunggu lif tertutup, aku sempat melihat wajah Delisha. Muka tak puas hati dan mungkin juga cemburu. Hurm, sikit punya hal pun nak cemburu.

Aku keluar di tingkat enam dan terus ke pejabat.

"Selamat pagi semua." Aku beri ucapan memandangkan aku antara yang terakhir masuk pejabat. Lambat hari ni sebab Shima belanja sarapan pagi.

"Selamat pagi," jawab mereka beramai-ramai.

"Ceria nampak," tegur Fuzah.

"Hidup kena ceria, walau dalam dompet tinggal lima belas ringgit."

Terus Eja jeling aku.

"Betullah duit kau tinggal lima belas ringgit?" Aku sakat Eja.

"Mana ada."

"Habis kenapa kau jeling aku semacam?" Pecah ketawaku melihat gelagat Eja.

Ketawa yang lain juga pecah. Macam-macam betul. Buat aku terhibur sungguh.

"Takkanlah kau kering, kan. Yang selalu kering tu kami. Sebab tu selalu bawa bekal. Duit kau berkepok lagi kan walau seminggu lagi nak gaji." Aku panaskan lagi keadaan Eja.

"Kalau macam tu bolehlah kau belanja kita orang makan. Kita orang tengah kering ni. Kau pun jarang nak belanja kita orang makan." Asila pun tak nak kalah.

"Buat apa aku nak belanja kau orang makan? Kau orang pun makan tak pernah ajak aku." Eja pertahankan diri.

"Sebab kau sendiri yang tak sudi makan masakan kita orang. Tak sedap agaknya." Asila masih menjawab.

Eja seperti tak tahu nak cakap apa.

"Aku gurau ajelah. Lagipun kita orang ni jenis tak suka paksa orang belanja makan. Takut tak ikhlas. Simpanlah duit kau yang banyak tu. Cepat sikit kau kaya."

Aku ke tempat dudukku. Mahu memulakan tugas yang sudah menanti. Entah kenapa, hari ini aku rasa cukup gembira. Mungkin pertama aku berjaya buat Delisha bengang dan kedua aku berjaya buat Eja bengang juga.

Seronok rupanya bila berjaya kenakan orang, sebab itulah Eja tak sudah kenakan aku. Jadi, selepas ini aku akan kenakan orang selalu terutama Eja. 

Pergilah SayangWhere stories live. Discover now