Pandangan tajam Sofia menusuk ke arah Emir, yang sedang duduk di ruang tamu bersama keluarganya. Walaupun dalam situasi yang penuh kekalutan, Emir sempat tersenyum kepada Sofia, yang masih berpakaian santai dengan rambutnya disanggul secara ala kadar, membentuk messy bun yang tetap kelihatan menarik di mata Emir. Wajahnya jelas menunjukkan ketidakselesaan, tetapi Sofia tetap diam di balik pintu, cuba memahami apa yang sedang berlaku.
Di ruang tamu, suasana agak santai dengan perbincangan antara keluarga Emir dan keluarga Sofia. Datin Fauziah duduk tegak di sebelah Elly, manakala Emir berada di hadapannya, memandang Zakiah, dan Aidil yang duduk berhadapan. Topik utama perbincangan hari itu adalah sesuatu yang Sofia tidak sangka—merisik dan tarikh pernikahan.
"Jadi, kami di sini hari ini untuk merisik Sofia. Emir dah lama bincang dengan kami. Dia bersungguh-sungguh nak betulkan semua yang pernah berlaku dulu," kata Datin Fauziah dengan penuh kelembutan, matanya memandang Zakiah dan Aidil meminta restu mereka.
Zakiah mengangguk perlahan, tersenyum kecil tetapi wajahnya tetap serius. "Kami hargai niat baik Emir dan keluarga. Tapi, soal Sofia ni... dia dah banyak melalui pahit manis hidup. Kami harap keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik buat dia."
Aidil pula menyampuk dengan nada yang lebih tegas. "Kami nak pastikan Sofia tidak terluka lagi. Sebab tu kami nak pastikan semua ini dibincang elok-elok, supaya semuanya jelas dan Sofia rasa selamat,"
Emir memandang Aidil dan Zakiah dengan penuh hormat. "Saya faham, makcik, Dil. Saya tak akan ulang kesilapan yang sama. Saya di sini bukan hanya untuk membetulkan kesilapan saya, tapi saya mahu Sofia tahu yang saya tak pernah berhenti menyayangi dia dan anak-anak kami."
Zakiah menghela nafas panjang sebelum bersuara. "Baiklah, kalau begitu. Bila keluarga Emir rancang untuk buat majlis pernikahan ni?"
Datin Fauziah tersenyum lembut, matanya melirik ke arah Emir sebelum menjawab. "Kalau boleh, kami nak majlis pernikahan dalam tiga minggu dari sekarang. Kami dah sediakan semuanya. Cuma kami nak berbincang tentang wang hantaran dan dulang hantaran yang pihak Sofia minta."
Zakiah dan Aidil saling berpandangan sejenak sebelum Aidil bersuara. "Wang hantaran yang kami tak nak tetapkan, terpulang dengan Emir. Untuk dulang hantaran... kami minta tujuh dulang hantaran, kalau sesuai dengan keluarga Emir."
Elly yang duduk di sebelah Emir tersenyum sambil memandang abangnya. "Tujuh dulang tu boleh. Kami akan sediakan apa yang sepatutnya. Saya sendiri akan uruskan semua persiapan dulang," katanya penuh yakin.
Emir mengangguk, bersetuju dengan semua yang dipersetujui. "Tak ada masalah, Makcik Zakiah. Saya setuju dengan semua syarat. Apa yang penting sekarang, saya cuma nak Sofia bahagia. Itu saja yang saya harapkan."
Setelah semuanya dipersetujui, Mia yang sibuk di dapur menjemput Emir dan keluarganya makan.
Sofia yang baru sahaja keluar dari bilik, kini sudah berpakaian cantik. Dia meminjam pakaian Mia, gaun panjang berwarna pastel yang menonjolkan kecantikannya yang semula jadi. Rambutnya yang tadi bersanggul ala kadar kini diluruskan rapi. Wajah Sofia kelihatan sedikit gugup, tetapi dia cuba berlagak tenang ketika melangkah masuk ke ruang tamu.
Semua mata tertumpu pada Sofia, termasuk Emir yang kelihatan terpesona melihat penampilan Sofia yang anggun. Mata mereka bertembung seketika, dan Sofia hanya mampu tersenyum kecil, cuba menahan rasa canggung yang membelit dirinya.
"Subhanallah, cantik betullah menantu mama ni," Datin Fauziah bersuara, penuh kagum. "Patutlah Emir tak boleh lepaskan Sofi," katanya sambil tersenyum manis ke arah Sofia.
Sofia tunduk sedikit, tidak tahu bagaimana hendak memberikan reaksi yang betul. Dia masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku—perbincangan soal perkahwinan, hantaran, tarikh majlis, semuanya terjadi begitu cepat.

ANDA SEDANG MEMBACA
Tak kan Pernah Ada (Completed)
RomanceSebaik mana manusia merancang, Tuhan jugalah perancang yang terbaik. Sofia Irdina punya rancangan sendiri tentang hidupnya. Tentang cita-cita dan impian. Bukan untuk hari ni tapi untuk satu hari nanti setelah usia remaja dikorbankan untuk melindungi...