Apabila aku buka saja mata aku, aku ternampak atap yang putih. Kepala aku tak boleh bergerak. Leher aku terasa berat seperti dibalut dengan sesuatu. Badan aku pula seperti kaku. Aku hanya boleh menggerakkan jari-jari tangan aku saja. Aku cuba membuka mulut aku tetapi mulut aku seperti ditutup dengan sesuatu. Aku menggerakkan anak mata aku ke tepi. Bilik itu kosong. Tiada siapa yang ada di sisi aku. Kepala aku mula terasa pening.
Aku terdengar bunyi tapak kaki yang seperti sedang berlari ke arah aku. Aku cuba memandang siapa yang berlari itu daripada hujung ekor mata aku. Hati aku rasa mahu menangis apabila aku ternampak muka Pak Ali dan Pak Ajis. Muka mereka kelihatan gelisah memandang aku. Mereka seperti sedang bercakap sesuatu kepada aku. Tetapi telinga aku tak berapa dengar dengan jelas. Telinga aku mula berdesing.
Pak Ali dan Pak Ajis seperti sedang memanggil seseorang. Lalu, aku ternampak seorang lelaki muda berbaju putih mula berjalan ke arah aku dan berdiri di sebelah aku. Dia membuka kelopak mata aku dan menyuluhkan lampu kecil ke mata aku. Pendengaran aku perlahan-lahan kembali jelas semula. Dia memanggil nama aku beberapa kali dan menyuruh aku membuka mulut aku seluasnya. Selepas itu, dia bertanyakan beberapa soalan kepada aku. Suara aku serak-serak menjawab semua soalannya.
Setelah habis bertanyakan soalan dan memeriksa keadaan aku, barulah lelaki muda berbaju putih itu pergi meninggalkan aku bersama Pak Ali dan Pak Ajis. Kata Pak Ali dan Pak Ajis, aku sedang berada di hospital sekarang ini. Lelaki muda tadi adalah doktor yang merawat aku. Aku dikejarkan ke hospital selepas Encik Shuib memanggil ambulans beberapa malam yang lepas. Aku tak sedarkan diri selama beberapa hari selepas dikejarkan ke hospital. Kata mereka lagi, bangunan utama kediaman Dato' Bakri itu habis dijilat api. Nasib baik Encik Shuib cepat memanggil bomba dan ambulans untuk menyelamatkan aku dan Benji.
"Benji mana?" soal aku selepas mendengar cerita Pak Ali dan Pak Ajis itu. Mereka berdua hanya terdiam saja. Entah mengapa hati aku rasa tak tenang selepas melihat raut muka mereka.
"Benji mana?!" soal aku lagi kedengaran cemas. Pak Ali dan Pak Ajis cuba menenangkan aku.
"Tuan Benjamin masih tak sedarkan diri lagi, nak" ujar Pak Ali. Tangannya mengusap lembut kepala aku.
"Tuan Benjamin sekarang sedang dirawat di hospital lain" jelas Pak Ajis pula. Entah mengapa aku rasa mereka berdua seperti menyembunyikan sesuatu daripada aku. Tetapi aku hanya hiraukan saja buat sementara ini. Walaupun aku rasa tak sedap hati, tetapi aku hanya mampu berdoa di dalam hati yang Benji baik-baik saja sekarang ini.
Selepas seminggu lebih aku dirawat di hospital itu, barulah aku dibenarkan pulang. Badan aku masih lagi tak sembuh sepenuhnya. Lebam-lebam di badan aku masih lagi terasa sakit sekiranya aku bergerak dengan lasak. Jadi, aku dinasihatkan oleh doktor untuk sambung berehat di rumah. Aku tak boleh buat aktiviti lasak ataupun berat lagi buat sementara ini. Tetapi sekarang ini aku tak tahu ke mana hala tuju aku.
Kalau aku pulang ke kediaman Dato' Bakri itu sekalipun, semuanya sudah habis terbakar. Tiada apa lagi yang ada di situ. Walaupun Pak Ali dan Pak Ajis mengajak aku pulang ke rumah kontena mereka, tetapi aku tahu aku tak boleh duduk lama dengan mereka. Aku rasa hidup aku kosong sekarang ini. Setelah sekian lama aku sudah tak merasa kosong seperti ini. Tanpa aku sedar, Benji sudahpun menjadi sebahagian besar dalam hidup aku.
Kadang-kadang tempat yang kita nak pulang itu bukanlah rumah kita. Tetapi tempat yang kita nak pulang itu adalah di sisi seseorang yang amat bermakna di dalam hidup kita. Tanpa seseorang itu, ke mana sekalipun tempat yang kita pergi, hidup kita tak akan rasa tenang. Kita akan sentiasa rasa kosong dan kehilangan. Itulah apa yang aku rasa sekarang ini. Aku nak Benji saja sekarang ini.
Aku bertanya kepada Pak Ali dan Pak Ajis di mana hospital yang Benji sedang dirawat sekarang ini. Aku rasa aku nak pergi melawatnya. Tetapi mereka berdua pun tak tahu di mana hospital yang Benji berada sekarang ini. Mereka kata, selama ini Encik Shuib yang sering datang melawat aku di hospital dan memberitahu mereka tentang perkembangan Benji. Tetapi Encik Shuib tak pernah bagitahu di mana hospital yang Benji sedang dirawat. Aku berasa sangat sedih mendengar penjelasan mereka itu.
Lalu, aku pun ikut saja Pak Ali dan Pak Ajis pulang ke rumah kontena mereka. Hidup aku kembali sunyi seperti dulu. Apabila Pak Ali dan Pak Ajis keluar bekerja, aku tinggal sendirian di dalam rumah kontena itu. Mereka berdua menyuruh aku berehat saja di rumah. Mereka tak benarkan aku keluar ke mana-mana selagi aku tak sembuh sepenuhnya.
Dulu aku ingatkan aku akan gembira sangat bila aku dapat pulang semula ke rumah kontena itu. Tetapi sekarang ini entah mengapa aku berasa sangat sedih. Aku bukanlah tak suka dapat pulang dan duduk semula dengan Pak Ali dan Pak Ajis di bawah satu bumbung yang sama. Sejujurnya, aku sangat suka. Tetapi hidup aku rasa kosong. Hidup aku rasa tak lengkap. Seperti ada sesuatu yang hilang daripada hidup aku.
Pak Ali dan Pak Ajis pun perasan yang aku nampak sedih saja sejak aku pulang ke rumah kontena itu. Mereka berdua cuba memujuk dan memberi kata semangat kepada aku. Aku rasa serba salah pula sebab buat mereka risau dengan keadaan aku. Aku pun memaksa diri aku untuk berlakon ceria di depan mereka. Aku cuba membuang Benji daripada fikiran aku untuk sementara waktu. Tetapi aku buatlah macam mana pun, aku tetap tak boleh berhenti fikirkan pasal Benji.
Pada keesokan harinya, aku meminta dan memujuk Pak Ali dan Pak Ajis untuk membawa aku pergi ke kediaman Dato' Bakri. Mereka berdua tunaikan saja permintaan aku itu. Mungkin mereka pun rasa kesian melihat aku seperti tak keruan beberapa hari ini. Jadi, hari itu aku pergi ke kediaman Dato' Bakri. Aku tak tahu apa yang aku fikirkan. Tetapi aku hanya mampu berharap dan berdoa saja Tuhan akan membantu aku untuk mencari petunjuk di mana aku boleh mula mencari Benji.
Apabila aku sampai saja di kediaman itu, hati aku rasa sedih dan sayu melihat bangunan utama yang sudah rentung terbakar itu. Hanya bangunan yang menempatkan bilik-bilik pekerja dan bangunan yang satu lagi itu saja yang masih elok. Tiada siapa pun yang ada di situ. Semua pengawal dan pekerja sudah tidak ada lagi. Kediaman itu seperti ditinggalkan saja tanpa penghuni. Pak Ali dan Pak Ajis hanya ikut saja ke mana aku pergi daripada belakang. Mereka berdua sentiasa menemani aku.
Setelah penat berjalan melihat seluruh kediaman itu, aku mula duduk di hujung jalan kediaman itu. Pak Ali dan Pak Ajis pun turut duduk di sebelah aku. Mereka berdua hanya memandang saja aku yang termenung melihat bangunan utama yang rentung itu. Aku cuba mengingati kembali apa yang terjadi pada saat-saat terkahir sebelum aku tak sedarkan diri itu. Tetapi memori aku samar-samar. Aku hanya ingat Benji memeluk aku saja. Dia seperti mengatakan sesuatu kepada aku tetapi aku sudah tak ingat. Aku pun mula berputus asa. Aku mengajak Pak Ali dan Pak Ajis untuk pulang.
Apabila aku, Pak Ali dan Pak Ajis mula berjalan ke pagar besar kediaman itu, tiba-tiba aku ternampak Encik Shuib sedang berjalan memasuki kawasan kediaman itu. Dia tidak memakai pakaian kerjanya seperti selalu tetapi hanya memakai baju dan seluar biasa saja. Mata aku mula bercahaya semula bila aku ternampak muka Encik Shuib. Dia berjalan perlahan menuju ke arah aku, Pak Ali dan Pak Ajis apabila terpandang kami bertiga berdiri tegak di depan pagar besar kediaman itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji (BL Malay)
General FictionNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
