Dengki

13 3 0
                                        

          "Manusia jenis apa kau ni?!" jerit aku sambil bangun dan berlari ke arah Tuan Brian. Suara aku sedikit serak sebab anak tekak aku masih lagi terasa pedih akibat direntap kuat oleh Tuan Brian tadi. Aku sudah tak peduli lagi untuk menjadi formal dengan orang gila seperti Tuan Brian itu.

          Aku menolak dan menumbuk badan Tuan Brian sekuat hati aku tetapi sedikit pun badannya tak berganjak. Malah, Tuan Brian pula yang menampar muka aku dengan kuat sehingga aku tersungkur jatuh. Dia sambung mencurahkan minyak petrol ke atas lukisan-lukisan Benji. Walaupun badan dan muka aku terasa sakit, aku memaksa diri aku untuk bangun semula dan menghentikan kelakuan Tuan Brian itu. Kali ini aku menolak botol besar yang berisi minyak petrol itu daripada tangan Tuan Brian.

          "Kenapa kau busuk hati sangat?! Apa dosa Benji dengan kau?!" jerit aku. Mata aku terjegil memandang Tuan Brian.

          "Kau diam! Kau orang luar jangan nak masuk campur urusan aku dengan Benjamin!" jerit Tuan Brian pula lalu mengangkat semula botol minyak petrol itu. Aku cuba menepis tangannya tetapi tidak berjaya. Sekali lagi aku tersungkur jatuh selepas ditumbuk kuat dengan Tuan Brian.

          "Benji tu abang kau! Kenapa kau sanggup hancurkan hidup abang kau sendiri?!" jerit aku lagi. Kali ini aku sudah tak berdaya lagi untuk bangun dan menyerang Tuan Brian. Aku hanya mampu terbaring menahan kesakitan sambil memandang Tuan Brian yang sedang mencurahkan minyak petrol ke atas satu per satu lukisan yang selama ini Benji hasilkan dengan titik peluhnya sendiri.

          "Abang? Aku tak pernah sekalipun menganggap dia abang aku!" balas Tuan Brian dengan penuh sinis.

          "Daripada kecik lagi aku sangat benci dengan Benjamin! Semua benda dia nak rampas daripada aku. Dia yang meniru aku dulu! Aku suka melukis, dia pun nak suka melukis jugak! Padahal dia tak layak pun nak jadi seorang pelukis! Aku yang layak. Aku yang paling berbakat. Bukan dia!" pekik Tuan Brian. Apa yang terpancar dimukanya hanyalah benci dan dengki.

          "Selama aku hidup, aku tak pernah sekalipun melihat papa dan mama bangga dengan aku. Daripada kecik lagi, papa dan mama sering bangga dengan Benjamin je. Aku hanyalah anak yang tak berguna di mata mereka berdua" sambungnya lagi. Entah mengapa aku seperti ternampak muka Benji pada muka Tuan Brian. Mata mereka seakan-akan nampak sama. Mata anak kecil yang dahagakan perhatian dan kasih sayang seorang ayah dan mak. Sama juga seperti aku.

          Aku pun tak tahu siapa yang salah di dalam hal ini sebenarnya. Aku rasa Tuan Brian cuma salah faham saja dengan Benji. Pada mulanya, mereka berdua cuba menggunakan bakat melukis yang mereka ada hanya untuk mencuri perhatian Dato' Bakri dan Datin Soraya saja. Tetapi tanpa mereka sedar bakat itu menjadi punca kepada salah faham di antara mereka berdua.

          Benji menyangka Tuan Brian hanya ingin mengejar nama dan populariti saja di dalam dunia lukisan. Manakala, Tuan Brian pula menyangka Benji cuba meniru apa saja yang dia suka untuk mencuri perhatian Dato' Bakri dan Datin Soraya hanya untuk dirinya seorang. Sedangkan mereka berdua hanya mahukan sedikit perhatian dan kasih sayang daripada seorang ayah dan mak.

          Tetapi salah faham itu telah membuatkan Tuan Brian mula cemburu dan dengki dengan perhatian yang Benji dapat daripada Dato' Bakri dan Datin Soraya. Daripada perasaan cemburu dan dengki itu, maka lahirlah perasaan benci dan dendam yang mula mengaburi mata dan minda Tuan Brian. Sampaikan kebahagiaan abangnya sendiri pun dia sanggup hancurkan.

          "Tetapi itu dulu. Sekarang aku lah anak kebanggaan papa dan mama. Aku tak akan biarkan Benjamin merampas semula kebanggaan itu daripada aku!" ujar Tuan Brian sambil ketawa besar.

          "Benji tak pernah sekalipun merampas semua itu daripada kau. Dia menganggap kau adik dan juga sahabatnya. Dia pun bangga dengan bakat kau. Selama ini kau cuma salah faham saja dengan Benji" kata aku cuba merasionalkan fikiran Tuan Brian.

          "Ah, kau tak payah nak cakap banyak! Aku dah tak peduli lagi" balas Tuan Brian. Dia sambung semula mencurahkan minyak petrol ke atas lukisan-lukisan Benji. Mata aku mula terbeliak apabila aku ternampak lukisan potret gambar aku diangkat oleh Tuan Brian.

          "Oh, patutlah kau beria sangat menyokong Benji. Sebab ni rupanya" ujar Tuan Brian sambil mengayunkan lukisan potret itu. Aku memaksa diri aku bangun dan berlari untuk menyelamatkan lukisan potret itu. Tetapi belum sempat aku capai lukisan potret itu, Tuan Brian sudahpun menyalakan api dan membakar lukisan potret itu di depan mata aku. Hati aku berkecai melihat lukisan potret yang Benji hadiahkan untuk aku dibakar sebegitu rupa.

          "Kau bukan manusia! Kau syaitan!!!" jerit aku sambil menangis dan meraung. Tangan aku tak berhenti menumbuk badan Tuan Brian sambil cuba mencapai lukisan potret itu daripada tangannya. Tuan Brian hanya ketawa besar melihat aku menangis dan meraung. Lalu, dia mencampakkan lukisan potret yang terbakar itu ke arah lukisan-lukisan Benji yang lain. Api mula merebak.

          Tuan Brian mencekik leher aku dan menumbuk perut aku dengan kuat sehingga aku terjatuh ke lantai. Lalu, dia menyepak badan aku sebelum dia berjalan pergi meninggalkan aku seorang diri. Air mata aku tak berhenti mengalir. Badan aku sakit. Hati aku berkecai. Aku rasa seperti nak putus nyawa. Sekelip mata saja api mula marak di loteng itu. Asap semakin tebal. Tetapi aku masih lagi terbaring di situ sambil terbatuk-batuk menelan asap yang tebal. Aku sudah tak berdaya lagi untuk bangun dan berlari menyelamatkan diri. Mata aku mula tertutup perlahan.

          Dalam keadaan separa sedar, aku terdengar suara Benji sayup-sayup memanggil aku. Aku cuba membuka mata aku semula untuk memandang Benji. Mukanya kelihatan sangat cemas dan takut. Memandang saja muka Benji itu, air mata aku mula mengalir deras. Aku cuba mengungkapkan sesuatu tetapi mulut aku terkunci rapat. Aku sudah hilang segala kudrat aku.

          Benji mula memegang muka aku dan meletakkan jarinya di hujung hidung aku untuk merasa nafas aku. Kemudian, Benji mula mengangkat badan aku dan mendukung aku di belakang badannya. Lalu, dia berlari membawa aku keluar daripada loteng itu. Daripada hujung ekor mata aku, aku ternampak bukan loteng saja yang terbakar. Malah, seluruh kediaman itu sudah mula terbakar dengan api yang marak. Aku masih lagi boleh bau minyak petrol yang sangat kuat di sepanjang koridor kediaman itu.

          Tuan Brian memang betul-betul nak bunuh aku dengan Benji di dalam kediaman itu. Dia datang bukan saja nak memusnahkan lukisan-lukisan Benji. Malah, dia juga datang nak membunuh Benji. Semuanya bermula dengan perasaan dengki. Perasaan yang boleh memutuskan semua pertalian darah dan perhubungan di dunia ini. Perasaan yang boleh menjadikan manusia pembunuh! Benji berlari tanpa henti sambil mendukung aku di belakang badannya. Apabila sampai saja di tingkat paling bawah, Benji cuba membuka pintu besar kediaman itu. Tetapi pintu itu seperti terkunci daripada luar. Dia berlari pula ke pintu belakang. Tetapi pintu belakang itu pun terkunci.

          Benji cuba membuka tingkap-tingkap yang ada di tingkat bawah itu tetapi semuanya terkunci. Dia cuba memecahkan tingkap-tingkap itu dengan tangannya pula tetapi tidak berjaya. Aku boleh mendengar nafasnya mula semput. Lalu, Benji meletakkan badan aku di atas lantai. Asap semakin lama semakin tebal. Aku dapat merasa serpihan bumbung kediaman itu mula jatuh menimpa aku. Tiba-tiba Benji memeluk erat tubuh aku sambil menutup kepala aku dengan seluruh badannya. Selepas itu, dunia aku mula gelap dan aku hilang seluruh kesedaran aku. 

Benji (BL Malay)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang