Salah

9 3 0
                                        

          "Budin, Pak Ali dengan Pak Ajis buat apa dekat sini?" soal Encik Shuib pelik lalu berhenti dan berdiri depan kami bertiga.

          "Kami saja bawak Budin datang ke sini. Encik Shuib buat apa dekat sini?" soal Pak Ali pula.

          "Saya nak tukar baju sekejap. Barang-barang saya masih lagi ada di bilik pekerja" jawab Encik Shuib. Aku tak berkelip mata memandang mukanya.

          "Budin dah sihat ke?" soal Encik Shuib memandang aku. Dia nampak seperti risau dengan keadaan aku.

          "Tuan Benjamin mana, Encik Shuib?" soal aku menghiraukan pertanyaan Encik Shuib itu. Aku sudah tidak sabar lagi nak tahu pasal Benji. Encik Shuib terdiam seketika mendengar soalan aku itu. Dia mula menundukkan mukanya.

          "Tuan Benjamin masih lagi koma sekarang ni" jawab Encik Shuib dengan suara yang perlahan. Aku tersentak. Patutlah aku rasa Pak Ali dan Pak Ajis seperti menyembunyikan sesuatu daripada aku. Rupanya mereka berdua tak nak memberitahu aku yang Benji sedang koma sekarang ini. Aku tahu Pak Ali dan Pak Ajis cuma risaukan aku saja. Tetapi entah mengapa aku rasa sedikit marah kepada mereka berdua sebab menyembunyikan perkara itu daripada aku.

          "Apa sebenarnya yang berlaku malam tu?" soal aku. Walaupun aku tahu Tuan Brian yang bakar bangunan utama kediaman itu, tetapi aku nak tahu lebih lanjut kejadian malam itu daripada mulut Encik Shuib sendiri. Aku nak tahu apa yang terjadi sebelum aku mula tak sedarkan diri. Aku nak tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada Benji.

          "Budin tak ingat ke apa yang berlaku malam tu?" soal Encik Shuib pula. Dia kelihatan seperti hairan dengan soalan aku itu.

           "Saya tak berapa nak ingat sangat semua yang berlaku. Saya hanya ingat sebelum saya tak sedarkan diri, Tuan Benjamin cuba membawa saya keluar. Tetapi pintu dan tingkap semua seperti terkunci daripada luar. Lepastu saya dah tak sedar" jawab aku cuba menceritakan semula kejadian malam itu kepada Encik Shuib. Aku rasa Encik Shuib sudahpun tahu siapa yang membakar bangunan utama kediaman itu.

          "Malam tu, semua orang sudahpun tertidur. Saya terjaga apabila terdengar bangunan utama itu mula roboh disebabkan kebakaran. Cepat-cepat saya telefon bomba dan ambulans. Saya terkejut apabila terjumpa Tuan Benjamin dan Budin terbaring dihempap batu bata" kata Encik Shuib menceritakan apa yang dia nampak malam itu.

          Hati aku remuk mendengar cerita Encik Shuib itu. Aku teringat semula situasi Benji memeluk erat badan aku sambil menutup kepala dan badan aku dengan seluruh tubuhnya. Mungkin ketika itu Benji sedang cuba untuk melindungi aku daripada rasa sakit terhempap batu bata. Apabila aku terbayangkan muka Benji sedang menahan kesakitan sambil melindungi aku, mata aku mula berkaca.

         "Lepastu kamu berdua dikejarkan ke hospital yang sama. Tetapi, beberapa hari selepas itu, Dato' Bakri mengarahkan untuk memindahkan Tuan Benjamin ke hospital lain. Sampai ke hari ini, Tuan Benjamin masih lagi dalam koma" sambung Encik Shuib lagi. Aku terduduk menangis. Aku mula meraung sekuat hati aku. Pak Ali dan Pak Ajis turut terduduk sambil memeluk aku. Mereka berdua cuba menenangkan aku.

        Aku rasa semua ini salah aku. Aku sangat marah dengan diri aku sendiri. Aku harap sangat aku boleh putarkan balik masa. Kalau lah aku tak pergi cari buku conteng aku pada malam itu, mesti aku dan Benji sempat melarikan diri. Mungkin Benji tak koma sekarang ini. Tetapi aku tahu semuanya sudahpun berlaku. Sudah terlambat untuk aku rasa menyesal.

        Bila teringatkan Tuan Brian, aku rasa semakin marah. Kenapa lah ada manusia yang sangat kejam seperti dia di dalam dunia ini. Sampai sanggup nak membunuh abang sendiri. Darah daging sendiri! Kenapa?! Kenapa?!! Patutnya dia yang koma sekarang ini. Bukannya Benji! Lebih bagus kalau dia mati saja! Fikiran dan perasaan aku mula meracau. Dada aku terasa sangat pedih akibat perasaan marah yang melampau. Aku menumbuk-numbuk dada aku dengan tangan aku. Pak Ali dan Pak Ajis cepat-cepat menarik tangan aku. Mereka berdua cuba menenangkan aku dan memeluk aku dengan kuat.

         Selepas aku mula bertenang dan berhenti menangis, barulah Encik Shuib membawa aku, Pak Ali dan Pak Ajis ke hospital yang Benji sedang dirawat sekarang ini. Bilik wad Benji dikawal ketat oleh dua orang pengawal. Hanya orang-orang tertentu saja yang dibenarkan masuk ke dalam bilik wad Benji itu. Jadi, Encik Shuib hanya membawa aku seorang saja untuk memasuki bilik wad Benji.

         Pak Ali dan Pak Ajis menunggu aku di ruangan menunggu di tingkat bawah. Aku pun tak tahu alasan apa yang digunakan oleh Encik Shuib kepada dua orang pengawal yang berdiri tegak di depan pintu bilik wad Benji itu. Tetapi dua orang pengawal itu hanya biarkan saja Encik Shuib membawa aku masuk ke dalam bilik wad Benji. Bilik wad itu memang khas untuk Benji saja. Tiada pesakit lain yang ditempatkan di dalam bilik wad itu.

         Apabila aku masuk saja ke dalam bilik wad itu, hati aku terasa sayu memandang Benji yang sedang terbaring di atas katil itu. Badannya penuh dengan wayar. Aku masih lagi boleh nampak lebam dan luka di badan dan mukanya. Air mata aku mula mengalir deras. Encik Shuib membawa aku duduk di kerusi yang terletak di sebelah katil Benji itu. Lalu, dia pun berjalan keluar semula daripada bilik wad itu untuk memberikan aku ruang dan masa dengan Benji.

        Aku hanya duduk saja sambil menangis memandang muka Benji. Kerinduan di hati aku ini semakin membuak-buak selepas aku dapat melihat mukanya lagi. Aku cuba memegang jari tangan Benji dengan perlahan. Lalu, aku mencium jari tangannya dengan berhati-hati. Sejujurnya, aku tak berani nak bergerak banyak sebab takut terlanggar wayar-wayar yang memenuhi badan Benji itu. Takut Benji terasa sakit.

          "Maafkan aku, Benji" bisik aku kepada Benji. Aku tahu dia tak boleh dengar pun apa yang aku katakan itu. Tetapi aku nak juga meminta maaf kepada Benji. Aku masih lagi menyalahkan diri aku dengan semua yang berlaku kepada Benji.

          "Kau kena sembuh cepat tau, Benji. Kau janji dengan aku, kau nak bawak aku pergi jalan-jalan lagi. Aku tunggu kau ni" bisik aku lagi sambil mengusap lembut jari-jari tangan Benji.

          "Aku sayang kau banyak-banyak, Benji. Aku cintakan kau banyak-banyak. Aku rindu kau banyak-banyak!" bisik aku sambil tersesak-esak menangis. Tetapi aku cuba menenangkan hati aku semula dan mengelap air mata aku dengan lengan baju aku. Aku tahu aku kena kuat untuk Benji. Aku menarik nafas panjang dan mencium jari tangan Benji untuk kali terakhir sebelum aku pulang.

          Setelah puas melihat Benji, aku pun bangun daripada kerusi dan mula berjalan keluar daripada bilik wad itu. Tak sampai hati pula aku nak biarkan Pak Ali dan Pak Ajis menunggu lama di bawah. Apabila aku keluar saja daripada bilik wad itu, aku terpandang Encik Shuib yang sedang duduk di kerusi panjang di luar bilik wad itu. Dia hanya tersenyum saja memandang aku. Aku pun turut tersenyum kepadanya untuk membalas senyumannya.

           "Terima kasih, Encik Shuib sebab bawak saya melawat Tuan Benjamin" ujar aku perlahan. Aku takut pula dua orang pengawal yang berdiri di depan pintu bilik wad itu terdengar apa yang aku katakan kepada Encik Shuib.

          "Sama-sama. Kalau Budin nak datang melawat Tuan Benjamin lagi lepasni, datang je lah tau" balas Encik Shuib. Aku rasa teruja bila dengar aku boleh datang melawat Benji lagi selepas ini. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku sambil tersenyum memandang Encik Shuib. Lalu, aku pun mula berjalan ke arah lif berhampiran. Tetapi langkah aku terhenti semula apabila Encik Shuib memanggil nama aku.

         "Budin.... Jangan salahkan diri kamu tau. Tuan Benjamin pun mesti sedih kalau dia tahu kamu salahkan diri kamu sendiri" kata Encik Shuib sambil tersenyum memandang aku. Entah mengapa hati aku rasa sebak pula mendengar katanya itu. Aku hanya menganggukkan kepala aku dan tersenyum semula kepada Encik Shuib.

          Mulai hari itu, aku sering datang melawat Benji di hospital. Dua orang pengawal itu sudah naik muak melihat muka aku saja yang selalu datang ke bilik wad Benji itu. Setiap kali aku datang melawat Benji, aku juga akan bawa buku novel misteri dan siasatan yang Benji suka baca dulu. Aku akan bacakan novel yang aku bawa itu kepada Benji. Kadang-kadang aku juga ceritakan hari-hari yang aku lalui kepada Benji. Walaupun hidup aku ini membosankan, tetapi aku nak juga ceritakan semua benda dekat Benji. Lantaklah orang nak cakap aku gila pun bercakap dengan orang yang sedang koma.

          Setelah beberapa bulan berlalu, lebam dan luka di badan dan muka Benji semakin lama semakin pulih. Tetapi Benji masih lagi berada di dalam keadaan koma. Doktor yang merawat Benji memberitahu, mungkin disebabkan hentakan yang kuat di kepala Benji, dia mengambil masa yang agak lama untuk sedar semula daripada komanya. Doktor itu memberi kata semangat kepada aku dan Encik Shuib supaya tidak berputus asa mendoakan kesembuhan untuk Benji.

Benji (BL Malay)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang