Hanya sekelip mata saja lima tahun berlalu. Aku sudahpun menjadi seorang penulis novel sekarang ini. Pada mulanya, novel aku tidak mendapat sambutan orang ramai. Mungkin sebab tiada lagi yang mengenali aku. Namun, selepas dua tahun lebih aku menulis novel, barulah novel-novel aku mula dibeli dan dibaca oleh ramai orang. Jualan novel-novel aku juga semakin lama semakin laris di pasaran. Aku berasa sangat gembira sebab akhirnya angan-angan aku selama ini untuk menjadi seorang penulis menjadi kenyataan.
Beberapa hari lagi akan tiba hari yang telah lama dinanti-nantikan. Syarikat penerbitan yang menerbit semua novel aku akan mengadakan sesi bergambar dan tanda tangan untuk peminat-peminat novel aku. Sesi itu akan diadakan di sebuah pesta buku yang sangat terkenal. Setelah dipujuk berkali-kali oleh editor novel aku, aku pun bersetuju untuk menjalankan sesi itu. Sejujurnya aku sedikit gementar untuk berjumpa dengan orang ramai. Sesi itu juga merupakan sesi bergambar dan tanda tangan dengan peminat yang pertama untuk aku.
Apabila tiba saja hari yang dinantikan itu, ramai sangat orang yang datang ke pesta buku terkenal itu. Walaupun aku berasa teruja melihat ramai peminat yang nak bergambar dan mendapatkan tanda tangan aku, tetapi aku masih lagi rasa gementar menjadi tumpuan orang ramai. Perlahan-lahan aku cuba menepis perasaan gementar itu. Bibir dan tangan aku sudah mula terasa kejang sebab senyum untuk bergambar dan tanda tangan tanpa henti. Tak lama selepas itu barulah orang ramai mula berkurang. Hari pun sudah mula petang. Aku berehat seketika di meja dan kerusi yang aku duduk itu.
Semasa aku sedang duduk berehat itu, masih ada lagi beberapa orang peminat yang datang untuk bergambar dan mendapatkan tanda tangan aku. Aku hanya layankan saja peminat-peminat aku dengan baik. Sebenarnya, aku sangat gembira sebab ramai yang membaca novel-novel aku. Aku rasa terharu bila aku dapat tahu yang ada peminat-peminat novel aku sampai sanggup datang daripada jauh semata-mata untuk berjumpa dengan aku. Melihat senyuman mereka memberi aku semangat untuk menulis lebih banyak lagi novel untuk masa akan datang. Namun, entah mengapa jauh di dalam sudut hati aku, aku masih lagi berasa sedih. Aku rasa seperti ada sesuatu yang tak lengkap. Seperti ada sesuatu yang hilang. Tetapi aku cepat-cepat menepis perasaan itu.
"Hai! Awak nak saya tanda tangan di mana?" soal aku sambil tersenyum apabila ada seorang peminat yang datang berdiri di depan meja aku. Aku malu nak bertentang mata dengannya. Jadi, aku hanya menundukkan saja muka dan pandangan aku. Lalu, dia meletakkan sebuah novel penulisan aku di atas meja dan menunjukkan di mana tempat yang dia nak aku tanda tangan.
"Hai, Dino" ujar peminat aku itu dengan suara yang perlahan. Aku tersentak mendengar suaranya. Suara yang sangat aku kenal. Panggilan nama yang sudah lama aku tak dengar. Senyuman aku tadi terus hilang sekelip mata. Tangan aku terhenti dan kaku. Jantung aku mula berdegup kencang. Entah mengapa hati aku rasa seperti nak menangis.
Aku mendongakkan kepala aku dan memandang mukanya. Tiada lagi kesan parut di sebelah kanan mukanya. Matanya juga kedua-duanya nampak celik memandang aku sambil tersenyum manis. Perasaan aku mula bercampur-baur selepas melihat senyumannya itu. Sedih. Rindu. Marah. Terkilan. Semuanya datang serentak memenuhi ruangan hati aku. Dada aku terasa sempit. Aku cuba menarik nafas panjang untuk menenangkan hati aku.
"Siapa Dino? Saya pernah kenal awak ke?" soal aku cuba memaksa diri aku untuk tenang. Aku sambung menulis ucapan singkat aku dan tanda tangan di dalam buku novel yang diberikannya itu.
"Kau dah tak ingat aku dah ke?" soalnya pula dengan suara yang seperti sedih. Entah mengapa aku rasa nak marah pula.
Siapa dia untuk tanya aku sama ada aku masih lagi ingat ke tak dekat dia?! Setelah lima tahun dia menghilang tanpa berita. Setelah dia buat aku seperti orang gila mencari-cari di mana dia. Setelah dia buat aku risaukan dia. Sekarang baru dia nak datang cari aku? Dan dengan beraninya dia cakap, 'Hai, Dino' dekat aku. Aku rasa nak tampar muka Benji. Tetapi aku cuba menahan amarah aku dan buat-buat seperti tiada apa yang berlaku.
"Awak siapa ye? Saya tak kenal awak" soal aku dengan muka yang kosong. Aku hanya memandang saja muka Benji yang kelihatan seperti sedih itu.
"Aku, Benji. Betul ke kau dah tak ingat dah aku?" soalnya lagi dan cuba memperkenalkan dirinya.
"Oh, hai Benji. Nah, ni buku awak tadi. Terima kasih sebab sudi baca novel saya" balas aku sambil menghulurkan buku novel itu semula kepada Benji. Aku hanya menghiraukan saja persoalannya tadi.
Benji mengambil buku novel itu daripada tangan aku dan cuba menyentuh tangan aku. Cepat-cepat aku menepis kuat tangannya sehingga buku novel itu terjatuh ke lantai. Aku tersentak. Aku tak berniat pun nak menepis tangan Benji dengan begitu kuat. Aku hanya terkejut saja apabila terasa tangannya menyentuh tangan aku. Aku memandang muka Benji. Dia juga kelihatan terkejut dengan tingkah laku aku. Lalu, dia mengambil dan mengangkat buku novel itu daripada lantai.
"Kau dah benci aku ke?" soal Benji lagi. Aku terdiam seribu bahasa. Aku rasa sedih pula mendengar soalannya itu. Dada aku mula naik dan turun.
"Aku tahu kau sangat marah dengan aku. Tetapi aku terpaksa buat apa yang aku patut buat selama ini. Aku mintak maaf sebab menghilang begitu lama" ujar Benji sambil memandang tepat ke muka aku. Perasaan marah aku semakin membuak-buak.
"Kau fikir kalau kau mintak maaf dekat aku, aku akan maafkan kau macam tu je ke? Kau tak pernah fikir selama ini macam mana perasaan aku? Pernah tak kau fikir apa yang aku kena hadap lepas kau hilang macam tu je?" soal aku bertubi-tubi dengan nada suara marah. Tetapi aku masih lagi cuba mengawal kekuatan suara aku sebab aku takut orang lain dengar perbualan kami itu. Nasib baik petang itu sudah tak ramai lagi orang di pesta buku itu. Kini, giliran Benji pula yang terdiam mendengar aku marah.
"Sudah lah Benji. Yang lepas itu biarkan lah berlalu. Aku rasa sudah cukup untuk aku tahu yang kau masih hidup dan sihat lagi. Sekarang ni, lebih baik kita bawak je haluan masing-masing" sambung aku lagi. Hati aku remuk mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut aku sendiri. Tetapi keegoan aku menguasai diri. Benji hanya tertunduk saja memandang lantai.
"Aku pun selalu fikirkan pasal kau selama ni. Aku pun mencari-cari kau jugak selama ni. Tetapi hari ini baru aku boleh berjumpa dengan kau. Aku tak paksa kau untuk percayakan aku semula. Dan aku tak paksa kau untuk memaafkan aku. Tetapi apa yang aku tahu sekarang ni, aku tak nak hilang kau lagi dah" ujar Benji panjang lebar. Aku terkedu seketika mendengar kata-katanya itu.
Sebenarnya, aku tak berapa faham apa yang dimaksudkan Benji itu. Kenapa pula dia perlu mencari aku selama ini? Tiba-tiba aku baru terfikir. Selama ini, Benji pun sama dengan aku ke? Dia pun tak tahu di mana nak mencari aku juga ke? Aku baru teringat, sebelum Benji mula menghilangkan diri, aku hanya sering berjumpa dengan Encik Shuib di hospital saja. Aku tak terfikir pula macam mana Encik Shuib nak mencari aku untuk memberitahu aku yang Benji sudahpun sedarkan diri dulu. Tambah lagi masa itu aku sudah lama tidak datang melawat disebabkan aku sibuk dengan kerja.
Entah mengapa baru sekarang aku terfikir. Selama ini aku terlalu yakin yang Benji cuba melarikan dirinya daripada aku. Tetapi perasaan marah dan ego menguasai diri aku. Kalau betul lah Benji pun mencari aku selama ini, kenapa baru hari ini dia datang berjumpa dengan aku? Aku sudah lima tahun lamanya berada di dalam dunia penulisan ini. Aku menggunakan nama aku sendiri bukannya nama samaran seperti dia. Kalau betul lah Benji pun membaca novel-novel aku selama ini, tak kan lah dia tak tahu itu aku? Kenapa sekali pun dia tak pernah menghubungi aku melalui emel ataupun sosial media yang tertulis di setiap novel aku? Aku masih lagi tak percayakan Benji.
Walaupun selama ini aku pergi ke semua galeri seni untuk mencari lukisan-lukisan Benji, tetapi sampai ke hari ini aku masih lagi tak tahu apa nama samaran yang dia gunakan. Sampai ke hari ini, aku masih lagi tak boleh bezakan mana satu lukisan Benji di setiap galeri seni itu. Kalau aku tahu, sudah lama aku cuba menghubungi dia. Tetapi aku tak tahu! Aku kecewa dengan diri aku sendiri. Padahal sebelum ini aku sering melihat Benji melukis. Tetapi aku masih lagi tak dapat membezakan lukisan hasil tangannya dengan pelukis-pelukis lain. Sejujurnya, aku sendiri pun tak tahu siapa yang lagi aku marahkan sekarang ini. Sama ada diri aku sendiri ataupun Benji.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji (BL Malay)
General FictionNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
