Penjelasan

9 4 0
                                        

          Sejak daripada itu, Benji sering menghantar hadiah dan bunga untuk aku ke syarikat penerbitan yang menerbit novel-novel aku. Dia sering menghantar bunga, coklat, kek dan pelbagai bentuk hadiah lagi. Tetapi sekalipun aku tak pernah menerima semua hadiah yang dia hantarkan itu. Aku suruh saja orang lain ambil atau makan semua hadiahnya itu. Sampai satu tahap, syarikat penerbitan itu sudah mula penuh dengan hadiah-hadiah daripada Benji. Aku merasa geram pula dengan kelakuannya itu.

          "Kamu tak nak ke bunga ni, Budin?" soal editor novel aku. Itu bunga yang entah ke berapa juta kalinya Benji hantar ke syarikat penerbitan itu.

          "Tak nak" jawab aku ringkas. Aku sudah mula naik muak melihat bunga yang dihantar Benji itu.

          "Kalau kamu tak nak, saya buang bunga ni ye? Meja saya ni pun dah penuh dengan bunga dah ni. Sampai tak muat dah nak letak barang-barang saya hehe" ujar editor novel aku. Aku terkedu apabila mendengar yang dia nak buang bunga itu. Aku rasa serba salah pula kalau dibuangnya bunga itu nanti. Aku pun mengambil dan membawa pulang semua bunga yang Benji hantarkan itu ke rumah aku.

          Pada keesokan harinya, aku turun sendiri dan berjumpa dengan Encik Shuib yang selama ini menjadi tukang hantar semua hadiah daripada Benji ke syarikat penerbitan itu. Selama ini, pekerja admin di bawah itu yang tolong ambil hadiah-hadiah itu untuk aku. Setahu aku, Encik Shuib sekarang sudahpun menjadi personal assistant Benji. Ke mana saja Benji pergi, dia mesti ada di samping Benji. Walaupun aku tahu Encik Shuib tiada kena mengena dalam hal antara aku dan Benji, tetapi aku sedikit marah juga padanya. Aku tahu dia hanya mengikut saja arahan daripada Benji. Tetapi kalau dia betul-betul kesian kan aku, dia boleh saja menghubungi aku untuk memberitahu pasal Benji selama ini.

          "Encik Shuib dah boleh berhenti dah kot hantar semua hadiah ni dekat saya. Bagitahu Tuan Benjamin, saya tak akan maafkan dia kalau dia hantar lagi hadiah-hadiah ni semua dekat syarikat penerbitan ni" ujar aku selepas aku turun dan keluar daripada pintu syarikat penerbitan itu. Mata Encik Shuib terkebil-kebil memandang aku sambil kedua-dua tangannya memegang bunga dan hadiah.

          "Budin tak suka ke semua hadiah ni?" soal Encik Shuib. Aku hanya memandang saja mukanya yang nampak merah sebab menahan panas itu. Mesti dia penat berdiri lama di luar bangunan itu sambil menahan panas terik matahari. Kesian pula aku melihatnya. Aku pun mengajak dia untuk masuk ke lobi syarikat penerbitan itu.

          "Kalau Tuan Benjamin tu betul-betul ikhlas nak bagi saya semua hadiah ni, sepatutnya dia yang datang berdiri di sini. Bukannya Encik Shuib" ujar aku melepaskan geram yang sudah lama tersimpan di dalam hati. Encik Shuib terdiam seketika memandang aku.

          "Budin masih marahkan lagi Tuan Benjamin ke?" soal Encik Shuib lagi. Giliran aku pula terdiam.

          "Mungkin pada mulanya memang betul Tuan Benjamin cuba melarikan dirinya daripada Budin. Tetapi semua itu sebab Tuan Benjamin tak boleh maafkan dirinya sendiri. Sampai ke hari ini Tuan Benjamin masih lagi menyalahkan dirinya sendiri atas semua yang berlaku kepada Budin semasa kebakaran di kediaman Dato' Bakri dulu. Tuan Benjamin masih lagi tak boleh maafkan dirinya sebab biarkan Budin sampai tercedera dipukul oleh Tuan Brian" jelas Encik Shuib panjang lebar. Aku terkedu mendengar ceritanya itu. Rupanya bukan aku seorang saja yang menyalahkan diri aku sendiri pasal kejadian kebakaran itu.

          "Sejak daripada kejadian itu, Tuan Benjamin tekad untuk mengambil tindakan ke atas Tuan Brian. Selama ini dia biarkan apa saja yang dilakukan oleh Tuan Brian hanya sebab dia masih lagi menganggap Tuan Brian itu adiknya. Tetapi sejak apa yang Tuan Brian lakukan kepada Budin, Tuan Benjamin tak boleh biarkan dan maafkan Tuan Brian lagi" sambung Encik Shuib lagi. Aku hanya memasang telinga mendengar ceritanya.

          "Jadi, Tuan Benjamin mula patahkan pula sayap Tuan Brian. Tuan Benjamin mula menyebarkan tentang dirinya kepada orang ramai. Apabila orang ramai tahu yang Tuan Benjamin merupakan anak kepada Dato' Bakri dan Datin Soraya yang selama ini mereka berdua katakan sudah mati, orang ramai mula memboikot perniagaan Dato' Bakri dan Datin Soraya sehingga perniagaan mereka mula jatuh muflis. Dato' Bakri dan Datin Soraya terpaksa menggunakan semua duit dan harta mereka untuk membayar semua hutang dan saman yang dikenakan terhadap mereka berdua dan perniagaan mereka."

          "Disebabkan Dato' Bakri dan Datin Soraya sudah tiada duit dan harta lagi, barulah Tuan Benjamin mula menyebarkan berita yang Tuan Brian mencuri lukisan-lukisannya dengan menggunakan nama samaran Tuan Benjamin selama ini. Sejak daripada itu, ramai lagi pelukis lain yang menyatakan Tuan Brian juga sering mencuri idea dan lukisan-lukisan mereka. Kes itu dibawa sehingga ke mahkamah dan Tuan Brian dijatuhkan hukuman dan dipenjarakan. Tuan Benjamin tahu yang Dato' Bakri dan Datin Soraya tak mampu untuk membela Tuan Brian lagi disebabkan duit dan harta mereka berdua sudah habis lesap. Jadi, Tuan Brian masih lagi dipenjarakan sehingga ke hari ini" jelas Encik Shuib panjang lebar menceritakan tentang apa yang berlaku selama Benji hilang. Sekarang barulah aku tahu lebih mendalam tentang berita yang aku dengar selama ini tentang Dato' Bakri, Datin Soraya dan Tuan Brian.

          "Selepas itu, Tuan Benjamin mula mencari Budin semula. Tetapi dalam dunia ni, nama Budin bukan kamu seorang saja. Pernah sekali Tuan Benjamin terjumpa seorang penulis novel yang bernama Budin juga. Dia ingatkan itu kamu. Pelbagai cara Tuan Benjamin cuba untuk menghubungi dan bertemu dengan penulis itu. Sampaikan penulis itu ingat yang Tuan Benjamin ni stalker. Tetapi apabila Tuan Benjamin berjumpa dengan penulis itu, rupanya dia bukan kamu" jelas Encik Shuib lagi. Aku sedikit terkedu. Rupanya memang betul Benji pun selama ini mencari-cari aku juga. Patutlah dia tak pernah menghubungi aku apabila dia terjumpa novel aku. Mesti dia takut kena tuduh stalker lagi.

          "Pada masa yang sama, setelah saya puas memujuk Tuan Benjamin, barulah dia mula menjalani rawatan dan pembedahan untuk kulit muka dan mata kanannya. Sebab itulah sekarang ini mata kanan Tuan Benjamin boleh melihat semula. Dan kesan terbakar pada mukanya juga sudah tak ada" sambung Encik Shuib lagi. Aku hanya diam seketika. Otak aku masih lagi sedang memproses semua cerita yang diberitahu oleh Encik Shuib itu kepada aku.

          "Sepatutnya Tuan Benjamin yang perlu menceritakan semua ini kepada saya. Bukannya Encik Shuib" ujar aku selepas lama mendiamkan diri. Aku masih lagi membiarkan keegoan aku menguasai diri. Encik Shuib hanya memandang aku.

         "Macam mana Tuan Benjamin nak menceritakan semua ini, kalau Budin sendiri yang tak nak berjumpa dengan dia?" soal Encik Shuib. Aku tersentak. Aku malu pula dengan diri sendiri. Memang betul pun sejak Benji datang berjumpa dengan aku di pesta buku hari itu, aku tak nak berjumpa langsung dengannya. Walaupun Benji sudah mencuba pelbagai cara untuk berjumpa dengan aku lagi selepas itu, tetapi aku sering menghiraukannya saja.

          Sejak daripada hari itu, Benji tidak menghantar lagi hadiah dan bunga ke syarikat penerbitan itu. Tetapi, dia menghantar pula semua hadiah dan bunga itu ke rumah aku. Kali ini, bukan Encik Shuib lagi yang menghantar semua hadiah dan bunga itu. Tetapi Benji sendiri yang datang ke rumah aku untuk menghantar semua hadiah dan bunga itu. Aku pun tak tahu mana dia dapat alamat rumah aku. Setiap kali dia datang berdiri di luar rumah aku, aku hanya menghiraukannya saja. Aku hanya suruh saja dia meninggalkan semua hadiah dan bunga itu di depan pintu rumah aku. Sejujurnya, aku masih lagi tak bersedia untuk berjumpa dengan Benji buat masa sekarang ini. Mungkin suatu hari nanti apabila aku sudah bersedia, barulah aku akan berjumpa dengannya dan berbincang tentang semua masalah kami berdua.

Benji (BL Malay)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang