Beberapa bulan berlalu selepas itu. Aku rasa sudah lama aku tak pergi menjenguk Pak Ali dan Pak Ajis. Jadi, hari itu aku pun merancang untuk ke rumah kontena mereka berdua. Walaupun aku sudah mengajak Pak Ali dan Pak Ajis untuk duduk bersama aku di rumah aku itu, tetapi mereka berdua menolak ajakan aku. Mereka kata mereka masih lagi mampu untuk bekerja. Dan selagi mereka mampu bekerja, mereka berdua mahu duduk dulu di rumah kontena mereka itu. Pak Ali dan Pak Ajis kata mereka tak mahu menyusahkan aku. Tetapi sedikit pun aku tak pernah merasa mereka susahkan aku.
Setiap bulan, aku akan cuba untuk menghulurkan Pak Ali dan Pak Ajis sedikit duit belanja. Walaupun pada mulanya mereka berdua menolak, tetapi aku cuba memujuk mereka untuk menerima duit belanja itu. Aku bukan saja rasa terhutang budi kepada mereka berdua. Aku juga rasa teringin sangat nak memanjakan mereka berdua dengan duit yang aku dapat daripada hasil titik peluh aku. Bagi aku, aku sudah lama menganggap Pak Ali dan Pak Ajis seperti ayah kandung aku sendiri. Jadi, semestinya aku mahu membalas jasa mereka selama ini mengutip aku di jalanan lalu membesarkan dan memanjakan aku seperti anak kandung mereka sendiri.
Aku mula berjalan pulang ke rumah kontena Pak Ali dan Pak Ajis. Aku merancang nak duduk sebentar dengan mereka berdua untuk beberapa hari. Kebetulan aku pun cuti lama, jadi aku nak meluangkan masa cuti aku dengan Pak Ali dan Pak Ajis. Lagipun, aku sudah lama tak berjumpa dengan mereka berdua disebabkan aku sibuk sangat dengan penulisan novel aku selama ini. Sebelum aku menuju ke rumah kontena Pak Ali dan Pak Ajis, aku singgah sekejap di gerai tepi jalan untuk membeli roti bun kegemaran aku. Roti bun itu sedap dinikmati bersama sambal ikan sardin, Jadi, aku juga turut membeli lauk kegemaran aku itu. Nanti aku boleh makan roti bun dan lauk sambal ikan sardin itu dengan Pak Ali dan Pak Ajis.
Setelah aku sampai saja di rumah kontena Pak Ali dan Pak Ajis itu, aku berlari laju dan memeluk erat mereka berdua. Rindu di hati aku ini terasa terubat semula selepas dapat memeluk Pak Ali dan Pak Ajis sekuat hati aku. Mereka berdua hanya ketawa saja melihat aku menerkam dan memeluk mereka berdua sebegitu. Mereka memeluk semula badan aku dengan kuat. Kami bertiga berpelukan lama di luar rumah kontena Pak Ali dan Pak Ajis itu. Sesudah puas berpelukan, barulah kami bertiga masuk ke dalam rumah dan menjamu makan roti bun dan lauk ikan sardin yang aku beli di gerai tadi.
Aku, Pak Ali dan Pak Ajis bersembang panjang sambil menikmati makanan itu. Aku juga turut menceritakan kepada mereka berdua tentang Benji. Aku menceritakan daripada mula bagaimana Benji datang berjumpa aku di pesta buku beberapa bulan yang lepas sampailah sekarang Benji masih lagi menghantar semua hadiah dan bunga ke rumah aku. Aku juga menceritakan apa sebenarnya yang terjadi selama ini. Pasal Dato' Bakri, Datin Soraya dan Tuan Brian. Dan juga pasal Benji cuba mencari aku. Pak Ali dan Pak Ajis hanya setia mendengar semua cerita aku.
"Budin masih marahkan Tuan Benjamin lagi ke?" soal Pak Ajis selepas aku habis bercerita. Aku hanya diam saja.
"Tak elok melayan perasaan marah tu lama-lama, nak. Jangan biarkan perasaan marah dan ego menguasai diri Budin. Perasaan marah dan ego itu boleh merosakkan sesebuah hubungan tau, nak" ujar Pak Ali. Aku tahu apa yang Pak Ali cuba maksudkan. Dan aku tahu aku tak boleh lari daripada masalah aku dan Benji itu selama-lamanya. Tetapi aku masih lagi tak bersedia untuk menghadap Benji.
"Betul tu Budin. Budin kena berbincang elok-elok dengan Tuan Benjamin. Jangan disebabkan Budin terlalu marah dengan dia, Budin sanggup memutuskan hubungan antara kamu berdua" ujar Pak Ajis pula. Aku hanya tertunduk saja mendengar pesanan Pak Ali dan Pak Ajis itu.
"Tipulah kalau Budin cakap Budin dah tak marah dengan Tuan Benjamin lagi. Bukan dia saja yang Budin marah, tetapi Budin juga marahkan diri Budin sendiri. Macam mana Budin nak berbincang dengan Tuan Benjamin kalau Budin pun tak faham dengan diri Budin sendiri" luah aku kepada Pak Ali dan Pak Ajis. Mereka berdua hanya mengusap lembut saja kepala dan belakang badan aku.
"Kalau Budin perlukan masa untuk berfikir dulu, Budin bagitahu lah Tuan Benjamin. Jangan biarkan dia tergantung dan tertanya-tanya seorang diri" pesan Pak Ajis.
"Betul tu, nak. Mesti Tuan Benjamin sedang bercelaru sekarang ini sebab tertanya-tanya apa lagi yang patut dia buat supaya Budin boleh maafkan dia" sambung Pak Ali pula. Aku hanya terdiam saja mendengar pesanan Pak Ali dan Pak Ajis itu. Aku sedang cuba memproses fikiran aku sendiri.
Selepas beberapa hari berlalu, aku merancang untuk pulang semula ke rumah aku. Aku mula berjalan pulang ke rumah aku seusai saja minum petang dengan Pak Ali dan Pak Ajis. Aku merasa tenang melihat matahari perlahan-lahan mula terbenam di hujung langit. Sungguh cantik pemandangan langit waktu itu seperti sebuah lukisan yang sangat besar. Entah mengapa aku teringat pula kepada Benji. Dia sangat suka melukis pemandangan langit. Dulu aku selalu melihat dia melukis pelbagai jenis pemandangan langit. Kadang-kadang lukisannya penuh kebiruan. Kadang-kadang jingga kemerahan. Kadang-kadang pula unggu kemerahan. Dan setiap kali aku melihat Benji melukis, aku pasti akan merasa sangat tenang dan bahagia.
Apabila aku sampai saja di rumah aku, aku terkejut melihat Benji terduduk menyandar di depan grill pintu rumah aku. Dia memandang aku yang sedang berjalan perlahan ke arahnya. Mukanya nampak gelisah. Di depan grill pintu rumah aku itu penuh dengan kotak-kotak hadiah dan bunga. Ada beberapa jambak bunga yang sudahpun kelihatan layu. Dan ada juga beberapa kotak hadiah yang sudah kemek seperti dipijak orang. Mungkin ada penduduk-penduduk lain yang tak sengaja terpijak kotak-kotak hadiah itu semasa mereka lalu di kawasan koridor itu. Maklumlah, aku duduk di rumah pangsa. Langkah aku terhenti apabila aku ternampak buku-buku jari tangan Benji penuh dengan luka dan darah. Hati aku mula rasa risau melihat luka dan darah di tangan Benji itu.
"Kau pergi mana, Dino? Kenapa kau dah lama tak pulang ke rumah?" soal Benji dengan suara yang serak. Aku hanya diam saja memandang tangannya. Aku melihat pula grill pintu rumah aku yang kelihatan kemek sedikit seperti kena tumbuk itu.
"Dino.... Apa yang patut aku buat supaya kau boleh maafkan aku? Apa yang patut aku buat supaya kau nak berjumpa dengan aku lagi? Apa yang patut aku buat supaya kau nak bercakap dengan aku lagi? Please bagitahu aku? Aku akan buat apa saja yang kau suruh. Please?" soal Benji. Suaranya kedengaran seperti mahu menangis. Matanya nampak kuyu. Kedua-dua tangannya mula memeluk erat kedua-dua kaki aku sambil kepalanya mendongak memandang aku. Hati aku rasa sedih dan kesian pula melihat mukanya sebegitu.
Aku menarik tangan Benji dan menyuruh dia bangun daripada duduk. Lalu, aku membuka pintu rumah aku dan mengajaknya masuk ke dalam rumah. Kemudian, aku menyuruh Benji duduk di sofa ruang tamu aku. Aku meninggalkannya sebentar sementara aku pergi mengambil peti pertolongan cemas yang berada di dalam bilik tidur aku. Apa-apa pun, aku perlu mencuci dulu luka di buku-buku jari tangan Benji itu. Aku tahu Benji ni susah nak marah sebenarnya. Tetapi kalau sekali dia marah, grill besi pun dia boleh tumbuk sampai kemek dengan hanya menggunakan tangannya saja. Jadi, aku sudahpun tahu mengapa buku-buku jari tangannya itu boleh terluka dan berdarah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji (BL Malay)
Fiksyen UmumNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
