Masa

9 3 0
                                        

          Aku mula mencuci luka dan darah di buku-buku jari tangan Benji dengan perlahan. Aku takut kalau aku terlalu kasar nanti Benji terasa sakit pula. Tetapi dia hanya memandang saja muka aku tanpa berkelip mata. Sepanjang aku mencuci dan membalut luka di tangannya itu, kami berdua hanya diam saja tanpa berkata apa-apa. Aku tahu Benji mesti sedang menunggu jawapan untuk persoalannya tadi daripada mulut aku. Tetapi aku tak tahu nak mula daripada mana.

          Aku teringat pesanan Pak Ali dan Pak Ajis. Memang betul lah apa yang mereka katakan. Benji mesti sedang celaru sekarang ini. Dia nampak sangat gelisah. Aku rasa mungkin dia ingat aku sudah lama tak balik ke rumah sebab aku nak menjauhkan diri aku daripadanya. Mesti dia pelik mengapa semua hadiah dan bunga yang diletakkannya di depan pintu rumah aku itu sudah lama tak bersentuh.

          Selalunya, walaupun aku tak ambil semua hadiah dan bunga yang diberikannya itu daripada tangan Benji, tetapi aku pasti akan membawa masuk semua hadiah dan bunga itu ke dalam rumah aku selepas dia berlalu pergi meninggalkan rumah aku. Aku rasa serba salah pula membuat Benji rasa gelisah sebegitu. Sebab aku tahu dan faham macam mana penatnya perasaan itu. Selama ini, aku pun rasa gelisah apabila aku tak dapat mencari Benji di mana-mana.

         "Aku tahu sekarang ni kau nak jawapan untuk semua persoalan kau tadi tu daripada aku. Tetapi aku perlukan sedikit masa untuk berfikir. Boleh? Buat masa ini, aku perlukan masa untuk bersendirian. Aku harap sangat kau faham" jelas aku. Daripada tadi Benji tak berkelip mata memandang aku.

          "Sampai bila aku kena tunggu?" soal Benji.

          "Sampai aku bersedia" jawab aku ringkas.

          "Okey...." balas Benji dengan suara yang perlahan sambil menundukkan kepalanya.

          "Tapi kau kena janji kau tak akan menghilangkan diri kau daripada aku dah? Aku janji aku pun tak akan menghilangkan diri aku daripada kau dah. Dan aku janji aku akan tunggu sampai kau bersedia" ujar Benji. Aku hanya menganggukkan kepala aku tanda aku berjanji.

          Selepas siap mencuci dan membalut luka di tangan Benji itu, kami berdua makan malam bersama di rumah aku. Tetapi kami tak bercakap banyak pun malam itu. Aku hanya masak maggi goreng saja untuk aku dan Benji. Itu saja yang mudah dan cepat untuk disediakan. Aku tengok Benji nampak berselera saja makan maggi goreng yang aku masak itu. Maksudnya sedap lah maggi goreng aku. Aku hanya mampu memuji masakan aku sendiri di dalam hati aku.

          Sejak daripada itu, Benji tak datang lagi ke rumah aku. Dia memang betul-betul menunaikan janjinya kali ini. Tiada lagi hadiah ataupun bunga yang dihantarkannya ke rumah aku. Entah mengapa tiba-tiba aku merasa sunyi pula. Selama ini, aku ingatkan aku rasa rimas dengan kelakuan Benji itu. Tetapi sekarang barulah aku sedar yang sebenarnya dalam diam aku suka Benji datang ke rumah aku semata-mata nak berikan aku hadiah dan bunga.

         Semua hadiah yang sering Benji berikan kepada aku kebanyakannya adalah buku novel daripada penulis kegemaran aku sejak daripada dulu. Kadang-kadang dia juga hadiahkan aku mainan yang aku pernah bagitahunya dulu aku teringin sangat nak main tetapi aku tak mampu nak beli dulu. Sejujurnya, aku rasa terharu sebab Benji masih lagi ingat semua kegemaran dan keinginan aku yang aku pernah memberitahunya dulu. Aku ingatkan dia sudahpun melupakan segalanya pasal aku.

          Aku susun elok semua hadiah yang diberikan oleh Benji itu di almari rumah aku. Semua bunga yang sudah mula layu pula aku bingkaikan di dalam bingkai gambar dan aku gantungkan di dinding rumah aku. Tipulah kalau aku cakap aku tak sayang semua hadiah dan bunga yang diberikan oleh Benji itu. Aku tahu aku hanya ego saja nak mengaku yang aku suka semua hadiah dan bunga daripada Benji itu. Mungkin sebab aku masih lagi rasa sedih dan terkilan dengan semua yang berlaku.

          Walaupun aku sudah tahu cerita sebenar yang berlaku dan mengapa pada mulanya Benji cuba menjauhkan dirinya daripada aku, tetapi aku hanyalah seorang manusia yang hatinya terluka dan susah untuk sembuh. Mana mungkin hati aku yang tersakiti selama lima tahun lebih boleh terubat semula hanya dalam sekelip mata saja. Tetapi aku percaya masa boleh menyembuhkan sedikit luka di hati aku ini. Mungkin masa tidak mampu untuk menyembuhkan sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya masa boleh membuatkan aku mula terbiasa dengan kesakitan luka di hati aku ini.

          Bagi aku, memang betul masa boleh mengubati luka. Tetapi bukan semua luka boleh diubati dengan masa. Ada luka yang walaupun berapa lama masa yang kita ambil, luka itu tak akan pernah sembuh. Tetapi masa boleh membuat kita mula menerima dan terbiasa dengan luka tersebut. Sebab luka yang tak akan pernah sembuh itu adalah pengajaran sepanjang hayat untuk kita. Supaya setiap kali kita terasa sakit dengan luka itu, kita akan ingat pengajaran itu. Mungkin itulah hikmah disebaliknya.

          Beberapa hari selepas itu, aku mula fokus dengan penulisan novel aku semula. Aku mula sibuk menyiapkan novel baru aku. Aku perlu menyiapkan novel baru aku sebelum hujung tahun ini. Disebabkan itu, aku terlupa sekejap pasal janji aku dengan Benji itu. Aku rasa dia pun sedang sibuk dengan lukisan-lukisannya. Encik Shuib pernah memberitahu aku yang Benji akan mengadakan pameran untuk koleksi lukisan terbarunya di sebuah galeri yang sangat terkenal di tengah bandar pada hujung tahun ini.

          Sejak daripada hari yang aku berjumpa dengan Encik Shuib itu, kami berdua bertukar nombor telefon untuk menghubungi sesama sendiri. Encik Shuib juga ada memberikan nombor telefon Benji kepada aku tetapi aku tak pernah menghubungi dia sekalipun. Aku hanya menyimpan saja nombor telefonnya di dalam telefon bimbit aku.

          Sejujurnya, aku rasa sangat teruja apabila mendapat tahu berita tentang pameran koleksi lukisan Benji itu. Tetapi jauh di dalam sudut hati aku, aku rasa sedikit sedih dan kecewa sebab Benji tak pernah memberitahu aku pasal berita itu. Tetapi aku baru teringat macam mana dia nak bagitahu aku kalau aku yang meminta masa untuk bersendirian. Aku pun terpaksa menelan keegoan diri aku sendiri. Sekarang aku baru sedar yang fikiran dan perasaan aku selama ini sangatlah merumitkan. Aku pun tak faham dengan diri aku sendiri.

          Pada masa aku sedang sibuk menyiapkan novel baru aku itu, aku juga mengambil masa untuk mendalami diri aku sendiri. Aku cuba memahami fikiran dan perasaan yang sedang aku alami sekarang ini. Aku cuba untuk berkomunikasi dengan diri aku sendiri. Apa sebenarnya yang aku nak daripada Benji. Dan apa sebenarnya yang aku patut buat untuk memperbaiki hubungan kami berdua ini.

          Aku baru sedar yang aku ada masalah dengan diri aku sendiri selama ini. Sebenarnya bukan aku marahkan sangat dengan Benji. Tetapi aku lebih marahkan diri aku sendiri. Aku masih lagi menyalahkan diri aku sendiri atas punca kebakaran yang berlaku di kediaman Dato' Bakri dulu. Walaupun aku tahu semuanya bukan salah aku, tetapi aku rasa aku yang menyebabkan Benji terhempap dengan batu bata bangunan utama yang terjatuh disebabkan kebakaran itu. Sehinggakan Benji cedera parah dan koma. Aku menyalahkan diri aku, kalau lah aku tak pergi mencari buku conteng penulisan aku di loteng pada waktu itu, mungkin aku dan Benji sempat saja untuk melarikan dan menyelamatkan diri. Sampai sekarang, aku masih lagi tak boleh maafkan diri aku sendiri.

          Sekarang ini, aku sudah tahu siapa yang aku perlu maafkan dulu untuk menyelamatkan hubungan aku dengan Benji itu. Aku patut memaafkan kesilapan diri aku dulu. Macam mana aku nak memaafkan Benji sekiranya aku tak boleh memaafkan diri aku sendiri. Aku baru sedar yang aku berlaku kejam dengan diri aku sendiri selama ini. Patutlah aku tak boleh melepaskan dan melupakan kisah lalu. Perlahan-lahan aku cuba memaafkan kesilapan lampau aku. Aku cuba untuk mengalihkan fikiran aku daripada kehidupan aku yang dulu dan mula fokus dengan kehidupan aku yang sekarang. Aku cuba untuk melupakan kisah lalu. Sangat susah, tetapi aku tetap terus mencuba.

Benji (BL Malay)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang