Celaru

9 3 0
                                        

          Apabila lebam di badan aku telah surut, aku mula bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran makanan. Aku tahu aku tak boleh duduk lama dengan Pak Ali dan Pak Ajis di rumah kontena mereka. Jadi, aku cuba mengumpul duit untuk mencari bilik sewa. Pada mulanya, Pak Ali dan Pak Ajis risau untuk melepaskan aku tinggal sendirian di tempat baru. Tetapi selepas aku memujuk dan berjanji untuk sering pulang ke rumah kontena mereka pada hari aku bercuti, barulah mereka berdua mula melepaskan aku pergi.

          Sejujurnya, aku tak sangka untuk menjadi seorang dewasa itu adalah suatu perkara yang sangat mencabar. Apatah lagi bila hidup di tengah bandar. Adakalanya aku terasa sesak juga sampaikan tak mampu nak beli makanan. Terutamanya di tengah bulan. Aku rasa kadang-kadang kenaikan harga barang dengan bayaran gaji yang diberikan seperti tak masuk akal. Aku tak boleh bayang macam mana mereka yang sudahpun mempunyai keluarga untuk melangsungkan hidup di saat ekonomi genting ini. Aku yang bujang ni pun sudah rasa separuh mati nak teruskan hidup. Apatah lagi mereka yang berkeluarga.

          Walaupun begitu, aku cuba juga untuk mengikat perut aku supaya aku boleh mula menyimpan sedikit duit. Aku tak cukup makan pun tak apa. Asalkan aku boleh beli banyak buku novel untuk dibacakan kepada Benji. Aku pun nak mula menulis semula. Aku nak mengasah semula bakat menulis aku yang sudah lama berkarat itu. Aku rasa sudah lama aku tak menulis novel. Aku jadi rindu pula nak menulis lagi. Jadi, aku pun membeli buku-buku conteng untuk aku mula menulis semula.

          Pada hari aku cuti, aku keluar tengah hari untuk pergi melawat Benji di hospital. Seperti biasa, aku akan bawa sekali novel misteri dan siasatan kegemaran Benji yang aku baru beli beberapa hari lepas. Aku sudah tak sabar lagi nak bacakan novel itu kepada Benji. Sudah lima hari aku tak melihat muka Benji disebabkan aku sibuk sangat dengan kerja. Sekejap aku berlari, sekejap aku berjalan laju. Entah mengapa aku rasa jauh pula perjalanan nak ke hospital hari ini. Mungkin sebab rindu yang membuak-buak di hati aku ini agaknya.

         Apabila aku sampai saja di hospital, aku pelik melihat tiada lagi dua orang pengawal yang selalu berdiri di depan pintu bilik wad Benji itu. Entah mengapa aku rasa tak sedap hati pula. Cepat-cepat aku berlari lalu membuka pintu bilik wad itu. Hati aku mula berkecai apabila aku memandang katil Benji sudah kosong. Aku berlari ke kaunter pertanyaan untuk menanyakan ke mana Benji pergi. Tetapi pekerja di kaunter itu mengatakan Benji sudahpun keluar daripada hospital itu minggu lepas.

          Aku terkejut mendengar penjelasan pekerja itu. Sebab minggu lepas baru saja aku datang melawat Benji di hospital. Dan Benji masih lagi berada di dalam keadaan koma. Encik Shuib pernah berjanji dengan aku yang dia akan memberitahu aku sekiranya Benji sudah mula sedarkan diri. Tetapi aku tak dengar berita apa-apa pun daripada Encik Shuib selama seminggu itu. Aku berlari keluar daripada hospital itu. Aku mula menunggu bas untuk ke kediaman Dato' Bakri. Setahu aku Encik Shuib masih lagi meninggalkan barang-barangnya di situ.

         Namun, apabila aku sampai saja di kediaman itu, tiada lagi barang-barang Encik Shuib di dalam bilik pekerjanya. Aku berasa sedih dan kecewa. Aku sudah buntu nak cari Benji di mana lagi. Fikiran aku jadi tak keruan. Aku seperti mahu gila. Aku tak pernah rasa celaru sebegitu. Aku duduk seketika di luar kediaman itu untuk cuba menenangkan diri aku. Aku berfikir mungkin aku patut pergi ke rumah kontena Pak Ali dan Pak Ajis untuk mendapatkan nasihat mereka berdua.

          Apabila aku sampai saja di rumah kontena Pak Ali dan Pak Ajis, aku tak boleh berhenti menangis selepas memandang muka mereka berdua. Pak Ali dan Pak Ajis terkejut melihat aku menangis tiba-tiba. Mereka berdua cuba memujuk aku dan bertanyakan apa sebenarnya yang sudah berlaku. Dengan tangisan yang teresak-esak, aku mula menceritakan semuanya kepada mereka yang aku tak dapat mencari Benji di mana-mana. Mereka berdua pun terkejut mendengar cerita aku.

         Selepas Pak Ali dan Pak Ajis memujuk aku sehingga aku berhenti menangis, mereka berdua memberitahu aku yang mungkin Benji sudahpun dibawa pulang ke rumah utama Dato' Bakri dan Datin Soraya. Aku sedikit terkejut mendengar apa yang keluar daripada mulut mereka berdua itu. Tetapi boleh jadi juga apa yang Pak Ali dan Pak Ajis cakapkan itu. Namun, setahu aku tiada siapa yang tahu di mana terletaknya rumah utama Dato' Bakri dan Datin Soraya itu. Jadi, macam mana aku nak tahu dekat mana Benji sekarang ini? Aku mula buntu. Syarikat Dato' Bakri di mana pun aku tak tahu. Akhirnya, aku terpaksa berputus asa saja.

          Sejak daripada hari itu, aku masih lagi cuba mencari Benji di merata-rata tempat. Aku sering mengunjungi semula semua tempat yang aku dan Benji pernah pergi bersama-sama. Seperti galeri-galeri seni, aquaria, tempat-tempat yang ada pameran dinosaur ataupun kedai-kedai buku. Cuma rumah hantu saja yang aku tak berani nak masuk lagi. Mana tahu sekiranya dia juga datang melawat tempat-tempat itu. Tetapi sekalipun aku tak pernah ternampak kelibat Benji di mana-mana tempat tersebut. Aku berasa sedih dan kecewa.

          Aku juga sering datang ke kediaman Dato' Bakri itu. Manalah tahu sekiranya Benji ataupun Encik Shuib datang semula ke kediaman itu untuk mengambil apa-apa barang mereka. Tetapi sekalipun mereka berdua tak pernah jejakkan kaki lagi ke situ. Aku berasa sedih. Kadang-kadang aku sampai mimpi ngeri pasal Benji. Aku mula rasa tak keruan. Aku rasa tak lama lagi aku pun boleh jadi orang gila sekiranya tak dapat berjumpa dengan Benji. Pak Ali dan Pak Ajis pun risau melihat keadaan aku. Mereka berdua sering datang menjenguk aku di bilik sewa aku. Setiap kali mereka datang, aku mesti kelihatan pucat dan lesu. Macam mana Pak Ali dan Pak Ajis tak risaukan aku.

          Beberapa bulan selepas itu, aku mendapat berita yang perniagaan Dato' Bakri dan Datin Soraya telah jatuh muflis. Mereka berdua hilang semua duit dan harta mereka dalam sekelip mata saja. Aku pun tak tahu secara dalam tentang berita muflis Dato' Bakri dan Datin Soraya itu. Tetapi aku rasa semakin risau dengan keadaan Benji. Entah apalah yang sedang terjadi kepadanya sekarang ini. Aku tak tahu sama ada dia sudahpun sedarkan dirinya daripada koma. Aku teringat semula kata-kata Pak Ali dan Pak Ajis. Macam mana kalau memang betul Dato' Bakri dan Datin Soraya yang bawa Benji pulang ke rumah utama mereka semula?

          Namun, bila difikirkan balik, Dato' Bakri dan Datin Soraya tak pernah kesah pun pasal keadaan Benji selama ini. Mengapa tiba-tiba mereka berdua nak bawa Benji pulang semula ke rumah utama mereka pula? Aku terasa curiga dengan semua yang berlaku sekarang ini. Entah mengapa aku terfikir macam mana kalau Benji yang cuba melarikan dirinya daripada aku? Macam mana dulu dia menjauhkan dirinya daripada aku sebab tak nak aku diapa-apakan oleh Tuan Brian.

          Tiba-tiba aku rasa marah dan terkilan pula dengan Benji. Dia sudahpun berjanji nak berbincang dulu dengan aku kalau dia nak buat apa-apa selepas kejadian itu. Tetapi janjinya itu hanyalah kata-kata kosongnya saja. Kalau memang benarlah Benji sedang cuba melarikan dirinya daripada aku sekarang ini, aku tak boleh lagi nak memaafkannya. Sebab aku betul-betul rasa terkilan dan kecewa kali ini. Sampai hati Benji sanggup buat aku seperti orang gila mencari-carinya selama ini.

          Tak lama selepas itu, aku mendapat berita pula pasal Tuan Brian. Dia ditangkap dan dipenjarakan akibat plagiarism dan beberapa kes jenayah lagi. Akhirnya, Tuhan membalas semula semua kekejian Tuan Brian yang telah dia lakukan selama ini. Aku masih lagi marah dengan apa yang dia buat dekat aku dan Benji dulu. Kalau aku dan Benji tidak sempat diselamatkan semasa kejadian kebakaran yang dia lakukan hari itu, Tuan Brian sudah boleh dikatakan seorang pembunuh!

          Walaupun semua orang yang sepatutnya mendapat balasan sudahpun menerima balasan mereka, tetapi hati aku masih lagi rasa sedih. Aku tahu aku sedang menjadi seorang manusia yang tamak. Tetapi aku teringin sangat nak berjumpa dengan Benji semula. Mungkin aku tak boleh maafkan dia lagi sebab dia sanggup membuat aku rasa celaru selama ini. Tetapi sekurang-kurangnya hati aku akan rasa tenang semula sekiranya aku dapat melihat Benji sihat dan ceria seperti dulu. Aku berharap suatu hari nanti aku boleh melihat Benji lagi walaupun hanya daripada jauh saja. 

Benji (BL Malay)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang