BAB 1

9.2K 117 4
                                    

SEBAIK sahaja meletakkan gagang telefon rumah yang berwarna biru tua itu, Nurin Aira terus melabuhkan punggungnya di atas sofa. Niatnya untuk ke dapur, membancuh air Milo hilang sebaik sahaja menjawab panggilan itu.

Keadaan rumah teres dua tingkat yang agak bising dengan bunyi televisyen dan radio yang terpasang langsung tidak menjejaskan tumpuan Nurin Aira yang masih berada di dalam dunianya. Panggilan yang tidak diduga olehnya itu menyebabkan pelbagai persoalan muncul dalam benak. Soalan yang tidak mampu difikirkan apa jawapannya.

"Kenapa dengan kau ni? Muram aje. Tadi okey pula?" tanya Suraya. Pelik dengan perangai Nurin Aira yang tiba-tiba berubah menjadi senyap. Matanya masih lagi melekat pada skrin komputer riba jenama Acer di depannya.

"Tak ada apa-apalah," jawab Nurin Aira yang malas melayan pertanyaan Suraya. Dia tahu yang Suraya saja aje tanya soalan itu. Suraya lebih memberi tumpuan pada komputer ribanya. Entah apa yang dibuat oleh gadis itu, dia sendiri pun tak tahu. Biar ajelah. Malas nak melayan.

Kak Nora? Apa dia nak? bisik hatinya. Panggilan daripada kakak angkatnya sebentar tadi benar-benar mengundang pelbagai soalan dalam fikirannya. Tak senang duduk dibuatnya. Terdengar suara kakak angkatnya macam cemas aje. Ada masalah ke? Isy, nak tercabut kepala aku duk pikir pasal Kak Nora, bebelnya dalam hati.

Nora. Sudah lama nama itu tidak didengarnya. Sebaik sahaja kakak angkatnya mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur, hubungan Nurin Aira dan Kak Nora menjadi semakin renggang. Kadang-kadang ada juga Nurin Aira berhubung dengan Kak Nora di Facebook. Namun mereka hanya sempat berbual kosong dan bertanya khabar sahaja.

"Hah, kau nak ke mana?" Hairan Suraya apabila melihat Nurin Aira mula berdiri. Tadi cakap nak buat air. Ni air tak siap lagi, dah cabut lari. Bukan perangai Nurin Aira tu.

"Nak tidur. Selamat malam." Pendek jawapan Nurin Aira.

"Nu..." panggil Suraya. Tetapi terlambat apabila bayangan Nurin Aira sudah hilang dari pandangan.
"Hesy... Dia ni. Awal lagi ni kalau nak tidur," rungut Suraya lalu menutup radio dan televisyen yang terpasang. Tidak ada sesiapa yang dengar dan tengok. Membazir aje. Dia sendiri duk melayan Facebook di komputer ribanya. Jam yang baru menunjukkan angka sembilan empat puluh lima malam itu dipandang sekilas olehnya.
Awal lagi, detik hati Suraya lalu terus leka melayan laman sosial itu.

NURIN AIRA hanya memandang kosong kipas yang berputar laju itu. Fikirannya berserabut. Alasan untuk tidur yang diberikan kepada Suraya tadi itu hanyalah alasan semata-mata. Matanya belum mengantuk. Macam mana nak tidur kalau asyik teringat masalah yang dihadapi? Satu per satu masalah muncul dalam hidupnya. Masalah belajar, keluarga dan yang terbaru masalah yang akan diberikan oleh Nora. Entah apa masalahnya, dia sendiri tidak tahu. Pening kepalanya. Fikirannya kembali teringat pada perbualan telefon dengan Kak Nora sebentar tadi...

"Kenapa kak, ada masalah ke?" tanya Nurin Aira sebaik menjawab panggilan daripada kakak angkatnya. Pelik juga. Selalunya dia yang akan menelefon kakak angkatnya. Ini terbalik pula.

"Nurin... Nurin kat mana?" Kakak angkatnya menjawab. Soalan dibalas soalan.
"Kat rumahlah."

"Oh... Akak nak minta tolong dengan Nurin ni. Perkara ini antara hidup dan mati. Akak tak tahu nak harapkan siapa lagi. Hanya Nurin aje harapan akak." Suara Nora kedengaran cemas sekali.
Nurin Aira tergamam. Hidup dan mati? Bulu romanya mula berdiri tegak.

"Nurin... Nurin," panggil Nora apabila Nurin Aira tidak memberi apa-apa tindak balas. Hanya kedengaran nafas gadis itu dalam talian.

"Ya... Ya... Nurin dengar. Tolong apa, kak?" soal Nurin Aira yang hampir terleka. Bibir bawahnya digigit perlahan. Berdebar-debar dia mahu tahu apa pertolongan kakak angkatnya.

KERANA DIA MANUSIA BIASAWhere stories live. Discover now