Assalam...sorry sangat lama(lama ke? hehe) tak update kat wattpad.Saya on9 guna fon itu yang payah.Pada yang baru follow saya tq sooo muchhh ...
Harap semua enjoy ya...
Okey,saya cerita sikit apa yang ada dalam bab 3 ni.Bab 3 Nurin Aira masih dalam dilema sama ada nak jaga atau tidak si comel Alia tu.Tambah2 mereka masih belajar,kan? Macam pelik dengar budak U,kena jaga baby kan? Tapi itulah keistimewaan KDMB..haha..Novel lain mana ada cerita budak U kena jaga baby..hehe...
Nurin Aira pun macam tak percaya dia kena jaga Alia sampaikan terpaksa hubungi mak dia nak minta pendapat..Mak dia setuju ke tak?? (Siapa yg baca tahulah,kan?) tapi kalau tak baca lagi pun still boleh agak apa keputusan mak dia,kan? Kak Nora tu pernah selamatkan nyawa Nurin Aira(baca bab 2).Okey tak nak cerita banyak..Selamat membaca ya..Tq soo much.....BAB 3
LANGKAH diatur semakin laju. Apa yang ada di dalam kepalanya, hanya ingin cepat sampai ke perhentian bas. Nasib baik dia memakai sandal, dapat memudahkannya berjalan dengan laju.
Setiap seminit, pasti matanya akan melihat jam di tangan. Jam jenama Guess yang dihadiahkan oleh pihak sekolah kerana dia berjaya menjadi tokoh nilam semasa di tingkatan empat.
"Mana Su ni? Tadi cakap on the way... Tapi tak sampai-sampai pun lagi." Nurin Aira bercakap sendirian. Dia tak kesah orang cakap dia gila sekalipun.
Serta-merta, matanya tertancap pada sebuah kereta Myvi putih milik Suraya yang sedang menuju ke arahnya. Telahannya semakin tepat apabila matanya melihat nombor plat kereta Suraya. Dari jauh dia melihat, Suraya duduk di tempat duduk penumpang manakala Najwa yang memandu kereta. Najwa??? Minah tu bawa kereta macam pelesit. Lampu merah pun dilanggarnya. Cari nahas betul.
Semua mata tertumpu ke arah kereta Myvi putih milik Suraya. Nurin Aira malu. Terasa ingin sahaja mukanya diletakkan di dalam beg yang dibawanya. Cepat-cepat dia menuju ke arah kereta. Ada ke patut, Najwa membrek kereta dengan begitu kuat sehingga kereta berbunyi akibat tayar bergesel dengan jalan? Semua manusia di situ terus menumpukan perhatian ke arah kereta Myvi putih. Hesy.. Tak pasal-pasal mereka buat drama kat sini.
Nurin Aira hanya mampu tersengih. Pantas dia menuju ke tempat pemandu dengan selamba bagi menutup malu.
"Su... Kau turun," pinta Nurin Aira tegas.
"Kenapa? Eh, cepatlah! Dah lambat ni."
"Haah. Apalagi, Nurin? Cepatlah," panggil Najwa sambil tangannya mengetuk-ngetuk stereng kereta.
"Najwa, kau turunlah. Biar Su aje yang bawa. Kalau kau yang bawa kereta, nanti orang ingat kereta ini tak ada brek pula. Laju sangat." Sempat mulut Nurin Aira menyindir Najwa.
Wajah Najwa masam. Sempat lagi dia sindir aku, omel hatinya.
"Haah... Tadi ada kereta peronda polis hon kita orang. Laju sangat kau bawa, Najwa. Kau turunlah, biar aku bawa," suruh Suraya sambil mencubit bahu Najwa. Teringat dia pada peristiwa sebentar tadi, kereta yang dipandu oleh Najwa dihon oleh kereta peronda polis. Tapi, apa yang memeranjatkan dirinya, apabila dengan selamba sahaja Najwa hon balik kereta polis tadi. Katanya, buat-buat kenal. Najwa... Najwa.
Alia yang berada di pangkuan Suraya diserahkan kepada Nurin Aira. Najwa mengambil tempat duduk penumpang manakala Nurin Aira berada di tempat duduk belakang sambil memangku Alia. Suraya menjadi pemandu.
Nurin Aira cuba menenangkan Alia yang menangis. Merah sekali wajah anak itu. Panggilan daripada Najwa sebentar tadi begitu memeranjatkan dirinya. Alia deman? Tak sampai seminggu Alia ditinggalkan oleh ibunya, terus demam. Kesian Alia.
Rindu kepada ibunya barangkali. Ketika ini mereka bertiga sedang menuju ke klinik. Nurin Aira sanggup ponteng kelas semata-mata ingin membawa Alia ke klinik.SEBAIK sampai di klinik, mereka bertiga terus berlari masuk. Najwa ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar Alia. Mereka bernasib baik kerana tidak ramai pesakit ketika itu. Hanya seorang dua. Tidak sempat kerusi yang diduduki mereka bertiga panas, nama Alia terus dipanggil. Mereka bertiga terus masuk ke dalam bilik doktor.
"Haah... Anak awak demam ni. Badannya panas," beritahu doktor yang memakai tanda nama Johari itu.
"Doktor, kenapa Alia tak mahu minum susu? Semalam saya bagi dia minum susu... Tak sampai beberapa minit susu tu keluar balik. Macam mana, ya?" tanya Najwa.
"Susu formula apa yang sesuai untuk bayi, doktor?" Tak sempat Dr. Johari menjawab, Suraya mula menyampuk.
"Susu formula?"
"Haah," jawab mereka bertiga. Ketiga-tiga mereka memandang tepat ke dalam anak mata Dr. Johari.
Dr. Johari terpinga-pinga. Malu pun ada apabila wajahnya menjadi tumpuan.
Suraya, Najwa dan Nurin Aira terkebil-kebil.
"Ni anak siapa?" tanya Dr. Johari sambil matanya memandang mereka bertiga. Muda-muda dah ada anak.
Mereka bertiga diam.
"Anak kakak saya." Nurin Aira menjawab jujur.
"Oh. Mungkin perut Alia ni tak sesuai minum susu formula. Susu ibu paling terbaik. Alia pun baru sebulan lebih. Pada usia macam ni, susu ibu lebih penting," nasihat doktor muda itu.
"Oh..." Mereka menjawab serentak.
Nurin Aira hanya diam. Suraya mengangkat bahu manakala Najwa hanya menggeleng. Masalah besar ni.
YOU ARE READING
KERANA DIA MANUSIA BIASA
RomanceAKAN DATANG DI SLOT SAMARINDA TV 3. Lakonan Emma Maembong & Shukri Yahaya🌷 "Kesian dengan orang yang kena tipu dengan kau.Tapi,paling kesian akulah.Sebab aku yang kena hidup dengan perempuan penipu macam kau ni.Kau anak kau sama je." -Tengku Shamil...