[ Media ]
Davika dalam persalinan kain selendang sarung dan kemban pha sabai[ Terjemahan ]
mae emak
phaw ayah
nong adik[ Sebutan ]
STiM aes-tee-yaem
$TIM dollar-tim* * *
Hari ini, kali pertama aku akan jejakkan kaki keluar dari Thailand setelah 20 tahun hidupku terperangkap di sini.
Pagi itu, setelah membeli sarapan dan 3 pasang kain sarung bersama kemban pha sabai, aku masih punya baki $TIM 87. Aku ikat sehelai selendang menjadi beg pakaian dan memasukkan bekalan sebungkus roti dan baju ke dalamnya. Tiket keretapi bawah tanah dari terminal Thailand ke Singapura berharga $TIM 50 dan akan transit di metropolis Kuala Lumpur, Malaysia.
Sepanjang 5 jam lebih perjalanan ke Kuala Lumpur, aku hanya tidur di kerusiku. Lagipun, tiada apa untuk aku lihat di luar tingkap— hanya kegelapan yang mengiringi perjalananku. Lantaran terlalu keletihan, cepat saja aku terlelap.
Setelah tiba di transit Kuala Lumpur, aku perlu ke Litar Selatan di mana terminal terakhirnya ialah Singapura. Jangkaan perjalanan ialah 4 jam 40 minit. Oleh sebab makanan di dalam gerabak lebih mahal, aku singgah di gerai makanan ringan dalam pusat transit keretapi bawah tanah Kuala Lumpur tersebut untuk mengalas perut.
Aku agak lapar, tapi aku perlu berjimat. Dengan baki $TIM 37 dalam tangan, aku harus bijak berbelanja. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk makan berat sikit agar boleh bertahan hingga esok. Dengan baki $TIM 30, aku meneruskan perjalanan.
Singapura, satu lagi kota metropolis yang terang benderang walaupun langit sudah berjam menggelap. Aku harus cari tempat untuk berehat malam ini tapi di mana?
Aku buka langkah tanpa arah tujuan. Entah ke mana kakiku menapak, aku ikutkan saja. Hinggalah aku tiba di satu bangunan yang kelihatan seperti sebuah rumah ibadat.
Sejak STiM mengambil alih Singapura, Thailand, Indonesia dan Malaysia, keempat-empat negara yang asalnya berbeza tampuk pemerintahan ini telah digabungkan menjadi sebuah negara yang lebih besar bersama pengaruh kuasa yang lebih hebat. Sayangnya, keperluan beragama semakin diabaikan; kebolehan berbahasa Melayu di semua negeri pula yang lebih diutamakan.
Lihat saja aku dan kampung asalku. Kami tak mengamalkan sebarang agama; sekadar mengikut adat agar meminta restu daripada keturunan moyang terdahulu, dari masa ke semasa. Justeru, aku juga lahir dari keluarga yang tak punya pegangan agama. Di STiM, status agama kau sama ada ada atau tiada. Dan jika kau bertanda ada, tiada siapa kisah apa agama sekalipun yang kau anuti.
Aku perhatikan rekabentuk bangunan yang bersaiz sederhana itu. Berdasarkan ukiran di tingkap dan pintu, bersama lambang bulan dan bintang yang menghiasi puncak dom, aku yakin ini ialah masjid, rumah ibadat penganut Islam. Ada wakaf kecil di luar masjid tersebut, dan oleh sebab keletihan yang amat, aku menumpang berbaring di situ dan terus terlelap.
"Adik, kenapa tidur di sini?"
Aku buka mata, terus bangun terduduk. Ada seorang perempuan mungkin berusia awal 30-an berdiri di tepiku. Dia memakai satu selendang sarung di kepala berwarna putih. Aku mengesat mata dan memberi senyuman kecil.
"Saya tumpang tidur, kakak. Saya bukan orang sini." Aku menjawab perlahan.
"Adik dari Thailand, ya?" Kakak itu bertanya ramah dan lambat-lambat, aku mengangguk, lantas dia menambah, "Patutlah. Kakak teka pun daripada baju yang adik pakai ni, kan pakaian tradisi orang Siam."
YOU ARE READING
PREVIU || Davika
RomanceThis is a preview version. Complete version should be available for purchase (while stocks last). Please read carefully the first part of this novel. Thank you! ◈◈◈ Aku Davika. Dan dunia kini jauh berbeza. Empat negara telah bergabung. Tiga bahasa m...