Di dalam sebuah pulau terpencil di tengah-tengah lautan Asia Pasifik, tinggal sebuah perkampungan yang mana penduduknya hidup dengan aman dan damai. Sebuah pulau yang sangat kaya dengan hasil bumi. Tanahnya subur dengan tanam-tanaman hasil daripada titik peluh penduduk yang sentiasa berkerja keras untuk memajukan pulau yang selama ini belum pernah didiami oleh sesiapa. Penduduknya hidup harmoni penuh sejahtera. Mereka saling membantu antara satu sama lain. Hidup mereka sentiasa dihiasi gelak tawa. Jika ada di antara mereka yang hidup susah, mereka akan berganding bahu menghulurkan tangan demi membantu mereka yang susah. Namun, pada suatu hari...
"Hei, penduduk kampung! Cepat lari selamatkan diri! Lanun datang! Lanun dah datang!!!" tempik salah seorang penduduk kampung sambil berlari.
"Lanun?" suara ramai saling menyoal antara satu sama lain dengan wajah yang mula bertukar riak cemas.
"Betul ke apa yang kamu cakap ni, Elmi?" tanya seorang lelaki yang agak berusia kepada seorang jejaka bernama Elmi yang sedang berlari melintasinya.
"Betul, Pak Ishak! Saya tak tipu! Saya nampak kapal lanun sedang menghampiri pulau ni tadi!" jawab Elmi bersungguh-sungguh meyakinkan Pak Ishak sambil tercungap-cungap mengambil oksigen.
Wajah orang tua itu berubah cemas. Melihat Elmi yang kembali ingin berlari, dia bertanya lagi, "kamu nak ke mana?"
"Saya nak pergi berjumpa dengan penghulu kampung, nak beritahu tentang perkara ni. Pak Ishak tolong maklumkan perkara ni kepada semua penduduk kampung supaya selamatkan diri. Kita dah tiada masa sebelum lanun-lanun tu sampai. Kita semua kena keluar dari pulau ni dengan segera. Pak Ishak, saya pergi dulu," kata Elmi lalu terus berlalu.
"Tok ketua! Tok ketua!" panggil Elmi dari jauh. Tok ketua yang sedang berehat di pegola di hadapan rumah berpaling. Elmi berhenti betul-betul di hadapan tok ketua. Dia tercungap-cungap di hadapan tok ketua.
"Ada apa ni, Elmi?" tanya tok ketua kehairanan.
"Tok... ketua... lanun... lanun... datang..." beritahu Elmi satu persatu dengan nafas yang tidak teratur akibat kepenatan dan kecemasan. Tercungap-cungap dia mengambil udara.
"Apa?!" tok ketua terperanjat. "Kamu biar betul, Elmi?" tanya tok ketua kurang percaya.
"Betul, tok! Sekarang ni penduduk kampung sedang kecoh. Mereka semua sedang panik, tok! Kita kena tinggalkan pulau ni dengan segera!" ujar Elmi. Serta-merta kepalanya disekeh tok ketua.
"Kamu jangan jadi bodoh, Elmi. Susah payah kita semua bangunkan kampung ni dengan tulang empat kerat kita, senang-senang saja kamu nak serahkannya kepada lanun-lanun celaka itu! Apa kamu sudah lupa? Kalau bukan kerana kita semua yang usahakan pulau ini yang sebelum ini terbiar, kamu fikir kamu boleh ke hidup senang-lenang, aman damai seperti sekarang? Dahulu, kita tiada kampung, tiada tempat berteduh. Kita orang nomad yang sering berpindah-randah. Tetapi kini, kita sudah ada tempat tinggal. Tanah yang sebelum ini terbiar, kita sama-sama usahakannya sehingga berjaya. Ini tanah kita! Tanah tumpahnya darah kita! Kita perlu melindungi dan menjaganya," tok ketua mula berceramah dengan nada penuh semangat.
Elmi menunduk sambil menggenggam buku lima. Badannya bergetar menahan perasaan. "Adakah... adakah tanah ini lebih penting daripada nyawa kita?!" Elmi bersuara kuat sambil mengangkat kepala memandang tok ketua.
Tok ketua terkedu. Kemudian, beliau menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Dalam diam, dia agak kecewa dengan anak muda sekarang yang tidak tahu menilai. "Elmi... Elmi... kalaulah kamu dapat melihat betapa penat dan lelahnya arwah ibu bapa kamu mengerjakan tanah ini, pasti kamu tidak akan berkata sedemikian," keluh tok ketua.
Giliran Elmi pula yang terkedu. Dia kembali menunduk memandang tanah. Arwah ibu bapanya meninggal ketika dia berusia lima tahun. Ayahnya meninggal di tengah-tengah lautan ketika sedang mencari rezeki. Beliau ditelan ombak yang bergelora, manakala ibunya pula meninggal akibat jatuh sakit. Mereka meninggal pada tahun yang sama. Sejak itu, Elmi tinggal bersendirian di rumah peninggalan ibu bapanya. Mujurlah penduduk kampung sangat baik hati. Merekalah yang membantunya selama ini.
"Elmi, kamu tahu tak bahawa tanah ini sangat berharga? Inilah harta yang terpenting bagi penduduk kampung termasuklah arwah ibu bapa kamu. Tahukah kamu bersyukur, Elmi? Dan mahukah kamu melihat hasil titik peluh arwah ibu bapa kamu dirampas orang? Sudahlah, Elmi. Jika kamu ingin melarikan diri, pergilah. Pergilah Elmi. Tiada sesiapa yang ingin menghalangmu. Tetapi ingatlah, walaupun kita kehilangan nyawa, biarlah kita mati bermaruah! Jangan kita jadi seorang pengecut, mengalah sebelum berjuang! Aku pergi dulu kerana ada nyawa yang perlu aku selamatkan," ucap tok ketua lalu berlari meninggalkan Elmi yang terkelu seribu bahasa.
Vote and comment please...
#Farisha_Haqiem✌
YOU ARE READING
The 7 Heroes
AksiKedatangan lanun-lanun durjana ke sebuah pulau terpencil banyak memberi kesengsaraan kepada penduduk pulau tersebut. Persinggahan 7 saudara di pulau itu adalah demi mengisi kekosongan perut. Namun, apabila melihat bendera penaklukan di pulau itu, ma...