Bab 2

2.5K 66 1
                                    

"APA nama kau?" Soalan diaju dengan wajah yang betul-betul tidak puas hati. Gadis yang masih menghadiahkan senyum itu dipandang atas bawah.

"Ika."

Ika? Lelaki yang agak tersentak itu segera mengawal air muka. Diam buat beberapa saat.

"Ika aje? Nama penuh? IC mana IC?"

Afham masih tepat memandang wajah gadis manis itu. Pelik benar dibuatnya bila melihat seorang gadis berada di dalam hutan seorang diri.

"Nak buat apa dengan IC saya, encik?"

"Nak tengoklah. Dari mana kau datang? Rakyat Malaysia ke pendatang haram?"

"Mestilah rakyat Malaysia. Ada ke patut cakap orang pendatang haram?" rungut gadis itu dengan mencebik.

"Zaman sekarang ni semua orang tak boleh dipercayai. Termasuklah kau sekali, faham?"

"Kalau saya ni tak boleh dipercayai, dah lama saya tinggalkan encik seorang diri dalam hutan malam semalam tau." Gadis itu juga tidak mahu mengalah.

"Eleh, ada aku suruh kau teman aku kat sini malam semalam? Yang kau tampar pipi aku tanpa kebenaran apasal? Pipi aku ni bayar zakat, kau tahu tak? Suka hati mak bapak kau aje, kan!" tempelak Afham tak semena-mena.

"Bayar zakat pipi ke kepala?"

Afham pandang kesal wajah di hadapan matanya itu. Banyak menjawab rupanya budak perempuan ni.

"Pipi duduknya di kepala. Itupun aku nak kena ajar ke?"

Sekali lagi gadis itu tayang cebik.

"Sudah! Sudah! Sekarang bagi tahu aku macam mana kau boleh ada kat tengah hutan ni? Perempuan pula tu duduk kat tengah hutan macam ni. Kau dari mana dan nak ke mana sebenarnya?"

Afham mula melangkah mencari arah sungai berdekatan. Dia sendiri tidak pasti di mana dia berada sekarang. Salah satu cara yang mudah cari sungai yang berdekatan. Talian telefon sudah tentu tak dapat digunakan kat dalam hutan belantara macam ni. Tak faham aku macam mana perempuan ni boleh ada kat sini? Entah-entah bukan manusia? Kalau bukan manusia, memang masak kau, Am!

"Saya sesat cari kayu api."

Langkah mati. Afham pandang sejenak wajah lembut di sisinya itu.

"Aku tanya elok-elok, kau jawablah elok-elok. Kau ingat aku percaya sangatlah kau sesat dalam hutan nak cari kayu api?"

"Betullah. Tak nak percaya, sudah!"

"Okey, cuba kau berterus-terang dengan aku. Ada lagi ke zaman sekarang orang pakai kayu api untuk masak?"

"Ada. Rumah saya pakai kayu api."

"Cepat tunjuk IC kau aku nak tengok kau duduk mana!" Sekali lagi Afham memberi arahan. Keras. Lagi banyak dia bertanya, lagi mengarut jawapan yang perempuan itu berikan.

Kelam-kabut gadis itu menyelongkar beg duitnya untuk mencari kad pengenalan diri. Dengan segera kad berwarna biru dihulurkan kepada pemuda itu. Afham terus menyambut lalu membelek kad pengenalan gadis yang agak misteri baginya itu. Ada kad pengenalan, bermakna dia bersama dengan seorang manusia. Alhamdulillah!

"Cinta Fiska." Mendatar nada lelaki itu menyebut nama penuh gadis di hadapan matanya itu.

"Ya, saya."

"Jom, aku hantar kau balik! Kau tinggal kat alamat ni, kan?" Kad pengenalan ditayang depan mata pemiliknya.

"Saya tak nak balik."

"Tak nak balik?! Aku dah agak dah. Cari kayu api konon. Kau lari dari rumah sebenarnya, kan?" Semakin aneh Afham dibuatnya dengan tingkah gadis yang baru ditemuinya itu.

Katakan Tidak Pada CintaWhere stories live. Discover now