USAI membayar harga makanan yang dipesan tadi, Fiska segera melangkah keluar dari ruang restoran. Bersyukurlah dapat makan mi goreng Mamak untuk hari ni. Nak memilih makanan sangat pun, dia sendiri kurang mahir dengan jalan di kawasan bandar itu. Kalau kat kampung, cakap aje nak makan apa. Semua kedai makan dia tahu apa yang istimewanya masakan mereka.
"Berhenti!!!"
Langkah mati serta-merta. Lengannya ditarik kasar tiba-tiba. Betapa terperanjatnya dia kala itu bila tubuhnya ditarik ke dalam pangkuan seorang lelaki. Biji mata terbeliak. Perut pula sudah kecut. Terasa sesak nafas bila memandang wajah pemuda yang sedang menggenggam kemas lengannya sekarang.
Dalam masa beberapa saat sahaja Fiska terduduk di atas jalan. Pemuda itu pula terus pasang langkah mengejar lelaki yang sedang memecut dengan motosikal di hadapan matanya itu. Dia hanya mampu terpinga-pinga sendirian. Apa yang dah berlaku?
"Cik tak apa-apa?"
Gadis itu segera kalih muka ke arah gerangan yang sedang bertanya. Lidah sudah pasti kelu. Tak tahu dia nak jawab apa walaupun dia tahu keadaannya memang tak ada apa-apapun sekarang.
"Jom, masuk kereta. Saya hantar cik pergi hospital," pelawa Darish dengan senyum. Pintu kereta di sebelah pemandu sudahpun dibukakan untuk Fiska.
"Eh, tak apalah! Saya okey aje cuma..." Biji mata dihalakan pula ke arah bayang pemuda yang masih berlari laju mengejar motosikal itu.
Alamak, handbag aku!
Sepantas kilas, Fiska menerobos ruang kereta Darish.
"Encik, tolong saya kejar motosikal kat depan sana tu. Cepat!!!"
Arahan diberi tanpa rasa segan silunya. Ah, apa nak jadi pun jadilah! Kurang ajar punya peragut! Berani kau ragut handbag aku! Darish hanya menurut arahan. Pedal minyak mula ditekan rapat. Baru sahaja kereta mulai bergerak laju, pemuda itu menekan pedal brek tiba-tiba. Kereta berhenti dan Fiska pandang Darish bagai nak telan lelaki itu hidup-hidup. Dia ni dah kenapa? Aku suruh kejar motor tu boleh pula berhenti tepi jalan ni.
Tak semena-mena seorang lelaki menerobos masuk ke dalam kereta itu pula. Buat kesekian kalinya, Fiska terperanjat. Ni bukan ke lelaki yang kejar peragut tu tadi?
"Rish, cepat Rish kejar dia! Laju lagi. Cepat! Dia masuk selekoh tu tadi." Giliran Afham pula memberi arahan. Sekali lagi Darish mengangguk. Arahan diterima!
"DAH settle dah ke, Am?"
Darish dan Fiska segera bingkas dari ruang menunggu bila terlihatkan kelibat sepupunya keluar dari dalam ofis di balai polis itu.
"Settle dah. Kau dah buat report ke belum? Ada barang yang hilang tak?" Biji mata dihalakan ke arah Fiska pula.
"Dah buat dah. Tak ada barang yang hilang. Alhamdulillah," balas gadis itu dengan senyum. Darish juga senyum kecil tanda lega bila semuanya sudah selamat.
"Baguslah kalau macam tu. Ramai betul anak muda kita yang nak jadi peragut sekarang ni. Baru 17 tahun aku tanya umur budak tu tadi. Mana dia belajar meragut pun entahlah. Sekolah tak pergi lepas tu pergi meragut. Cikgu tak ajar ke apa?" Bebelan Afham yang baru saja sampai di telinga Darish itu membuatkan pemuda yang bergelar cikgu itu terbuka pintu hati untuk membidas.
"Kau tak boleh nak salahkan cikgu seratus peratus. Ibu bapa juga kena mendidik anak-anak. Cikgu ada ramai anak murid kat sekolah tu. Takkan cikgu nak fokus kat seorang anak murid saja. Pendidikan yang utama diberikan adalah dari rumah. Betul tak, cik..." Berjela Darish membela kerjayanya. Biji mata dihalakan ke arah Fiska yang turut mengangguk tanda menyokong kata-kata Darish.
"Panggil Ika aje," tutur Fiska dengan senyum. Apa yang menarik dengan gadis ini adalah senyumannya. Murah dengan senyum. Manis. Tambah pula wajah yang lembut dan cantik. Cukup sempurna di mata sesiapa sahaja yang memandang.

YOU ARE READING
Katakan Tidak Pada Cinta
RomanceTajuk: Katakan Tidak Pada Cinta Penulis: Nurrul Shuada Muka Surat: 688 Terbitan: Ogos Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-32-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM 29.00 (Sabah & Sarawak)