SEPUCUK pistol digosok lembut agar berkilat warna hitamnya. Harta yang paling bernilai buat penjenayah yang digelar Roy itu. Pistol itu sudah banyak berjasa dalam hidupnya. Dia akan makan sesiapa sahaja yang mengganggu ketenteraman tuannya. Tak kira sama ada lelaki mahupun perempuan.
"Tembak saja, Am! Tembak lelaki tak guna ni. Jangan pedulikan saya." Rintihan sayu seorang gadis yang sedang menaruhkan nyawanya di dalam genggaman penjenayah.
"Ika, please... Jangan buat macam ni. Jangan nak berkorban tak tentu pasal. Roy! Kau lepaskan perempuan tu sekarang juga!!!" tengking Afham sekuat hati. Tak guna!
Sungguh dia tak sanggup melihat perempuan yang dicintainya itu dicengkam lehernya. Pistol juga sudah diacu ke kepala Inspektor Nurul Syahika. Menggigil Afham mengacukan pistolnya ke arah Roy pula.
"Wow! Dua orang anggota polis ni sedang bermain cinta rupanya. Tak sia-sialah aku buat tawanan polis wanita ni, ya? Kekasih kau rupanya, Inspektor Afham. Dah berapa lama kau orang bercinta ni?"
Roy meledak tawa besar. Puas hati bila melihat wajah resah inspektor yang sering mengganggu kerjanya selama ini. Dadah yang bernilai RM9 juta lesap sekelip mata angkara operasi pihak polis. Seronok sangat kacau barang-barang aku, kan? Hari ni biar aku balas dengan setimpal perbuatan kau orang semua tu.
Afham sudah tak keruan. Kalau dia mara setapak lagi dari situ maka nyawa Ika kemungkinan besar melayang begitu sahaja. Tetapi takkan dia nak jadi tugu negara menyaksikan Roy menyeksa kekasihnya itu? Ya Allah, bantulah aku! Selamatkan Ika!
"Am, awak tunggu apa lagi?! Tembaklah. Jangan fikir banyak. Tembak sekarang juga kalau awak lepaskan dia, lebih ramai lagi yang terkorban. Dengarlah cakap saya ni, Am!" rayu inspektor wanita itu lagi.
Air mata sudah berjurai membasahi pipi. Ika reda. Dia sanggup mengorbankan nyawanya asalkan lelaki syaitan itu tumpas. Biar dia seorang sahaja yang pergi demi menyelamatkan bangsa dan negara.
"Tak boleh, Ika. Awak kena selamat. Roy pun tak boleh mati sebab kita akan bawa dia ke muka pengadilan sama-sama. Saya janji, Ika. Kes ni akan selesai hari ni juga."
"Alahai, sweetnya kau orang ni! Tapi aku rasa kes ni takkan selesai hari ni kut. Sebab yang selesai cuma kekasih kau saja, Am. 1... 2... 3..." Panggg! Bunyi satu tembakan dilepaskan tanpa sebarang amaran.
Afham tergamam beberapa saat. Tersentak hebat dibuatnya bila melihat tubuh kekasihnya sudah terkulai layu di atas tanah. Sepantas kilat, Afham mengacukan pistolnya mencari kelibat Roy yang sudah pun melompat masuk ke dalam perut kereta. Berdas-das tembakan dilepaskan ke arah kereta yang sedang meluncur laju meninggalkan kawasan itu. Namun, penjenayah itu tetap dapat melarikan diri walaupun sudah habis peluru Afham menembak. Bodoh!
Bagaikan tiada udara lagi untuk lelaki itu bernafas bila melihat kepala kekasihnya itu sudah berlumuran darah. Bergetar satu tubuh bila kepala polis wanita itu diletakkan ke atas ribanya. Diusap lembut wajah yang sudah dijemput Ilahi itu. Inspektor Nurul Syahika, saya sayangkan awak. Sangat-sangat. Awak dengar kata-kata saya ni, kan?
Lamunan kisah lalu yang agak memberi kesan dalam membuatkan lelaki durjana yang masih membelai pistolnya itu senyum sinis sendiri. Mesti kau dah lapar kan, pistol? Dah lama kita tak makan orang, kan? Agak-agak selepas ni kau nak makan siapa pula? Adakah Inspektor Afham orangnya? Panggg! Picu pistolnya terus dilepaskan ke arah cermin di dalam ofis. Roy ketawa besar tak semena-mena.
"ASSALAMUALAIKUM, mak ucu..." Kata mati serta-merta bila terpandang kelibat seorang gadis di dalam rumah ibu saudaranya itu.
"Mak ucu oh mak u..." Begitu juga dengan Darish.
Langkah terhenti di muka pintu. Tergamam kedua-dua pemuda itu dibuatnya. Terkedip-kedip biji mata bila memandang Cinta Fiska yang sedang memberi senyuman manis berserta tangannya melambai lembut buat kedua-dua lelaki tampan itu. Terperanjat bukan main lagi mamat berdua ni. Macam tak pernah tengok muka aku pula selama ni.
YOU ARE READING
Katakan Tidak Pada Cinta
عاطفيةTajuk: Katakan Tidak Pada Cinta Penulis: Nurrul Shuada Muka Surat: 688 Terbitan: Ogos Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-32-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM 29.00 (Sabah & Sarawak)