PUNGGUNG dilabuhkan di sisi Darish Izuan. Peluh yang mencurah-curah membasahi muka segera diseka. Penat gila. Kalau tak turun dua kilo berat badan aku malam ni, memang sadislah. Siang tadi dahlah makan banyak. Mentang-mentang mak ucu yang belanja, pau selagi mampu. Bertuah punya anak saudara.
"Asyik main futsal aje. Apa kata kita tukar game pula sekali-sekala, Rish? Tenis ke, golf ke? Tapi, tak boleh. Golf tu permainan golongan orang lemah fikiran aje. G.O.L.F." Afham hambur tawa. Keseorangan melayan lawaknya yang kurang cerdik itu.
Darish masih diam. Tidak berkutik sedikitpun. Bebola mata masih tak lekang dari skrin telefon bimbitnya sejak dari awal tadi.
"Hoi, tadi beria-ia ajak aku main futsal malam ni! Alih-alih kau duduk bertenggek aje kat kerusi apa hal?" Botol air mineral dicapai. Sadis bila kata-katanya tadi seperti bercakap dengan angin sahaja.
"Aku nak mainlah ni, Am. Tapi kau mainlah dulu. Sekejap lagi aku masuk," balas Darish ada tidak. Skrin telefon bimbit masih lagi ditatap tanpa rasa bosan.
"Kau ni kenapa, Rish? WhatsApp dengan siapa sampai tak fokus apa yang aku cakap dekat kau ni?" Leher dipanjangkan untuk meninjau skrin yang sedang tertera di hadapan mata sepupunya itu.
"Mana ada WhatsApp siapa-siapa. Aku cuma tak tahu nak buat apa aje. Buntu."
Afham kerut dahi beberapa saat.
"Apa yang kau maksudkan dengan tak tahu nak buat apa tu, Rish?"
Keluhan kecil dibebaskan seketika.
"Kau rasa aku patut call ke tak payah call?"
"Call? Call siapa?"
"Jawab ajelah. Call ke tak payah?" Wajah Darish penuh dengan harapan sabar menunggu balasan dari sepupunya itu.
"Handphone kau pakai bil, kan?"
Darish angguk lambat-lambat. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.
"Call ajelah kalau macam tu. Dah tentu ada duit nak call."
Senyuman segera melebar hampir ke telinga. Jawapan yang diterima kala itu, betul-betul menggembirakan sang hati. Muncul satu kekuatan dalam diri tak semena-mena.
"Betul tu, Am! Aku memang patut call, kan? Buang masa betul. Sepatutnya aku call dari tadi lagi."
Sekali lagi Afham kerut dahi pandang wajah sepupunya yang seorang itu.
"Kau okey ke ni, Rish?"
"Okeylah. Kenapa?"
"Kalau okey, bagi tahu aku siapa yang kau takut sangat nak call tu?"
"Aku bukan takut. Aku segan." Darish sengih kecil. Sungguh dia memang segan. Tapi waktu minta nombor telefon tempoh hari, tak segan pula. Haih.
"Ni mesti perempuan, kan?" teka Afham yang juga sedang tunjuk sengihnya menampakkan sebaris gigi yang tersusun rapi.
Darish hanya senyum tidak membalas. Call ajelah. Manusia juga. Perempuan lagi tu. Bukannya hantu. Bunyi deringan telefon bimbit Afham tiba-tiba sekali lagi membantutkan niat Darish untuk menekan butang dail. Saspens aje. Aku dahlah berdebar nak call ni.
"Sorry, Rish. Aku jawab call sekejap." Afham segera menjawab panggilan yang diterima. Dia mencari tempat yang agak sunyi sedikit untuk bercakap.
Darish kembali memandang skrin telefon. Ah, call ajelah! Butang dail disentuh. Menunggu dengan penuh harapan panggilan dijawab.
"WA, kau kat mana sekarang?"
Resah suara dilontar. Kalau diikutkan, nak bercakap pun terasa perit sangat. Kenapalah dengan perut aku ni tiba-tiba? Sakit gila. Bahagian abdomen yang dicucuk-cucuk kesakitan tak mampu lagi ditahan. Ya Allah, aku merayu janganlah Kau ambil nyawaku sekarang! Aku belum jumpa dengan abang kandungku lagi.
YOU ARE READING
Katakan Tidak Pada Cinta
RomanceTajuk: Katakan Tidak Pada Cinta Penulis: Nurrul Shuada Muka Surat: 688 Terbitan: Ogos Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-32-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM 29.00 (Sabah & Sarawak)