PINTU bilik mesyuarat dikuak sedikit. Penuh hati-hati agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Gegendang telinga mula menangkap suara Inspektor Haffis yang sedang rancak memberi penerangan kepada anak-anak buahnya. Satu per satu perkataan cuba dihadam sebaiknya. Hati terlalu meronta-ronta untuk turut bersama-sama dalam pasukan itu.
"Sejak dari kes hari tu, orang-orang Roy lebih berhati-hati untuk mengedar di kawasan kampung itu, tuan. Apa yang kami perhatikan, anak-anak muda di kawasan itu pun sudah kurang melepak di tempat biasa mereka." Kedengaran salah seorang anggota menyuarakan laporannya.
"Hmmm, secara logiknya Roy sudah tentu akan arahkan orang-orang dia mengedar di tempat lain. Sebab kawasan lama sudah dihidu polis. Memang dia cari nahaslah kalau pengedar-pengedar dia masih aktif lagi di kawasan yang sama," balas Inspektor Haffis tenang.
"Apa-apa pun kami tetap akan ketatkan pengawasan di kawasan kampung itu, tuan. Walaupun kegiatan mereka sudah mulai berkurang tapi kami yakin masih ada saki-baki penagih yang tinggal masih perlukan bekalan dari orang-orang Roy."
"Betul tu. Teruskan pengawasan di persekitaran kawasan situ. Apa yang perlu kita fokuskan adalah makmal pemprosesan dadah mereka. Dapat saja peluang untuk serbu, Roy tumpas!"
"Bila difikirkan balik, waktu orang-orang Roy kepung saya dan Inspektor Afham tempoh hari, sepatutnya makmal mereka berada di sekitar situ sahaja, tuan." Giliran Faris bersuara.
Inspektor Haffis menggangguk kecil. Sabar menunggu Faris menyambung kata lagi.
"Waktu kami bertiga mengejar kereta mereka, memang confirm sangat orang-orang mereka yang lain sudah standby di kawasan hutan situ, tuan. Jadi, kemungkinan besar makmal pemprosesan dadah tu ada di kawasan situ sahaja."
"Masalahnya, kami dah geledah kawasan hutan situ. Tak ada satu petanda pun yang menunjukkan ada bangunan dalam hutan itu. Takkan dia orang buat makmal atas pokok pula, kan?" Anggota yang lain pula menyampuk.
"Sebulan lebih kami tak berganjak dari kawasan kampung tu. Kami dah perhati tindak-tanduk pengedar-pengedar di situ. Saya memang yakin, tuan. Yakin sangat seperti apa yang Inspektor Afham cakapkan. Makmal dadah Roy memang berada di dalam hutan itu." Faris tetap dengan pendapatnya. Tegas.
Keluhan berat dibebaskan sejenak. Dalam otak cuba mencerna sesuatu.
"Beginilah. Kita geledah sekali lagi kawasan hutan itu. Kalau tak jumpa juga, bermakna bukan di situlah makmalnya," balas Inspektor Haffis pula.
"Tapi tuan, kami dah cari setiap inci isi hutan tu. Memang tak jumpa langsung. Yang ada cuma pokok dan anak sungai."
"Kali ni kita bawa anjing polis." Arahan terakhir dari mulut Inspektor Haffis langsung tiada bantahan. Masing-masing akur dan menerima arahan seadanya.
Tombol pintu yang ditarik dari dalam membuatkan Afham tersentak. Tak tahu nak buat apabila bebola mata sudahpun selamat bertembung dengan bebola mata Inspektor Haffis. Dia hanya mampu berdehem kecil apabila melihat Haffis mengerut dahi sedikit memandang wajahnya kala itu.
"Tak sengaja dengar. Ingatkan tak ada orang guna bilik ni tadi." Tanpa sebarang soalan, Afham segera memberi jawapan.
Cepat-cepat pemuda yang berpangkat inspektor itu berlalu dari ruang itu sebelum anggota yang lain pula perasan akan kehadirannya di hadapan pintu bilik mesyuarat itu. Haffis hanya menggeleng perlahan dengan sengih sengetnya yang sudah tersemat di bibir. Am... Am...
"ASSALAMUALAIKUM, puan." Fiska pamer senyum manis buat majikan barunya itu.
"Waalaikumussalam. Ya, Ika. Masuk, masuk." Riak yang agak terperanjat bila biji mata memandang wajah lembut gadis yang sudah melangkah masuk ke dalam ofisnya.
YOU ARE READING
Katakan Tidak Pada Cinta
RomansaTajuk: Katakan Tidak Pada Cinta Penulis: Nurrul Shuada Muka Surat: 688 Terbitan: Ogos Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-32-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM 29.00 (Sabah & Sarawak)