Bab 14

1.4K 47 0
                                    

"PUAN FARIDAH cakap awak ialah orang terakhir yang pulang pada hari Nurul Atikah diculik, betul tak?" tanya Afham kepada Cik Yasmin yang juga merupakan guru tadika di prasekolah itu.

"Betul, tuan," balas wanita itu tenang.

"Habis tu, awak tak ada nampak apa-apa yang mencurigakan ke semasa menunggu budak-budak tu semua balik?"

"Tak ada pun, tuan. Waktu saya perhatikan budak-budak tu semua, kesemuanya penjaga mereka yang datang ambil. Tak ada pun orang yang tak dikenali."

"Awak langsung tak bergerak dari tempat yang awak tunggu tu ke? Ke awak ada ke mana-mana? Tandas ke?"

"Saya memang tunggu dekat gazebo tempat budak-budak tu selalu tunggu penjaga dia orang. Saya tak bergerak ke mana pun sampai kesemuanya dah selamat pulang."

"Awak betul-betul perhatikan budak-budak tu ke atau sambil bermain telefon bimbit?" sangkal pemuda itu tak semena-mena.

Guru tadika itu diam sekejap.

"Kalau saya tengok handphone sekejap pun takkanlah tak boleh?"

"Boleh tu boleh, cuma dari benda kecil macam inilah yang selalunya berlaku kecuaian tanpa kita sedari."

"Saya tahu. Tapi benda macam ni bukan kita tahu nak berlaku. Saya rasa saya tak cuai pun waktu jaga budak-budak tu. Mereka memang ada di sekitar saya saja. Tak ke mana pun."

"Macam mana pula dengan keadaan sekitar tadika ni? Ada yang mencurigakan tak hari tu?" Afham masih meneruskan soalan.

"Sekitar tadika? Maksud tuan macam mana?"

"Contohnya, kalau-kalau awak ada nampak kereta yang diparkir tepi jalan kat sekitar kawasan tadika pada hari kejadian tu. Ada nampak apa-apa seperti yang saya gambarkan tu?"

"Tak ada pun, tuan. Tapi hari tu saya ada rasa pelik juga sebenarnya."

"Pelik? Kenapa?" Berdebar pula menunggu wanita itu menyambung kata.

"Ada orang jual aiskrim tak jauh dari kawasan tadika ni. Sepanjang saya mengajar kat sini, saya tak pernah nampak pun orang jual aiskrim. Hari tu, pertama kali saya nampak. Saya fikir dia baru berniagalah kut," jelas Cik Yasmin satu per satu.

"Jual aiskrim? Dia jual macam mana?"

"Dia datang jual aiskrim dengan motosikal aje. Ala, yang ada orang jual aiskrim bawa peti aiskrim kat tepi motor tu."

Inspektor polis itu mengangguk perlahan. Tangannya seperti mencatat sesuatu di dalam buku hitam yang selalu dibawanya bersama.

"Ada budak-budak yang pergi beli aiskrim tu ke?"

"Tak ada pun. Budak-budak kesemuanya ada dengan saya waktu tu."

"Termasuk Nurul Atikah?"

"Ya, tuan. Nurul Atikah pun ada dengan saya waktu tu. Saya masih ingat lagi." Wanita itu membalas yakin.

Satu keluhan kecil dihembus sejenak.

"Kalau macam tu, tak apalah. Apa-apa hal nanti saya datang sini balik. Terima kasih sebab bagi kerjasama."

"Sama-sama, tuan." Wanita itu mengangguk sedikit sebelum memandang kelibat Afham yang sudah pun bingkas dari ruang itu.

Buku hitam yang digunakan tadi dimasukkan ke dalam poket jaket semula. Dari jauh lagi sudah kelihatan kelibat Fiska yang sedang berjalan menuju ke ofis guru tadika itu. Jam di tangan kirinya dipandang buat seketika. Pukul 9 pagi budak ni baru datang kerja?! Sebelum mak ucu marah dia datang lambat, biar aku yang marah dia dulu.

Katakan Tidak Pada CintaWhere stories live. Discover now