Prolog
LANGKAH demi langkah dilajukan. Ranting-ranting pokok yang bertaburan di atas tanah hancur dipijak pemuda yang masih ligat memecutkan langkahnya itu.
Seluruh tenaga dikerah sedaya upaya untuk menyelamatkan diri daripada beberapa orang lelaki yang tidak kurang lajunya memasang langkah mengejar dia di hadapan. Semakin lama, langkahnya semakin lemah. Pemuda itu tetap menguatkan kaki. Berlari dan menepis ranting-ranting pokok yang menyakar lengannya, membuatkan nafasnya semakin kurang oksigen.
Dia toleh ke belakang sekejap. Lelaki-lelaki yang bertubuh sasa itu masih tidak putus asa mengejar. Dia semakin hilang langkah. Dalam hati hanya mampu tawakal dan berdoa agar keselamatan dirinya dilindungi oleh Allah S.W.T. Pandangan semakin kelam. Kesuraman suasana di tengah belantara hutan pada waktu malam itu sudah pun mengaburkan biji mata. Akhirnya, langkah mati.
Kelopak mata tertutup rapat. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada tubuhnya sekarang. Yang dia rasa, tubuhnya bagai dihentak-hentak kesakitan. Tulang-temulangnya bagaikan ingin patah dek terlalu sakit terhempas.
Bila kesakitan itu akan tamat, dia sendiri tidak pasti. Selang beberapa minit kemudian, dia hanya mampu bernafas lega dalam diam bila tubuhnya sudah terdampar di atas kawasan yang sedikit lapang. Kepalanya terus dilentokkan menyembah ke tanah. Air mata mengalir perlahan ke pipi. Perit! Afham tidak sedarkan diri. Pengsan.
"Dah mati agaknya budak tu." Kedengaran salah seorang dari lelaki yang mengejar tadi bersuara.
"Mungkin. Gaung tinggi macam ni mustahil tak mampus lagi dia," sahut temannya pula.
"Sudah! Jom! Mampus dah tu. Aku yakin. Kalau tak mampus pun, mesti dah kena sorok dengan bunian."
"Hoi, mulut kau tu! Bunian-bunian jangan cakap kat sinilah. Kau sedar tak kita kat mana sekarang ni?!" tempelak salah seorang dari mereka pula.
"Sudah! Jom balik. Aku dah seram sejuk pula rasa ni."
Suasana hutan yang gelap gelita dan hanya ditemani suara unggas itu dipandang sejenak. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Tak sampai beberapa saat, langkah laju dipasang berlari meninggalkan kawasan itu. Harapkan badan macam badak sumbu, penakut mengalahkan semut.
PERLAHAN-LAHAN langkah diatur mendekati sekujur tubuh yang sedang terbaring kaku di tengah belantara hutan itu. Anak sungai yang sedang mengalir turut memenuhi deria pendengaran. Tubuh direndahkan untuk melihat dengan lebih jelas wajah empunya tubuh yang sedang terbaring tanpa sebarang tenaga itu. Timbul perasaan yang amat sayu dalam hati seorang perempuan itu.
"Encik." Kening berkerut sedikit.
Tiada balasan. Kaku. Gadis itu mencuit sedikit lengan pemuda itu.
"Encik."
Masih tiada tindak balas.
"Dah mati ke lelaki ni?"
Hmmm kalau nak buat CPR, macam tak sesuai dengan keadaan saja. Rasanya kalau tampar dia dalam keadaan darurat ni, dia tak kesah kut. Tak boleh tampar lembut-lembut ni kalau dah pengsan sampai begini rupanya. Penampar yang paling sesuai adalah... Panggg!!! Berderau darah, melekat pemerah pipi berlogo lima jari.
Pemuda itu mula menggerak-gerakkan kelopak matanya sedikit. Agaknya kepedihan mula menjalar ke seluruh muka.
"Alhamdulillah. Ada pun respons. Tak sangka penampar adalah salah satu cara untuk menyelamatkan orang yang tidak sedarkan diri." Gadis itu sengih sendiri.
Namun, sengihnya serta-merta mati bila kedengaran suara unggas yang semakin kuat mengetuk halwa telinga. Kawasan sekeliling diamati sejenak. Kelam. Gelap. Air liur yang tersekat di kerongkong cuba ditelan. Wajah pemuda yang masih tidak sedarkan diri itu dipandang buat kesekian kalinya. Nafas ditarik sedalamnya.
YOU ARE READING
Katakan Tidak Pada Cinta
RomanceTajuk: Katakan Tidak Pada Cinta Penulis: Nurrul Shuada Muka Surat: 688 Terbitan: Ogos Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-32-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM 29.00 (Sabah & Sarawak)