Bab 12

1.4K 47 1
                                    

AIR mineral yang sedang diteguk terus terbantut bila terdengar bunyi cermin tingkap keretanya diketuk dua kali. Kepala segera dipaling mencari gerangan orang yang mengganggu ketenteramannya kala itu. Terlihat sahaja wajah Fiska yang sedang menayangkan barisan giginya yang tersusun rapi, pantas cermin tingkap keretanya diturunkan sedikit.

"Nak apa?" Agak keras nada Afham bertanya.

"Awak buat apa kat sini? Mak ucu ada kat dalam ofis. Pergilah jumpa dia." Fiska balas sengih.

Tak sangka pula boleh ternampak polis bermulut hantu ni duduk termenung di dalam kereta waktu dia tunggu bas tadi. Ke dia ada tunggu siapa-siapa? Nak tunggu siapanya kat kawasan tadika ni? Budak-budak aje yang ada kat sini pun.

"Bila masa aku cakap nak jumpa mak ucu?" Afham soal lagi.

Fiska diam beberapa saat. Habis tu, yang kau tunggu dalam kereta ni, tunggu aku balik kerja ke? Nak saja aku tanya soalan yang bakal memalukan tujuh keturunan aku itu. Orang cakap elok-elok, balaslah elok-elok. Itu pun susah ke?

"Saya ingat awak nak jumpa mak ucu. Kalau bukan, tak apalah. Sorry."

Gadis itu mencebik sedikit sebelum langkahnya mula menuju ke kawasan tempat perhentian bas yang ditunggunya tadi. Afham dengan muka yang tak ada sebarang perasaan menyambung tugasnya kembali. Baru sahaja biji mata hendak meliar ke kawasan prasekolah itu, tingkahnya sekali lagi terbantut.

Bunyi deruman bas berlalu laju meninggalkan kawasan itu. Terperanjat Afham tak semena-mena bila Fiska menerobos masuk ke dalam perut kereta. Bukan tadi dia dah blah ke dari sini? Perempuan ni nak apa lagi?! Kecik besor, kecik besor aje dia pandang gadis yang sedang tercungap-cungap di sebelahnya itu.

"Bas dah tinggal saya." Fiska cuba menarik nafas perlahan.

"Habis tu?"

"Saya tumpang awak, boleh? Dah tak ada bas dah petang-petang macam ni. Tu bas yang last." Gadis itu tayang muka sedih. Mudah-mudahan lembutlah hati polis bermulut hantu di hadapan matanya ini.

"Kau ni, kan? Kau ingat aku saja-saja ke duduk dalam kereta kat sini? Dah tahu kau tengah tunggu bas, yang ramah sangat datang tegur aku kat sini kenapa?"

"Saya ingat bas lambat lagi nak sampai. Manalah saya tahu nak kena tinggal macam ni."

Afham tarik nafas panjang sejenak. Cuba bertenang.

"Aku tengah kerja sekarang ni. Kau baliklah naik teksi."

"Ada ke petang-petang macam ni teksi lalu kat sini?"

"Mestilah ada. Memang tugas pemandu teksi cari penumpang."

"Kalau tak ada macam mana?"

Keluhan berat dibebaskan. Banyak menjawab pula budak perempuan ni.

"Aku call teksi untuk kau. Sekarang kau pergi tunggu kat tempat tunggu bas tu semula. Jangan kacau aku buat kerja, faham?"

"Yalah." Mendengarkan arahan yang tidak berhati perut dari inspektor polis itu, Fiska hanya mampu mencebik.

Lantas tapak kaki melangkah lemah menuju ke pondok perhentian bas semula. Aku baru aje nak jimat, dah kena naik teksi pula. Padan muka aku juga. Lain kali sibuk lagi hal orang. Ramah tak kena tempat. Kan dah kena tinggal bas.

Usai menghubungi perkhidmatan teksi di kawasan yang berdekatan, Afham kembali meninjau persekitaran prasekolah ibu saudaranya itu. Lima belas minit berlalu, kelihatan kereta mak ucu sudah pun bergerak meninggalkan kawasan tadika.

Jarum jam tangan yang sudah menginjak ke angka enam suku petang itu dikerling sekejap. Kelibat gadis yang tertunduk memandang lantai menunggu teksi yang masih belum kunjung tiba diperhati lama. Teksi negara mana yang aku call tadi sampai sekarang tak sampai-sampai lagi?

Katakan Tidak Pada CintaWhere stories live. Discover now