SKRIN telefon bimbit dari tadi tidak putus asa dicalit. Seperti tercari-cari sesuatu tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Nak call ke tak nak? Pukul 10 pagi ni rasanya dia tak busy kut. Tapi kalau dia tengah kerja macam mana? Ala, takkanlah tak keluar minum pagi macam aku ni. Kau lain, Darish! Kau cikgu. Dah tentulah waktu rehat budak-budak, kau pun rehat. Cis! Call ajelah. Mana tahu kalau rezeki aku, dia angkat.
Baru sahaja skrin dail tertera, muncul nama mamanya sedang galak memanggil. Lambat-lambat panggilan dijawab.
"Assalamualaikum."
"Helo, Rish. Mama ni."
"Tahu. Kalau ya pun jawablah salam dulu, ma." Mendatar nada pemuda itu.
"Mama tak ada masa sangat ni. Mama bukan nak call lama."
"Ada apa mama call?" Darish terus ke pangkal cerita.
"Rish kat mana tu, sayang?" Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.
"Kat sekolahlah. Kat mana lagi?"
"Hmmm, okey. Mama nak ingatkan hi-tea dengan keluarga Tan Sri Zainuddin petang ni jangan lupa pula tau, Rish."
"Eh, nasib baik mama ingatkan! Rish pun nak bagi tahu mama yang Rish tak dapat pergi hi-tea tu. Rish ada hal petang ni, ma. Sorry."
"Sorry?!" Naik mendadak paras nada Puan Hanim. Darish menjauhkan sedikit corong telefonnya dari telinga. Peh, boleh terbakar tahi telinga aku kalau hari-hari macam ni!
"Hal apa, Rish?! Mama tak peduli. Rish kena datang juga hi-tea tu. Mama tak kira." Puan Hanim tekan lagi nadanya. Keras.
"Petang ni ada raptai sukan sekolahlah, ma. Rish handle acara olahraga semua. Mana boleh skip. Tolonglah faham."
"Mama dah lama betul bersabar dengan perangai kamu ni, Rish. Tak habis-habis dengan sekolah. Sekolah penting ke keluarga yang penting? Papa kamu tu dah bising sebab anak dia langsung tak reti nak tolong dia kat ofis. Sibuk sangat nak kerja cikgu tu. Bukannya boleh jadi kaya pun." Puan Hanim menyambung lagi. Rasa amarah dalam hati mula membuak-buak bila mengenangkan fiil anak terunanya yang seorang itu.
"Kalau kaya pun, bukannya boleh bawa mati." Selamba Darish balas.
"Menjawablah. Menjawab! Dah lupa agaknya kamu tengah bercakap dengan siapa ni, Rish?"
"Rish tak pernah lupa pun, ma. Rish tak pernah lupa keluarga Rish. Tapi Rish betul-betul minta maaf. Rish memang tak dapat datang. Kalau setakat hi-tea tu, nanti Rish minum teh tarik kat mamak aje dengan Am. Lagi sedap."
"Jangan sebut nama budak tu depan mama. Mama tak nak dengar."
"Kenapa, ma? Apa yang Am buat sampai mama dengan papa benci dia? Rish tak faham betul dengan perangai sombong mama dengan papa ni."
"Rish, dengar sini. Kalau Rish tak nak pergi hi-tea ni tak apa. Tapi jangan biadab dengan mama. Dari dulu lagi mama tak suka Rish rapat dengan budak tu, tapi Rish degil. Rish jangan ingat bila Rish dah besar, Rish boleh buat apa sahaja." Sekali lagi Puan Hanim tempelak anak lelakinya itu.
"Rish dah bagi tahu kan tadi, Rish tak pernah lupa keluarga Rish. Am tu tergolong dalam keluarga Rish juga. Rish harap mama tak lupa semua tu."
"Rish!!!"
"Tak apalah, ma. Waktu rehat pun dah habis ni. Rish ada kelas sekejap lagi. Kirim salam papa, ya? Assalamualaikum."
Tanpa mendengar sebarang balasan, talian telefon segera dimatikan. Tak semena-mena Darish Izuan sengih seorang diri. Baki Milo suam di dalam cawan segera diteguk. Confirm mama tengah mengamuk sekarang ni.
![](https://img.wattpad.com/cover/80162891-288-k998356.jpg)
YOU ARE READING
Katakan Tidak Pada Cinta
RomanceTajuk: Katakan Tidak Pada Cinta Penulis: Nurrul Shuada Muka Surat: 688 Terbitan: Ogos Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-32-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM 29.00 (Sabah & Sarawak)