"Habis itu, siapa pembunuh? Kau?" Asyiqin memusingkan badannya. Kini, dia berhadapan dengan Maisarah sepenuhnya. Senyuman sinis kelihatan nipis di bibir Mai sebelum menghilang.
"Mungkin" balas Mai, perlahan dan sinis bunyinya.
Semua yang berada di situ terkejut dengan jawapan Mai, terutamanya Khayrin. Kawan baiknya sendiri.
"Hei! Kau cakap apa ni, Mai? Benda tu tak lawak. Kau jangan buat main lah benda gitu,"jerkah Khayrin. Tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Mai sebentar tadi. Ini bukan permainan mudah. Salah cakap walau sedikit sahaja, pasti mengundang padah. Dan itulah yang sedang Mai lakukan. Mencari nahas.
"Aku kata mungkin. Mungkin juga kau, Syiqin. Mana tahu entah-entah kau plan semua ni, kan? Kesian Yana, mati di tangan kawan baik," Kata-kata Mai membangkitkan rasa marah dalam diri Asyiqin.
"Lagi pun, aku nampak engkau yang beria-ria sejak dari awal lagi. Bukan begitu, Cik Asyiqin?" Sambung Mai lagi.
Dituduh sembarangan bukannya satu masalah buat dirinya. Tetapi, dituduh membunuh kawan yang sangat disayanginya, dia tak boleh terima.
Berdetap gigi Asyiqin menahan marah. Di pipinya kelihatan manik-manik air mata yang mengalir laju. Tangannya digenggam kuat. Menimbulkan luka pada tapak tangannya sendiri.
"Eh, janganlah macam ni. Syiqin, calm down. Kita tak boleh berlengah. Yana mungkin tengah sengsara," Aisyah menyampuk. Keadaan yang tegang sebegini tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Nyawa mereka semua dalam bahaya. Cuma menanti masa dan giliran sahaja.
Asyiqin tersentak. Mula tersedar dari kemarahan. Lalu, dia berpusing ke arah bentuk badan yang berada di atas katil itu. Walau sesiapa sahaja manusia di dalamnya, dia berada di bawah comforter yang menghalang identitinya diketahui secara terus.
Perlahan-perlahan, comforter itu dialihkan dari kedudukannya. Sedikit demi sedikit identiti manusia itu mula muncul.
Tangan Asyiqin menekup mulut tanda terkejut. Sekali lagi, air matanya jatuh di pipinya tanpa amaran. Jiwanya seperti dihiris sembilu. Dia cuba untuk berundur tetapi tiada pergerakan yang dapat dibuat olehnya tika ini. Langsung dia terduduk di lantai dengan muka tidak percaya.
Hanis menutup kembali badan Liyana. Tidak mahu membiarkan mayat itu terdedah keaibannya. Muka Liyana terbakar. Seakan disimbah asid atau mungkin sememangnya disimbah dengan cecair maut itu. Mata Liyana terbeliak membuktikan betapa sakit dan peritnya dia menghadapi kematian.
Asyiqin masih lagi meraung. Meratapi kematian Liyana. Mereka yang ada di situ hanya mendiamkan diri. Ada yang menumpahkan air mata. Ada juga yang tidak memberikan apa-apa reaksi. Kosong.
Sedang Hanis memerhatikan reaksi mereka, dia terpandang beberapa kertas kecil yang berada di atas meja solek. Dia tahu kertas itu menuju kepada apa. Lalu dengan pantas, dia memandang semula kepada mereka.
Benar apa yang dia rasakan. Seseorang dalam kalangan mereka telah hilang. Dan orang itu ialah Iman!
YOU ARE READING
Fobia
Mystery / ThrillerSebuah percutian yang indah bertukar menjadi tragedi berdarah dalam masa satu malam. Siapa sangka persahabatan yang telah lama dibina, akhirnya diuji dengan pembunuhan. Seorang demi seorang meninggalkan mereka dengan cara kematian yang tidak disangk...