Bab 1

4.4K 79 1
                                    

ZAFEEYA menjenguk keluar dari sebalik pintu ruang tangga kecemasan. Pandangannya dilemparkan ke kiri dan ke kanan untuk memastikan persekitarannya benar-benar terkawal sebelum dia boleh meneruskan perjalanan. Setelah dia pastikan segalanya selamat, Zafeeya melangkah keluar.

Langkahnya diatur cermat dan penuh berhati-hati. Matanya juga asyik memandang sekeliling. Tak jauh lagi perjalanannya. Sebelum dia selamat keluar dari bangunan hotel itu, dia akan memastikan dirinya tak lagi terserempak dengan lelaki tadi. Setelah sekian lama mereka tak bertemu, akhirnya mereka bersua di tempat yang tak disangka-sangka pada waktu yang tak pernah diduga.

Mengapa pada hari dia mengatur pertemuan dengan kawannya, Imani, dia perlu bersemuka semula dengan Eddie? Apa yang Eddie buat di sini?

Kebetulan! Itulah perkataannya. Dalam banyak-banyak perkara yang pernah berlaku dalam hidup Zafeeya, kebetulan adalah yang paling jarang sekali berlaku. Dan mengapa kebetulan yang menggusarkan hati ini berlaku pada hari ini? Pada hari ulang tahun kelahirannya? Zafeeya mendengus perlahan.

Dia mula mengutuk diri. Mengapalah suatu masa ketika di bangku universiti dahulu dia jatuh hati pada lelaki itu? Yang bernama Eddie itu? Mengapa? Mengapa?

Dalam langkahnya yang masih laju, mindanya dibiarkan memainkan kenangan silam yang semakin samar dari makna buat dirinya. Tergambar jelas di mindanya pesanan ringkas pertama yang pernah dia kirimkan kepada Eddie suatu masa dulu.

Hai, Eddie. Saya Zafeeya. Saya dengar awak bekerja sambilan sebagai jurugambar.

Zafeeya kemam bibir, mempertimbangkan buat kali terakhir sama ada mahu meneruskan penghantaran mesej pesanan ringkas itu. Sesungguhnya dia tak arif memulakan bicara. Mungkin ayat yang ditaip pun tak berapa sesuai tetapi dia sudah ketandusan idea.

Apa yang penting baginya adalah dia perlu ada usaha terhadap perasaannya.

Butang Send ditekan lalu mesej dihantar. Zafeeya tak meletakkan harapan agar Eddie membalas mesejnya. Dia sedar dirinya tiada kepentingan terhadap lelaki itu. Tetapi, dia mahu berasa puas hati kerana sekurang-kurangnya dia pernah membuka langkah, walau usahanya sekelumit cuma.

Ya, saya. Tapi, awak Zafeeya yang mana, ya? Saya tak ingatlah.

Tak sangka, Eddie membalas mesej ringkas yang dihantar. Niat asal Zafeeya ingin menjadikan Eddie sebagai jurugambar di majlis pertunangan sepupunya. Andai rancangan itu dapat dilancarkan, mungkin dia dan Eddie ada harapan untuk bersua lagi. Namun, hajat itu dia tangguhkan seketika. Tawar sedikit perasaannya apabila Eddie tak ingat padanya.

Zafeeya. Classmate awak masa belajar dekat universiti dulu.

Butang hantar ditekan. Hatinya merasa berat. Tiba-tiba dia rasa kerdil. Nombor telefon Eddie sahajalah yang menjadi harapan. Itupun, nombor telefon itu dia salin daripada senarai kedatangan milik salah seorang pensyarah mereka waktu dia belajar dahulu. Setelah beberapa bulan majlis konvokesyen berlalu, baru hari ini dia dapat mengumpul kekuatan untuk cuba menghubungi Eddie.

Yang mana ya? Saya tak ingat.

Daripada mesej itu, Zafeeya terus matikan niatnya. Dia gunungkan ego. Rasanya tak perlu dia berusaha menjelaskan siapa dirinya kepada seseorang yang tak pernah kesahkan kewujudannya. Dia terkilan. Biarpun mereka bukan satu kursus, tetapi selalunya mereka duduk dalam kelas yang sama untuk pengajian liberal. Malah, mereka pernah berada dalam satu kumpulan untuk sebuah tugasan yang diberikan pensyarah.

Susah sangatkah mahu mengingat wajah seorang Zafeeya? Lagipun, bukankah dulu Eddie selalu berdamping dengan kawan baiknya, Leia? Takkan tak perasan?

Dia tahu dia tak ada rupa, tak ramai kawan, tak popular. Tetapi, dia tak sangka kewujudannya tak dirasai. Dia tak sangka dia halimunan sedemikian rupa.

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now