SETELAH selesai shooting untuk program Sinar Pagi, Aulia bergegas menuju ke Brews & Bites Café.
Eiman mengajaknya untuk brunch bersama. Tanpa banyak soal, dia pun bersetuju, memandangkan petang nanti dia ada shooting untuk iklan komersial pula.
Nasib baik studio untuk program Sinar Pagi itu dekat dengan kafe Eiman. Lebih kurang 15 minit, dia sudah pun terpacak di hadapan pintu kafe. Saat kaki melangkah masuk ke dalam kafe, bibir yang baru nak tersenyum itu pudar saat mata terpandang Benjamin. Ah, dia terlupa yang lelaki itu sudah pun pulang ke Malaysia semalam.
Berat kakinya hendak melangkah untuk mendekati. Tetapi apabila mengenangkan kafe itu milik Benjamin juga, nak tak nak, dia harus berdepan dengan lelaki itu juga.
"Eiman mana?" soalnya seraya mata mencari-cari kelibat Eiman.
"Dapur," jawab Benjamin tanpa memandang Aulia.
Aulia kaku berdiri di hadapan Benjamin. Nak duduk semeja, gerun. Lagipun, dia tak tahu nak kata apa pada lelaki itu.
"Duduklah," arah Benjamin.
Ketika pelayan kafe hendak memberikan menu kepada Aulia, dia mengisyaratkan tak perlu. Laju pelayan kafe itu mengangguk akur.
"Kau nak minum apa?"
Ketika Aulia hendak duduk, Benjamin pula yang berdiri lalu bertanyakan soalan itu pada Aulia.
"Tak apalah... Saya tunggu Eiman."
"Eiman tengah masak. Tak payah nak susahkan dia lagi."
Ketat wajah Aulia apabila dikata sebegitu. Matanya juga tajam memandang Benjamin.
"Saya susahkan dia ke selama ni?" soalnya cuba mengawal rasa geram yang membuak dalam hati. Kan dah kata, dia dengan Eidlan Benjamin ni tak pernah sebulu!
Lagi menyirap darahnya apabila jelas kelihatan bibir Benjamin tersenyum sinis.
"Kau faham ke tak cakap aku tadi? Dia tengah masak. Kalau kau tunggu dia habis masak, lepas tu merengek-rengek minta minuman, tak ke menyusahkan dia lagi?"
Aulia merengus. Terasa dirinya terkena dengan kata-kata Benjamin itu. Ketika dia hendak membuka mulut untuk menjawab, Benjamin sudahpun bergerak ke kaunter minuman. Bibir diketap geram dan tangan berpeluk tubuh. Sakitnya hati dengan lelaki itu. Bahasa sudahlah kasar, sinis pula tu!
Kalau dia tahu Benjamin ada di kafe ni juga, dia tak akan setuju untuk brunch bersama dengan Eiman.
Baru lima minit disapa dengan ketenangan, Benjamin kembali ke mejanya bersama-sama dua gelas di tangan. Satu berisi air kosong dan satu lagi minuman berwarna hijau. Lebih kepada smoothie.
"Personaliti TV macam kau ni mesti nak jaga badan, kan? Nah, ni aku bancuh air spesial untuk kau." Ringkas, namun padat Benjamin berkata.
Lama Aulia memandang air yang berwarna hijau itu. Entah apalah rasa air itu? Risau kalau-kalau Benjamin berniat hendak mengenakannya. Lantas tangannya laju mencapai gelas yang berisi air kosong, lalu diteguk. Dari ekor matanya, dia ternampak Benjamin ketawa sinis.
Saat dia meletakkan gelas yang berisi air itu di atas meja, Eiman muncul dari dapur bersama hidangan di tangan, diekori juga oleh pelayan kafe.
"Dah lama you sampai?" soal Eiman dengan bibir yang tersenyum lebar.
"Tak adalah lama sangat." Besar mata Aulia memandang hidangan yang banyak di atas meja itu.
"Banyaknya you masak!"
YOU ARE READING
Hanya Itu Pintaku
General FictionTajuk: Hanya Itu Pintaku Penulis: Farisya Natasha Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-14-4 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE...