"KAU dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Baliklah sebelum aku halau kau keluar."
Lengan yang digenggam kuat itu, direntap kasar. Tajam mata Aulia memandang Benjamin. Lelaki itu siapa nak halau dia? Dia datang ke situ pun sebab ingin berjumpa Eiman, bukan lelaki itu!
"Saya tetap nak jumpa Eiman," putus Aulia tanpa mempedulikan tegahan Benjamin itu namun sebelum kakinya melangkah, sekali lagi lengannya digenggam dan terus diheret keluar dari kafe tersebut.
"Eidlan, lepaslah!"
Kalau tadi suara Aulia mampu dikawal dengan sebaiknya tetapi tidak ketika ini. Apa yang Benjamin lakukan itu sudah melampaui batas. Dia diperlakukan seolah-olah dia tidak punya hati dan perasaan.
Berkali-kali lengannya cuba direntap tetapi genggaman Benjamin semakin kuat dan kemas. Permintaannya juga tidak dihiraukan oleh lelaki itu sebaliknya, dia terus dibawa ke hujung bangunan dan situlah Benjamin baru melepaskan genggaman.
"Bila aku suruh kau balik, kau balik ajelah!" bentak Benjamin.
Dia tidak mampu berbuat apa-apa selain mempertahankan Eiman. Dalam situasi ini, Eiman memang tidak patut dipersalahkan, begitu juga dengan Aulia. Tetapi antara Aulia dengan Eiman, dia perlu mempertahankan adiknya sendiri.
"Kenapa saya tak boleh jumpa dengan Eiman? Sebab dia dah ada perempuan lain? Atau alasan untuk stay kat sini disebabkan masalah keluarga tu sebenarnya tipu?"
Tanpa mahu mengalah, Aulia juga bersuara lantang. Lengan yang berasa perit akibat genggaman Benjamin tadi juga tidak dihiraukan.
"Kalau dia dah ada perempuan lain, kau nak buat apa? Terhegeh-hegeh kat dia lagi?"
Soalan Benjamin itu menyentak hati Aulia. Tak semena-mena, air matanya mengalir ke pipi. Bibirnya turut bergetar menahan rasa. Sampainya hati Benjamin kata begitu? Terhegeh-hegehkah dia selama ini? Sedangkan yang datang mendekat dulu adalah Eiman.
Saat melihat Aulia mengalirkan air mata itu, rahang diketap kuat. Sungguh, Benjamin rasa bersalah memperlakukan wanita itu sebegitu rupa.
"I'm sorry," ujarnya perlahan. Kesal dengan tindakannya sebentar tadi.
"Kenapa Eiman buat saya macam ni? Kenapa dia mempermainkan hati saya macam ni? Saya... Saya dah cakap, kalau tak cintakan saya, let me go... What went wrong?" Aulia kembali melemparkan soalan tanpa memberikan sebarang reaksi terhadap kata maaf Benjamin itu.
"Dia tak ingat apa-apa yang melibatkan kau. Dia dah lupa janji-janji yang dia dah berikan pada kau dulu."
Aulia tersenyum sinis apabila Benjamin kata begitu.
"Apa, kepala dia dah terhantuk ke sampai dia lupa apa yang dia dah janjikan dulu?"
Alasan apa lagi yang Benjamin ingin berikan padanya? Cukup-cukuplah mempertahankan Eiman sedangkan kebenaran sudah ada di depan mata.
"Exactly! He lost his memory for an entire ten years before the accident. Sebelum dia jatuh dari Lion Rock. Unfortunately, that includes you. There's no you in his memory. You do not exist anymore."
Kaki Aulia terundur untuk beberapa tapak ke belakang. Kenyataan yang diberikan oleh Benjamin itu hampir membuatkan jantungnya seakan-akan berhenti berdegup.
"No! Don't lie to me! Awak cakap macam ni sebab nak pertahankan Eiman, kan?"
"Pergilah jumpa dia! He won't recognize you," arah Benjamin.
Menggeleng-geleng kepala Aulia menidakkan kata-kata Benjamin itu. Tangan turut menekup kedua-dua telinga.
Semua ini tipu! Tipu!
YOU ARE READING
Hanya Itu Pintaku
General FictionTajuk: Hanya Itu Pintaku Penulis: Farisya Natasha Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-14-4 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE...