HATINYA resah. Jemari yang bertaut itu direnung lama. Hari yang tak dinanti itu telah tiba dan perasaan yang tak enak beberapa hari ini, kembali menyapa hatinya. Kenapalah dia rasa berat hendak melepaskan tangan itu pergi? Dia tidak sepatutnya berperasaan sebegitu. Bukan lama sangat pun Eiman pergi meninggalkannya.
"Kalau boleh... Cepat-cepat balik sini tau," ujar Aulia. Selain jemari bertaut mesra, sebelah tangan lagi merangkul lengan lelaki itu.
"Ya, sayang. Selepas adik I graduate, I tolong sekejap Benji kat sana then I balik terus ke sini."
"You kat sana dua bulan aje tau!" Untuk sekian kalinya, Aulia cuba mengingatkan Eiman.
"Kalau settle cepat, sebelum dua bulan tu I dah balik."
Nafas ditarik dalam. Sepasang mata Aulia cuba memandang orang ramai yang lalu-lalang di ruang legar airport itu, sekadar untuk meredakan resah yang sarat bertandang di dalam dada. Ada yang kelihatan tercari-cari gate untuk check-in bagasi. Ada juga yang masih berbual dengan keluarga sebelum masuk ke balai perlepasan.
"Sampai aje kat Auckland nanti, I call you terus." Eiman kembali bersuara apabila Aulia tiba-tiba saja senyap tanpa kata.
"Okey."
"You baliklah... Risau I kalau you balik lewat malam," arah Eiman. Mata mengerling jam di pergelangan tangan. Sudah pukul sembilan malam. Tak lama lagi, dia dan Benjamin perlu masuk ke balai perlepasan.
Perlahan-lahan Aulia meleraikan pautan jemari mereka. Akur dengan arahan Eiman itu.
"Benji, kunci kereta mana?" soal Eiman pada Benjamin.
Benjamin terus menghulurkan kunci keretanya kepada Aulia.
"Drive elok-elok kereta aku."
Sempat Benjamin berpesan kepada Aulia. Baru sepuluh bulan kereta itu dibelinya, tetapi disebabkan dia ke Auckland, dia minta Eiman untuk jagakan kereta itu sepanjang ketiadaannya. Tambahan pula, kereta milik keluarga mereka juga sudah tidak berfungsi lagi.
Tanpa Benjamin sedar, Aulia menjeling. Dengan malas dia mencapai kunci kereta itu.
"Saya tahulah. Lepas ni, saya hantar terus ke kafe, biar Aidit yang tolong jagakan kereta ni."
Kalau ikutkan hatinya, dia pun malas nak memandu kereta milik lelaki itu. Mercedes-AMG A45 pula tu. Calar sedikit, memang aniaya dia.
"Tak payah hantar malam ni. Bawa aje terus ke kondo you. Esok atau lusa, I suruh Aidit yang ambil kereta tu daripada you." Cepat saja Eiman menegah agar Aulia tak menghantar kereta itu ke kafe malam itu juga. Hatinya dijentik dengan perasaan risau.
"Okey. Suruh Aidit mesej I dulu. Risau pula kalau I kerja waktu tu. Sebab kereta tu I tinggalkan kat kondo. Tak reti nak bawa kereta mahal. Lagi-lagi kereta orang lain." Sengaja Aulia berkata begitu. Biar Benjamin sedar, dia sendiri tak terhegeh-hegeh nak memandu kereta milik lelaki itu.
Eiman angguk kepala.
"Okeylah... Kami masuk dulu. Sebab selagi kami tak masuk, selagi tu you tak nak balik."
Aulia tersenyum kecil. Tak sangka, Eiman mengerti yang dia berat hati hendak melangkah pergi sebelum lelaki itu benar-benar masuk ke balai perlepasan.
Tanpa dia sedar, Eiman menarik pinggangnya dan dalam sekelip mata, bibir Eiman mendarat di ubun-ubunnya.
"Take care, sayang, I love you," ucap Eiman setelah melepaskan rangkulan.
Terangguk-angguk kepala Aulia membalas kata Eiman. Dia sebenarnya terkejut dengan tindakan Eiman itu. Lagi-lagi di hadapan Benjamin. Sempat juga dia melirik lelaki itu, ternyata Benjamin memandang ke tempat lain. Mungkin dari awal lagi Benjamin memandang ke arah lain atau disebabkan perilaku Eiman itu, membuatkan Benjamin kurang selesa, dia kurang pasti.
YOU ARE READING
Hanya Itu Pintaku
Ficción GeneralTajuk: Hanya Itu Pintaku Penulis: Farisya Natasha Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-14-4 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE...