PROLOG
Gadis itu berjalan sendirian sambil memeluk tubuhnya. Sesekali tangan kirinya dibawa ke pipi untuk mengesat air mata yang mengalir. Duhai air mata, bila agaknya kau akan berhenti mengalir? Tangan dibawa ke dada pula. Sungguh, saat ini ianya terasa sangat sakit. Terbayang-bayang di matanya aksi di antara seorang lelaki dan seorang perempuan tadi.
Inikah yang dia dapat selepas dia menyerahkan seluruh kepercayaannya? Inikah hasil kesabarannya selama ini? Mutiara jernih seakan tidak lagi segan untuk mengalir sebaik matanya jatuh pada cincin yang tersarung di jari manisnya.
"Ya Allah, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan. Tolonglah hamba," pohonnya seikhlas hati.
Saat ini hanya kepada-Nya tempat dia mengadu. Ingin mengadu kepada ahli keluarganya, dia tahu itu ialah perkara terakhir yang dia akan lakukan. Dia tidak mahu keluarganya menanggung marah dan malu lantaran kedua-dua manusia itu. Lantas, pilihan apakah yang terbaik kini?
Ah pedulikan itu semua!
"Aku nak pulangkan cincin ni kat tuan dia.."
Hanya itu yang terlintas di fikirannya tika ini. Nafas dihela panjang. Fikirannya bulat. Apapun impak dari keputusannya itu, dia tidak akan berundur walau setapak.
Dia menoleh ke belakang. Wajah seorang lelaki memenuhi kornea matanya. Lelaki tersebut pula hanya berdiri kaku memandangnya. Langkah mula diatur. Kini destinasinya hanya satu.
"Kak! Tepi kak!" jerit seseorang tiba-tiba.
BAB 1
SENYUMAN tidak lekang dari bibir Airina sepanjang pemanduannya. Berita kepulangan rakannya dari Australia benar-benar membuatkan dia gembira. Airina sudah tidak sabar mahu berkongsi berita tersebut dengan ibu ayahnya. Airina membelok ke kanan, sesekali matanya mengerling cermin sisi.
Senyuman Airina memekar saat keretanya sudah memasuki perkarangan rumah. Laju sahaja dia keluar dari kereta dengan mulutnya memberi salam.
"Assalamualaikum, Ibu! Ayah!" ucapnya ceria. Kasut ditanggalkan di depan pintu rumah dan kaki kanan mula melangkah masuk ke dalam rumah. "Ibu ayah tahu tak..." Dan apa sahaja yang Airina hendak katakan mati begitu sahaja. Bukan Halim dan Salbiah yang menyambutnya di depan pintu tetapi seorang lelaki muda.
"Harris.." Bibir Airina menyebut nama lelaki tersebut. Harris tersenyum lebar apabila namanya meniti di bibir Airina. Akhirnya orang yang dinanti-nantikan muncul jua. Airina pula berdiri statik di tempatnya, tidak tahu reaksi apa yang harus dia berikan.
"Kenapa Rin tercegat kat depan pintu tu? Ayah tahulah Rin happy jumpa tunang kamu tu," tegur Halim. Hairan pula apabila Airina dan Harris hanya berdiri kaku memandang satu sama lain di depan pintu. Salbiah muncul di belakangnya lalu menepuk perlahan bahu Halim.
"Abang ni. Ada pulak kenakan anak kita macam tu. Rin, masuklah. Harris pun janganlah berdiri kat situ je, macam mana Rin nak masuk?"
Harris pamer sengihan kambingnya. Betul juga apa yang dikatakan Salbiah. Dia berundur beberapa tapak ke belakang sambil tangannya digerakkan ala-ala gaya si penyambut tetamu hotel. "Jemput masuk tuan puteri," kata Harris. Salbiah dan Halim berbalas senyuman menyaksikan aksi itu.
Kali ini Airina tersenyum hambar pula. Hatinya langsung tidak tercuit dengan tingkah Harris. Perkataan 'tunang' yang disebut Halim tadi kembali berlegar di fikirannya dan semerta Airina juihkan bibirnya. Airina berjalan melepasi Harris dan terus menghampiri Halim dan Salbiah. Tangan kedua-dua orang tuanya dicium sopan.
"Lambatnya Rin balik. Pergi mana tadi?" tanya Salbiah kepada anaknya itu. Dia dan Airina jalan berpimpinan tangan menuju ke ruang tamu. Punggung dilabuhkan di atas sofa. Halim dan Harris mengekori dari belakang dan turut melakukan perkara yang sama. Mata masing-masing tak lepas dari memandang Airina.
KAMU SEDANG MEMBACA
100 Hari Mengenal Cinta [TERBIT - PENULISAN2U]
Любовные романы100 HARI MENGENAL CINTA: 'Cinta ini bukan untuk 100 hari. Bahkan untuk seratus tahun dan seribu tahun lamanya!' Tentang Airina Hanissa yang dipergunakan tunangnya Harris, untuk memburu cinta si adik tiri, Syida. Airina nekad mahu putuskan pertunanga...