BAB 4
KEESOKKAN harinya Airina bergegas ke butik pengantin sepertimana yang dijanjikan dengan Norli semalam. Sesekali matanya mengerling jam di tangan. Bimbang juga kalau dia terlewat. Pintu utama butik ditolak perlahan dan seorang staf menyambut kedatangan Airina. Selepas Airina memberi namanya dan juga nama Norli, staf itu memberi nombor bilik yang sudah dikhaskan untuk mereka.
"Terima kasih," ucap Airina. Dia berlalu mencari bilik bernombor 4. Sampai sahaja di depan pintu bilik 4, Airina menghela nafasnya panjang.
"Assalamualaikum, Aunty," ucap Airina.
Norli menoleh dan semerta wanita itu tersenyum lebar sebaik melihat Airina. "Rin.." Airina menayang senyumnya. Dia mara mendekati Norli lalu tangan orang tua itu dicium dengan sopan.
"Saya terlambat ke, Aunty?" tanya Airina apabila melihat konsultan mereka bernama Fifi sudah berada di dalam bilik itu. Airina kerling jam di tangannya. Dia sampai tepat pada waktunya bahkan awal lima minit daripada masa yang dijanjikan. Airina pandang Norli semula.
"Taklah, Aunty yang datang awal. Excited sangat ni, tak sabar nak tengok Rin try wedding gown tu," kata Norli jujur. Sememangnya dia sudah tidak sabar mahu melihat Airina disandingkan dengan anak sulungnya. Peribadi Airina yang baik dan sopan itu membuatkan hati seorang ibu yakin bahawa Airina benar-benar layak untuk Harris.
Bibir Fifi sudah mengulum senyuman manisnya, mengerti perasaan Norli. "Biasalah tu, Puan Sri. Hati mak mana yang tak bahagia bila tengok anak dia bahagia," komen Fifi.
"Aunty ni. Sabarlah, lagi tiga bulan je. Kalau Aunty tak sabar, nanti saya pun merenyam sekali!" seloroh Airina walaupun dia tidak memaksudkan apa yang dikatakannya.
Tawa Norli dan Fifi bergabung meriuhkan bilik tersebut. Ada-ada sahaja idea Airina.
Mata Airina melilau mencari kelibat seseorang.
"Rin cari Harris ke?" tanya Norli seakan dapat membaca fikiran Airina. Apabila bakal menantunya itu mengangguk, Norli memberi jawapannya sekaligus meminta maaf bagi pihak Harris. "Harris tak dapat datang, Rin. Dia ada hal last minute. Dia mintak maaf.."
Mendengarkan itu, Airina menarik keluar iPhone dari beg tangannya. Manalah tahu kalau-kalau lelaki itu ada menghubunginya ataupun menghantar whatsapp kepadanya.
"Tak ada pun?" Airina bertanya perlahan kepada dirinya sendiri. Tidak boleh tidak, hatinya sedikit kecewa dengan sikap Harris. Adakah Harris mengambil mudah urusan perkahwinan mereka?
"Rin nak try baju sekarang? Saya dah sediakan wedding dresses Rin," kata Fifi seraya mengunjuk pada sepasang baju kurung berwarna putih krim dan gaun ala-ala Cinderella berwarna biru yang tergantung di penyangkut dinding.
Airina melihat ke arah yang sama dan semerta bibirnya membentuk senyum. Kecantikan baju nikah dan gaun sanding itu membuatkan Airina terlupa pada Harris seketika. Airina melopong sendiri.
"Cantiknya.." pujinya. Kali terakhir dia melihat kedua-duanya itu ialah beberapa bulan yang lalu. Dan melihatnya sekali lagi terus-terusan meyakinkan Airina baju kurung dan gaun itu memang tercipta untuknya.
Kaki diatur mendekati baju kurung dan gaun tersebut.
"Cantiklah," pujinya sekali lagi. Matanya teralih pula pada sepasang baju Melayu serona dengan baju kurungnya.
"Kenapa baju Harris ada kat sini? Kan dia tak jadi datang," tanya Airina pula.
Norli yang tadinya tersenyum lebar tiba-tiba mencebik bibir pula. Norli pandang jam tangannya dengan rasa sebal. Sesekali matanya mengerling pintu.
KAMU SEDANG MEMBACA
100 Hari Mengenal Cinta [TERBIT - PENULISAN2U]
Romance100 HARI MENGENAL CINTA: 'Cinta ini bukan untuk 100 hari. Bahkan untuk seratus tahun dan seribu tahun lamanya!' Tentang Airina Hanissa yang dipergunakan tunangnya Harris, untuk memburu cinta si adik tiri, Syida. Airina nekad mahu putuskan pertunanga...