Novel: 100 Hari Mengenal Cinta (Bab 2)

2.7K 58 1
                                    

BAB 2

SEHELAI kertas A4 bertulis 'Welcome back, Sya!' dipegang Airina manakala Atikah memegang kertas bertulis 'Congrats! We love you!'. Farah di hujung sekali memegang patung teddy, jambangan bunga dan sekotak Ferrero Rocher. Mereka bertiga tersenyum lebar sementara menunggu wajah insan yang dirindui keluar dari balai ketibaan.

Sepuluh minit kemudian, Aisyah yang dinanti-nantikan keluar dari balai ketibaan tersebut. Dia melambai tangannya kepada rakan-rakannya. Apabila mata Aisyah membaca tulisan di kertas-kertas A4 itu, empangan matanya pecah. Aisyah berlari mendapatkan mereka bertiga yang sudahpun bersorak keriangan.

"Sya!"

"Korang!!!"

Mereka berempat saling berpelukan untuk melepaskan rindu. Tiga tahun Aisyah di bumi kangaroo dan inilah kali pertama mereka bertemu selepas hanya berhubung melalui Skype dan Whatsapp. Airina memeluk Aisyah seeratnya.

"Aku rindu kau.."

"Aku rindu kau jugak, Rin.."

Pelukan dileraikan lalu Aisyah memeluk Atikah dan kemudian Farah. "Thanks sebab datang. Aku betul-betul terharu. Dahlah family aku tak ada.." kata Aisyah sambil menyeka air mata dengan hujung jarinya.

Airina panjangkan tangannya untuk menggosok lembut belakang Aisyah. Dia faham perasaan Aisyah. Ibu bapa Aisyah jauh di Mesir manakala kakak sulungnya pula menetap di Jordan. Harapkan adik bongsunya, adiknya itu pula sedang menuntut di UiTM Melaka. Esok barulah adiknya berkesempatan untuk menjemput Aisyah.

"Tak apalah, kitorang kan ada. Mana luggage kau? Ini je?" tanya Airina hairan apabila melihat Aisyah hanya menarik satu bagasi besar berwarna hitam.

Aisyah menjawab dengan anggukan. "Aku dah ship barang-barang lain," jelasnya. Farah mara mendekati Aisyah lalu menghulurkan hadiah-hadiah yang dibeli mereka bertiga. "Korang..." Baru tadi Aisyah berjaya mengawal perasaannya tetapi kali ini air matanya mengalir lagi.

"Hadiah daripada kitorang. Kitorang bangga dengan kau, Sya!" kata Farah ceria.

Aisyah menangis terharu lalu ketiga-tiga rakannya itu membuat group hug untuk menenangkan Aisyah.

"Janganlah terharu sangat. Jomlah kita pergi makan. Kau mesti rindu makanan Malaysia, kan?" tanya Airina yang disambut dengan anggukan laju Aisyah.

MALAM itu mereka berempat putuskan untuk menginap di sebuah hotel. Mereka bertukar-tukar cerita daripada perihal keluarga, kerjaya hinggalah ke...

"Siapa lelaki tadi tu, Ika?" tanya Aisyah. Setahunya Atikah masih belum berpunya tetapi kemunculan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai kawan Atikah membuatkan dia musykil dengan hubungan mereka berdua.

Atikah dilihatnya sudah melirik senyuman manjanya.

"Boyfriend kau ke?" tebak Farah pula. Anggukan Atikah mengundang jeritan mereka. Diam-diam ubi berisi! Apabila Atikah mengangkat tangannya dan menayang cincin di jari manisnya, sekali lagi mereka bersorak.

"Kau dah bertunang ke? Diam-diam je kau eh!"

"Belumlah. Dia baru propose aku dua hari lepas. Aku suruh dia datang KLIA sekejap tadi untuk jumpa korang," kata Atikah.

"Bila majlis korang?" tanya Farah lagi, ingin tahu.

"Kitorang plan nak bertunang dalam bulan ni jugak. Lepas tu, nikah tahun depan. Tengoklah dulu macam mana.." jawab Atikah jujur. Tak sangka hatinya terbuka untuk lelaki yang baru dikenalinya lima bulan lepas. Selama ini Atikah yang beriya-iya mahu fokus pada kerjayanya dulu dan tidak mahu memikirkan soal cinta tapi tahu-tahu sahaja hatinya terbuka untuk Aiman. Betullah kata orang, cinta datang tanpa diduga.

Farahlah yang paling teruja, tak padan dengan statusnya sebagai isteri orang. Dia menggesa Atikah untuk menceritakan detik perkenalannya dengan Aiman.

Airina pula sekadar mengulum senyumnya kelat. Matanya mencuri pandang cincin di jari manisnya pula. Apa agaknya reaksi rakan-rakannya kalau mereka tahu Airina sudah dua tahun bertunang?

Mata Airina jatuh pada gelang Pandora pemberian Harris tadi dan semerta bibirnya melepaskan keluhan.


PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.  

100 Hari Mengenal Cinta [TERBIT - PENULISAN2U]Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang