BAB 11
MAHU pecah dada Airina apabila keadaan jadi sunyi sepi. Hanya dengan sebaris ayat 'Rin nak kahwin dengan Hazizul', keadaan di rumahnya jadi lengang. Bunyi penghawa dingin sahaja yang kedengaran. Airina pandang Hazizul, mahu meminjam sedikit kekuatan lelaki itu. Hazizul yang memahami isi hatinya mendekati Airina bersama senyuman di bibir.
"Rin merepek apa ni?" tanya Halim. Jelas nada kasarnya di situ. Apabila Airina tetap membisu, Halim berkata lagi.
"Ayah tak izinkan Rin kahwin dengan Hazizul. Rin bertunang dengan Harris. Sepatutnya Rin kahwin dengan Harris, bukannya Hazizul!"
Berang rasa hati seorang bapa apabila anaknya berubah fikiran di saat-saat akhir sebegini. Dipandangnya Airina dengan rasa kecewa. Dia tidak pernah mendidik Airina sebegitu tetapi kenapa Airina melakukan sesuatu yang begitu mengecewakan?
Airina tertunduk. Nada Halim sahaja sudah cukup untuk menggambarkan kekecewaan ayahnya itu.
Zainal mara mendekati Hazizul sebelum tangannya melayang ke pipi Hazizul.
Pang!
Semua mata tertumpu pada Hazizul pula. Airina terjerit kecil. Tangannya refleks menyentuh bahu lelaki itu.
"Hazizul.." panggilnya lemah. Hazizul menggeleng sebelum anak matanya kembali bertentangan dengan Zainal.
"Kau ni daripada kecik menyusahkan hidup aku. Kenapa Rin? Banyak lagi perempuan kat luar tu tapi kau nak goda dia jugak!" marah Zainal sekaligus menuduh Hazizul menggoda Airina. Dadanya naik turun dek marah yang dirasainya kini. Andai renungan tajam Zainal ialah laser, sudah pastinya mata Hazizul berlubang saat ini.
Norli turut bangun dari duduknya. Dia berjalan ke arah Airina lalu tangannya menggenggam jemari Airina.
"Rin, Aunty mungkin tak kisah sangat kalau Rin nak lelaki lain tapi kenapa dia ni? Rin tahu kan dia ni macam mana? Rin sanggup ke sia-siakan masa depan Rin? Aunty sayang Rin. Aunty tak nak Rin terluka esok lusa sebab budak tak guna ni," kata Norli lembut dengan harapan Airina akan berubah fikiran.
"Kau memang sengaja nak sakitkan hati kitorang kan? Sampaikan tunang Harris pun kau nak rampas!" Nada yang tadinya lembut berubah menjadi kasar sekelip mata. Norli mengherdik Hazizul yang dirasakan sudah melampaui batas. Mulalah mulut Norli ringan untuk mengungkit.
"Dasar tak sedar diuntung. Aku bela kau daripada kecik tapi ini yang kau balas kat kitorang. Menyesal aku lepaskan anjing tersepit macam kau ni!"
Tohmahan demi tohmahan itu membuatkan Airina terus-terusan tergamam. Melaut rasa kasihan dan simpatinya kepada Hazizul yang masih mendiamkan diri. Tangan kiri Airina mencuit lengan Hazizul, menyuruh Hazizul membela dirinya di depan semua orang tetapi lelaki itu masih lagi menggeleng tanda enggan.
Pada hemat Airina, Hazizul tidak sepatutnya menerima layanan ini. Lelaki itu sudah cukup berhati murni mahu memikirkan perasaan dan maruah kedua-dua orang tuanya lantas kenapa dia yang dicaci diherdik Norli dan Zainal? Airina menjeling Harris yang duduk tidak jauh daripadanya.
Harris tu yang sepatutnya kena tampar, kena herdik! Bukannya Hazizul! Jerit hatinya.
Salbiah turut mencelah.
"Dua tahun Rin bertunang dengan Harris. Tiba-tiba Rin nak kahwin dengan Hazizul? Ibu rasa Rin tak pernah rapat dengan Hazizul pun. Kenapa Rin ubah fikiran sebenarnya ni?"
"Apa yang ada pada Hazizul tapi Harris tak ada? Apa dia, Rin? Bagitahu Aunty sekarang. Harris ada kerja yang bagus. Harris anak orang kaya. Harris setia dengan Rin. Apa lagi yang Rin nak?" sokong Norli pula. Segala kelebihan Harris disenaraikan supaya Airina sedar Harris dan Hazizul berbeza bagai langit dan bumi.
KAMU SEDANG MEMBACA
100 Hari Mengenal Cinta [TERBIT - PENULISAN2U]
Storie d'amore100 HARI MENGENAL CINTA: 'Cinta ini bukan untuk 100 hari. Bahkan untuk seratus tahun dan seribu tahun lamanya!' Tentang Airina Hanissa yang dipergunakan tunangnya Harris, untuk memburu cinta si adik tiri, Syida. Airina nekad mahu putuskan pertunanga...